Episod : Mengapa Harus Berjumpa
Tiada dayaku untuk mengulanginya semula. Segala-galanya sudah berlalu. Ketawamu mengingatkan aku kembali memori kita. Kini, kau sudah berdua dan aku tidak memgharapkan apa-apa darimu lagi. Aku turut merasai kebahagiaanmu.
Benar, kasih kita tidak kesampaian ke penghujungnya. Aku sendiri berasa amat kecewa saat kau pergi tanpa berita. Jadilah ,aku umpama sang pungguk rindu akan bulan. Semuanya telah kuceritakan dalam warkahku namun kau terus membisu. Hari-hari yang kulalui hanyalah sendirian.
Pabila rindu datang kucoretkannya dengan tinta di atas sekeping kertas dan kulayangkan kepadamu. Meskipun kutahu semua itu hanyalah sia-sia. Kini, kau muncul kembali. Mengapa kita harus berjumpa ?
Melihatkan dirimu kini tidak membuatkan hatiku membencimu kerana kebencian itu tiada di dalam hatiku. Kebencian itu telah kubuang jauh-jauh lama dulu. Kembalilah kepadanya yang lebih menyayangimu. Memori kita tidak pernah terpadam walau seribu tahun lagi kerana telah kupahat memori itu di dalam hatiku.Tidak mungkin ukiran kasih itu akan lenyap.
Masih jauh perjalanan hidup ini dan selama itulah aku akan melihat kebahagiaanmu di hadapan mataku. Saban hari saban waktu. Biarlah masa yang menentukan. Jauh di sudut hatiku kutahu kau juga merinduiku. Betapa luluhnya hatiku tatkala kau memangggil namaku dengan caramu dulu. Aku cuba melarikan wajahku agar kau tidak melihat kesedihan wajahku.
Aku tidak pernah mengandaikan pertemuan ini terjalin kembali. Kukira kau sudah lama melupakannya. Benarlah , kita tidak pandai membohongi hati masing-masing. Memori ini sudah tertulis. Suaramu yang lembut kembali menyebut namaku sejak sekian lama idak kudengari menjadikan hatiku berasa pilu. Pedih.
Mengapa sekarang kita harus berjumpa. Mengapa? Tiada dendam walau sebesar zarah kerana aku tidak pandai berdendam. Beratnya dugaan ini. Aku tidak mampu menatap wajahmu kerana harapan di dalam hatiku sudah lama tertutup. Dulu, aku pernah berjanji akan setia kepadamu tetapi aku pernah
kehilanganmu. Kalau perpisahan dulu adalah jalan yang kaupilih aku menerima alasanmu.
Tiada paksaan dalam soal hati. Semua ini kuanggap hanyalah suatu memori yang pernah singgah di dalam hati kita. Pergilah kepadanya kerna dia lebih berhak memilikimu. Aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaanmu . Biarlah saja aku berundur dulu dan janganlah kau kecewakannya seperti apa yang terjadi kepadaku. Kita akan berpisah lagi. Mengapa kita harus berjumpa?
Comments
Post a Comment