Episod : Kerana Pulut Santan Binasa

 

Peristiwa ini terjadi pada awal tahun 2000 di sebuah sekolah swasta di bandar Klang tempat aku mengajar. Di sekolah ini seperti juga sekolah kerajaan mempunyai undang-undang dan peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua murid. Aku mulai menyertai sekolah swasta ini sekitar tahun 1992 sebagai guru sambilan sebelum aku menerima surat tawaran sebagai guru tetap pada tahun 1995.

 

Aku menyertai sekolah ini pun bukanlah dirancang atau ada plan A, B atau C. Aku membuat keputusan meletakkan jawatan di sekolah lama selepas berkhidmat selama 5 tahun dari tahun 1987 atas faktor-faktor dalaman. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari kawasan sekolah aku terus menuju ke perhentian bas Klang – Banting di bawah Great Wall. Aku telah disambut oleh tiga orang yang tidak kukenali . Mereka berpakaian kemas dan bertali leher.

“Hi, Cikgu Azmi. U boleh ikut kita tak untuk bincang,” kata salah seorang daripada mereka. Aku yang tidak mengenali mereka berasa sedikit kehairanan kerana aku diminta mengikut mereka.

“Ke mana?”, tanyaku spontan.

“Cikgu, ikut saja kami,” balas seorang lagi sambil menghisap rokok. Suasana bingit kenderaan di Jalan Pos Baru menganggu perbualan kami. Aku mengikut saja mereka menaiki sebuah kereta. Kereta dipandu perlahan meninggalkan perhentian bas.

 

Kereta di parkir di sebelah bangunan Maybank , Jalan Kepayang, Klang. Institut Makmur, papan tanda besar di atas bangunan setinggi empat tingkat itu. Aku mengikuti mereka sehingga ke pejabat dan beberapa orang kerani sedang bertugas. Mereka hanya tersenyum memandang aku tetapi kami belum sempat berkenalan. Di dalam pejabat, seorang lagi lelaki bermisai tebal , segak dan berpakaian kemas sedang menelefon seseorang kemudian meletakkan gagang telefon lalu bersalaman denganku. Diai ialah pengetua di sekolah itu. Masing-masing memperkenalkan diri semasa di dalam bilik pejabat. Aku telah diberikan taklimat oleh pengetua tentang tawaran untuk mengambil aku mengajar di situ. Barulah aku tahu bahawa sekolah itu merupakan sebuah anak syarikat kepada SEGi College.

 

Barulah, aku faham tujuan sebenar mereka mengajak aku ke tempat mereka. Sebelum ini mereka sudah pun mengetahui aku sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah lama aku tetapi cubaan mereka untuk ‘menculik’ aku mengajar di tempat mereka seperti tiada ruang. Entah bagaimana mereka tahu pada hari itu aku akan meletakkan jawatanku di sekolah itu. Tentu ada seseorang di dalam sekolah lama aku yang menyampaikan maklumat itu kerana selepas aku meletakkan jawatan beberapa orang guru lagi turut meletakkan jawatan yang berjumlah 12 orang kesemuanya serta murid-murid juga berpindah ke sekolah baharu aku. Aku pula menjadi jambatan perpindahan guru dan murid di sekolah ini.

 

Hasil perbincangan itu, aku ditawarkan gaji ‘double’ daripada yang aku terima selama mengajar di sekolah lama. Malahan, beberapa elaun khas dan kemudahan perubatan turut diberikan. Semua tawaran ini aku tidak dapat di sekolah lama dan aku tahu semua ini adalah strategi psikologi dalam usaha mendapatkan khidmat aku. Aku tidak menunggu lama dan bersetuju menerima tawaran mereka. Aku dilantik sebagai guru disiplin sebagai menyambung tugasan aku di sekolah lama dan ketua pengurus peperiksaan dalaman (internal exam officer) dan tugas terakhir aku di sekolah itu sebagai HOD (Head Office Department) sebelum aku melepaskan jawatanku pada tahun 2005 untuk beralih angin.

 

Cabaran mengajar di sekolah ini agak berbeza kerana di sekolah lama aku kebanyakan murid ialah Melayu hanya sebahagian kecil murid India dan Cina. Manakala, di sekolah ini majoritinya  ialah murid India dan segelintir murid Cina dan Melayu. Sebagai guru disiplin, aku mempunyai akses untuk memeriksa maklumat peribadi setiap murid di sekolah ini. Salah seorang daripada murid di sekolah ini ialah pesalah yang baru dibebaskan daripada hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah .Jadi, aku sudah mengenal pasti murid ini yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun itu.

 

Murid ini kurang bergaul dengan murid-murid lain sama ada di dalam atau di luar kelas. Larangan keluar dari kawasan sekolah semasa waktu rehat selalu dilanggarnya dengan selamba walaupun sudah beberapa kali ditegur oleh pengawas. Pernah dia ditangkap kerana menghisap rokok di dalam kawasan sekolah dan aku telah memberikan amaran keras kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Namun begitu, amaran aku itu tidak diendahkannya. Dia terus mengulangi perbuatan menghisap rokok dan kali ini dia benar-benar menunjukkan sikap ‘samseng’nya . Dia merokok di hadapan murid-murid lain tanpa rasa takut atau bersalah !.

 

Aku dimaklumkan oleh seorang pengawas sekolah tentang perkara tersebut. Lantas, aku meminta pengawas membawa murid itu berjumpa denganku. Murid itu berdiri seperti ‘ samseng’ di dalam filem dengan lengan bajunya disingsing hingga ke bahu.

“Lu mau apa?,” perkataan itu terpacul dari mulutnya.Bulu tengkukku meremang dan panas seperti kucing yang hendak bercakaran. Aku diam tidak menjawab.

“Lu mau apa?,” dia terus menjerit di hadapan mukaku.

“&%#$@,” aku menjawab dengan kata-kata kasar.Dia terus menjerit dengan kuat dan cuba menendang aku tetapi aku sempat mengelak. Kemudian, dia cuba menolak badanku dan aku sempat mengelak daripada cengkaman tangannya cuba menarik tali leherku. Kebetulan ketika itu kami berdiri di tepi tangga dan terdapat sebuah papan tanda ‘ Caution ‘ kerana lantai sedang dimop oleh pekerja sekolah. Pekerja sekolah juga terkejut melihat pertengkaran aku dengan murid itu .

 

Dia berlari ke tingkat atas dan aku terus masuk ke kelas untuk mengajar seperti biasa. Namun, tiba-tiba pintu bilik darjah diketuk dengan kuat dan seorang pengawas memberitahu aku murid itu sedang mengamuk di tingkat bawah. Aku segera turun ke tingkat bawah dan benarlah murid itu sedang melempar kerusi dan menendang meja. Dia mencapai papan tanda ‘CAUTION’ di tepi tangga dan melemparnya ke arah aku tetapi secara spontan seorang guru entah dari mana telah menendang papan tanda sehingga patah dua.

 

Guru itu cuba melindungi aku daripada diserang oleh murid itu. Tambahan pula, guru itu pernah mewakili negara memenangi pingat emas dalam acara Taekwando. Murid itu telah melarikan diri ke tingkat atas dan masuk ke dalam kelasnya. Aku mengarahkan seorang kerani supaya menghubungi ibu bapa murid itu dengan segera.

 

Setelah keadaan kembali tenang, ibu murid itu muncul di pejabat sekolah. Wanita yang berusia lingkungan 60-an seperti ketakutan apabila melihat anaknya mendekatinya. Murid itu terus-menerus menengking ibunya dan menghalau ibunya supaya pulang. Kami yang berada di situ terkejut dengan kelakuan murid itu yang sangat kasar terhadap ibunya. Murid itu telah meninggalkan ruang pejabat dan terus keluar dari sekolah dan diikuti oleh ibu murid itu.

 

Sejak hari itu, murid itu tidak lagi muncul di sekolah. Manakala, pengetua telah memanggil aku dan memberikan aku amaran keras kerana menjadi punca murid itu mengamuk disebabkan perkataan yang aku gunakan semasa memarahi murid itu yang dianggap keterlaluan. Kejadian ini sudah berlalu lebih 20 tahun dulu dan aku telah meninggalkan alam sekolah pada tahun 2005 untuk menceburi bidang perniagaan berkaitan pendidikan secara sepenuh masa. Kejadian itu mengingatkan aku kepada peribahasa orang dulu-dulu , kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.’

 

Comments

Popular posts from this blog