Episod : JATUH BANGUN

 

Kalau hendak dikongsi di sini tentang jatuh bangun aku selama umur aku sudah hampir setengah abad mungkin dapat memberikan sedikit motivasi kepada yang mahu membacanya dan mengerti. Namun , tidak semuanya dapat kuceritakan di sini demi menjaga hati orang lain.

 

Pengalaman jatuh aku yang pertama apabila aku gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 1984). Ketika itu, aku belajar dalam jurusan sains atas pilihan guru-guru di sekolah aku dengan alasan tidak ramai murid Melayu yang mengambil jurusan sains. Perjalanan pembelajaran selama 2 tahun di Tingkatan 4 dan 5 amat menggusarkan perasaan . Tiada yang menyeronokkan belajar dalam jurusan sains kerana serba-serbi aku tidak minat sama ada subjek sains dan matematik. Beberapa kali, aku mencuba menukar kelas sastera tetapi guru-guru tidak mahu melayan permintaan aku. Akhirnya , keputusan SPM diumumkan aku telah gagal dan hanya layak mendapat Sijil Am Pelajaran (SAP). Hati mana yang tidak terusik tatkala rakan-rakan lain saling mengucapkan tahniah dan aku pula menjauhkan diri daripada suasana bingit meraikan kejayaan mereka. Aku berjalan kaki dari Pelabuhan Klang ke bandar Klang mengikut langkah kaki tanpa arah tujuan.

 

Banyak perkara yang aku sedang fikirkan dan aku pulang ke rumah selepas senja melabuhkan tirainya. Aku terpaksa berterus terang kepada kedua-dua ibu bapaku tentang hal sebenar. Wajah mereka amat kecewa kerana aku anak sulung lelaki menjadi harapan keluarga. Namun, di sebalik kekecewaan ada kemenangan sedang menanti. Aku meneruskan pembelajaran di Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta, Institut Hafis Klang. Selama 2 tahun itulah aku bertungkus lumus memburu kejayaan dan akhirnya pada bulan Mac 1986, keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diumumkan dan aku berjaya mendapat keputusan 4 Prinsipal. Inilah kejayaan yang aku harap-harapkan dan hadiah buat kedua-dua ibu bapaku.

 

Hari tidak selalu cerah ke sana ke sini aku menghantar borang permohonan ke universiti . Hanya Institut Teknologi Mara (ITM) sahaja yang membalas permohonan aku. Aku ditawarkan kursus Mass Communication (MASCOM) tetapi aku perlu menghadiri temuduga terlebih dahulu. Atas kepercayaan terhadap seorang kawan akhirnya sekali lagi aku jatuh. Kawan yang dinanti untuk menghantar aku ke ITM bagi menghadiri temuduga pada jam 8.00 pagi hanya muncul di rumahku pada jam 9.00 pagi. Apakan daya, rezeki tidak menyebelahi aku. Aku gagal memasuki ITM . Berita sedih itu juga aku kongsi dengan kedua-dua ibu bapaku dan kehampaan terpancar pada wajah mereka.

 

Permohonan aku untuk memasuki Universiti Sains Malaysia (USM) juga ditolak atas alasan mereka mahukan keputusan yang lebih baik di peringkat STPM. Hendak tak hendak, aku menaiki bas ke USM, Pulau Pinang untuk membuat rayuan secara bersemuka dengan Ketua Pendaftar. Ketua Pendaftar menolak rayuanku dan aku kembali ke Klang dengan harapan kecewa, Sejak itu, aku tidak lagi berusaha untuk memohon memasuki universiti hanyalah selepas 19 tahun berlalu akhirnya dengan menggunakan keputusan STPM 1986 aku berjaya menjejakkan kakiku ke Universiti Putra Malaysia (UPM). Namun begitu, hanyalah ibuku dapat berkongsi kegembiraan semasa Majlis Konvokesyen UPM 2018 manakala ayahku telah meninggalkan kami selama-lamanya.

 

Bak kata pujangga , ‘orang bercinta kurang berkata-kata’. Aku telah jatuh hati kepada ‘R’ dan setiap detik kebahagiaan menjadi milikku. Ada masa aku seakan tersedar mungkin aku ini hanya bertepuk sebelah tangan tetapi aku lontar jauh-jauh perasaan itu. Aku cuba memenangi hati ‘R’ namun semua itu hanyalah sia-sia. Akhirnya, hubungan aku dengan ‘R’ terpisah begitu sahaja apabila puluhan surat yang aku kirim tiada suatu pun dibalas oleh R’ Teringat aku ketika itu sebuah lagu M Nasir ..’berhelai-helai surat , terbiar di hadapanku ,tak dapat aku utuskan, kuramas semua, dan kubuangkan jauh, dari pandangan…”  Berakhirlah ‘cinta’ tanpa nokhtah.

 

Setelah beberapa ketika, kukenali ‘N’ sekadar kawan biasa. Tika itu, aku sedang aktif mengisi masa dengan menulis dan kebanyakan masa pula aku menjadi pemerhati alam dan manusia di sekelilingku. Persahabatanku dengan ‘N’ semakin serius dan akhirnya selepas 3 tahun barulah kami membuat keputusan untuk berkahwin pada tahun 1989. Hasil perkahwinan selama 33 tahun kami mempunyai lima orang anak dan enam orang cucu. Walaupun , pada awal perkahwinan kami ‘R’ muncul semula namun takdir penentu segala ( lirik lagu Jamal Abdillah). Kami bahagia dengan kehidupan yang serba sederhana memandangkan pendapatan bulanan aku kurang RM500 ringgit untuk mengisi perut empat orang termasuk dua cahaya mata kami.

 

Selama tempoh lima tahun awal perkahwinan, aku sudah berpindah randah sebanyak enam kali dari sebuah rumah sewa ke sebuah rumah sewa atas permintaan tuan rumah. Ada masa kami berpindah pada waktu malam kerana tuan rumah telah menjual rumahnya dan pembeli baharu pula tidak sabar-sabar hendak masuk rumah keesokan harinya. Dari rumah papan ke rumah separuh batu menjadi tempat kami berteduh daripada panas dan hujan. Keadaan itu memaksa aku bekerja lebih masa ‘overtime’ dengan mengajar tuisyen dari rumah ke rumah. Dari Kampung Meru ke Kuala Selangor dengan menunggang motosikal tanpa aku pedulikan hujan atau panas ribut atau taufan .

 

Asal ada kemahuan kita ingin berubah dan janji Allah itu pasti. Kami berpindah ke rumah pertama yang aku beli di bandar Klang. Kami lima beranak membonceng sebuah motosikal SUZUKI RC80 ke sana ke sini. Pabila tiba Hari Raya, terpaksa aku menunggang motosikal dua trip untuk menghantar anak aku pulang ke kampung isteriku, Meru. Trip kedua aku dan isteri seorang anak kecil di pangkuan. Walaupun kami cuba meminjam kereta tetapi harapan itu hanyalah kosong dan kami belajar untuk berusaha sendiri dan berlapang dada. Akhirnya, aku berjaya membeli sebuah Kancil sebagai memudahkan isteriku menghantar anak-anak ke sekolah dan anak-anak jagaan isteriku seramai 11 orang sebagai menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Ketika itu , pendapatan bulanan aku hanyalah RM1200.00.  

 

Jangan difikirkan sangat soal kekurangan tetapi fikirkanlah bagaimana untuk berubah lebih baik. Rezeki yang lebih sedikit hasil mengajar tuisyen di merata-rata tempat aku manfaatkan dengan membeli sebuah rumah lagi untuk disewakan. Pada tahun yang sama juga, aku membeli sebuah lagi rumah untuk disewakan dan sebuah kereta tambahan untuk aku berulang alik ke tempat mengajar. Peluang jangan disia-siakan apabila sudah di depan mata. Kita boleh berubah kalau kita hendak berusaha dan kemudian berserah kepada-Nya walau apapun halangan atau cabaran yang mendatang.

 

Keinginan tinggal di rumah yang lebih selesa akhirnya kami sepakat membeli sebuah rumah baharu di Bandar Bukit Tinggi, Klang. Pada mulanya aku membeli sebuah rumah dua setengah tingkat tetapi selepas dua bulan aku menukar rumah yang sedang dalam pembinaan kepada rumah dua tingkat memandangkan populasi di kawasan rumah dua setengah tingkat itu hanya tiga orang keluarga Melayu. Hati tidak berasa selesa lalu aku meminta rumah lain iaitu rumah dua tingkat ( corner lot ) yang bersaiz 3,100 kaki persegi yang lebih luas hinggalah sekarang. Kini, yang tinggal di rumah ini hanya aku, isteri dan seorang anak lelaki bongsuku yang sedang belajar di sebuah kolej. Anak-anak yang lain telah membeli rumah masing-masing selepas berkahwin dan aku mengingatkan mereka tentang keutamaan membeli rumah daripada sebuah kereta. Alhamdulillah, rezeki anak-anakku dan aku melihat mereka sangat rajin berusaha dan aku terkenang kisah aku yang lampau bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam  setiap hari termasuk hari Ahad. Mungkin menjadi inspirasi pula kepada mereka.

Malang tidak berbau, apabila bisnes  aku pada tahun 2002 merudum. Timbul isu guru-guru mengadakan tuisyen tanpa lesen bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Seorang demi seorang muridku berhenti tuisyen kerana sesetengah guru sekolah mereka mengugut tidak akan memberikan markah yang baik jika murid-murid tidak menyertai tuisyen di rumah mereka. Aku sememangnya berasa tidak berpuas hati dan tersepit kerana berlaku perebutan antara pusat tuisyen berdaftar dengan kelas tuisyen ‘ haram’. Malah, aku pernah diherdik seorang guru sekolah apabila aku hanya meminta jasa baiknya untuk berkongsi maklumat tentang subjek Bahasa Melayu yang kami sama-sama mengajar. Tidak mengapalah semuanya kutelan demi sebuah pengalaman dan peringatan yang berharga.  

Ke sana ke sini aku sudah mencuba melakukan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi aku dan semua ini kuanggap sebagai ujian-Nya. Satu demi satu rumah terpaksa aku jual demi kelangsungan hidup masa hadapan. Aku tidak pandai menjaja kisah kesulitan aku kerana aku lebih selesa menyelesaikan sendiri kesulitan yang aku alami. Tiada sesiapa yang akan faham apabila situasi kita telah tersepit dan pendapatan kita menjunam ke lantai !.

 

Sedikit demi sedikit aku bangit daripada jatuh dalam perniagaan dengan mengambil upah yang sedikit melalui personal tuisyen. Pada masa itu, aku tidak boleh terlalu ‘demand’ dengan harga memandangkan pasaran tuisyen sangat mencabar. Di sana sini akan kedengaran guru itu bagus guru ini bagus tetapi semuanya dilakukan ‘di belakang pintu’ atau lebih tepat lagi ‘ kelas tuisyen haram’ dan pihak pejabat pendidikan juga tidak mampu mengawalnya. Aku pasrah dan mengadap situasi yang berlaku sebagai suatu cabaran. Semua simpanan sudah digunakan hampir licin dan mulalah timbul satu persatu panggilan ‘maut’ daripada pihak bank. Aku pergi mengadap setiap pegawai bank demi menjelaskan kedudukan kewangan aku. Beberapa orang kawanku yang sudi membantu aku dari segi kewangan kerana hendak melihat aku bangkit semula !.

 

Pada tahun 2017, aku mendapat bantuan kewangan dalam perniagaan daripada agensi kerajaan bagi menampung kos pembiayaan perniagaan aku. Belum pun sempat aku menggunakan bantuan itu kerana semuanya lebur apabila pada 5 Mei 2017 hari Jumaat jam 8.30 minit pagi aku dilanggar sebuah lori seberat satu tan di Bulatan Berkeley, Klang. Aku dan motosikal aku terperosok di bawah lori. Selepas aku berjaya dikeluarkan aku berasa sangat hampa, kecewa, sedih dan apa-apa sahaja perkataan yang seumpamanya. Kaki kiriku telah hancur digilis tayar lori. Hancur dan berkecai kerana tulang-tulang kaki berserakan di atas jalan raya! Tiada harapan kakiku dapat diselamatkan kerana kakiku harus dipotong !. Aku dihantar ke Hospital Shah Alam dan aku hanya mendiamkan diri dan tiada setitik air mataku yang gugur sepanjang perjalanan ke sana. Semua ini kuterima sebagai kehendak Allah Yang Maha Esa. Aku kuatkan semangat dan aku masih bernyawa. Namun begitu, harapanku pulih kembali apabila seorang doktor orthopedic di KPJ Shah Alam sanggup untuk ‘repair’ kakiku yang disahkan oleh doktor di hospital akan dipotong. Pembedahan selama 9 jam terlalu lama kurasakan dari tengah hari hingga lewat malam. Dari siang ke malam !

 

Usai pembedahan, aku menerima hakikat bahawa aku tidak lagi dapat berjalan seperti biasa untuk mengajar tuisyen. Aku berehat panjang selama hampir 8 bulan. Tanpa kerja. Tanpa gaji. KOSONG ! . Murid-muridku mulai berhenti seorang demi seorang. Hanya anak-anak membantu aku sedikit sebanyak. Mulalah posmen datang menghantar surat daripada pihak bank untuk melelong rumah yang aku duduki kerana sudah setengah tahun ( 6 bulan ) aku tidak membayar sesen pun bayaran ansuran. Begitu juga , ansuran kereta aku tidak mampu membayar dan pihak bank hendak menarik semula kereta aku. Aku hanya berserah kalau pun terpaksa tinggal di tepi jalan. Pada masa ini, muncul kawan-kawanku yang selama ini banyak membantu aku. Dengan izin-Nya, merekalah terbuka hati hendak memebantu aku menyelesaikan masalah yang aku hadapi.

 

Selama aku tidak bekerja, masa aku banyak dihabiskan dengan ‘berbicara’ kepada-Nya. Barang kali, sebelum ini aku kurang ‘mengadu’ kepada-Nya. Allah Maha Mendengar. Inilah situasi paling dahsyat yang aku alami. Aku hampir hilang segala-galanya. Semuanya sudah kugunakan. Apa yang ada sudah kucagarkan tetapi aku berjanji kepada diriku bahawa aku akan bangkit semula. Hanya menunggu masa dan ketika. Janji Allah pasti!

 

Setelah aku pulih sepenuhnya, aku bangkit semula. Selama satu tahun setengah aku bergantung kepada tongkat ketiak kerana kakiku telah dipasang ‘arial TV’. Satu tahun setengah juga aku merindui untuk bersujud di atas sejadah. Apabila doktor memberikan lampu hijau bahawa aku sudah mampu berdiri dan berjalan semula baharulah aku mula mengatur langkah. Murid-murid yang telah berhenti tuisyen telah kembali semula kepada aku. Satu demi satu masalah berjaya aku selesaikan. Urusan bank kembali kepada asal. Rumah hendak dilelong tidak jadi dilelong apabila aku membuat perjanjian untuk membayar ansuran semula. Keadaan sudah pulih 60% dan 40% lagi perlu usaha yang lebih gigih.

 

Kemunculan pandemik Covid-19 akhir November 2019 sekali lagi aku diuji apabila pusat tuisyen terpaksa ditutup . Ketiga-tiganya sekali. Aku cuba bertahan selama enam bulan dan berhabis RM12K membayar sewa bulanan dengan simpanan yang ada. Sepanjang enam bulan tanpa kerja tanpa gaji. Pengalaman lalu mengajar aku erti kesabaran, keyakinan dan jangan berputus asa. Enam bulan menghadapi situasi perit itu bersendirian bagaikan ‘pukulan maut’ dan kemudian aku bangkit semula apabila semua yang menghalang dapat aku hadapi. Berkat ‘ berbicara’ dengan-Nya, semuanya Allah makbulkan. Ye, semua yang aku minta Allah makbulkan tiada satu pun yang tertinggal kerana Allah Maha Pemurah lagi Penyayang !.

 

Sekarang ini masa untuk mengumpul kembali apa-apa yang telah hilang . Walaupun begitu, tidak semua kegagalan dapat aku kongsikan di sini demi menjaga hati orang lain. Insyallah Taala, semoga semuanya ini menjadi ikhtibar kepada pembaca setia. Tiada yang menyedihkan dalam hidup ini. Tiada yang mengecewakan dalam hidup ini. Semuanya sudah ditentukan Allah Maha Kaya. Pesananku, ingat Allah maka Allah ingat kita !.

Comments

Popular posts from this blog