Episod : Isteri Cantik

Bukan disengajakan pada pagi itu aku dengan isteri bersarapan di kampung kelahiran isteriku,Meru. Kebetulan pula, dua orang rakan kami yang juga suami isteri turut bersarapan sama. Kami rancak bersembang apabila seorang rakan kepada rakanku itu singgah di warung tempat kami bersarapan. Kami bersalam-salaman. Rakanku itu kunamakan 'S' dan rakannya kunamakan 'R' .
'R' mengambil tempat duduk berhadapan dengan isteriku manakala aku duduk di antara isteri dan rakanku 'S' . Perbualan semakin rancak kerana masing-masing sekampung kecuali aku.
" Ini siapa ?," tanya 'R' kepada 'S' . Aku hanya tersenyum pertanyaan 'R' .
"Ini isteri ,Cikgu," jelas rakanku 'S' .
"Inikan anak ...(sambil menyebut nama arwah pak mentuaku)," sambung rakanku 'S' .
" Oo..ini kakaknya ...(sambil menyebut nama adik iparku pula)."
Aku hanya mendengar sambil menikmati roti canai dan teh tarik.
"Yelah, betul ," celah isteri rakanku 'S' .
"Betullah, dia paling cantik . Aku selalu bagi tau adik dia, kakak kau cantiklah," kata 'R' tiba-tiba. Hampir tersembur teh tarik apabila mendengar kata-kata 'R' .
"Kalau aku pergi rumah dia, aku selalu perhatikan dia. Cantiknya," sambung 'R' lagi.
" Masa tu aku selalu tengok dia dari jauh," kata 'R' lagi.
"Dulu-dulu, dia selalu pakai tudung putih. Dalam adik -beradik dialah paling cantik," puji 'R' bertalu-talu.
Kereta mulai banyak lalu lalang di hadapan warung . Ketika itu jam sekitar 10.00 pagi. Aku melihat kenderaan berat dan ringan bertali arus.
"Huishh..masa tu aku berkenan betul, " sambung 'R' lagi. Sekali lagi hampir tersembur nasi lemak di dalam mulutku. 'S ' memandang aku dan aku memandang muka 'S' .
"Aku bagi tau adik dia, bolehlah jumpa kakak kau . Kakak kau cantik," ulang 'R' .
Aku teringat semasa aku masih berkawan dengan iateriku, ada kedengaran desas-desus isteriku mahu disatukan dengan seorang anak jiran keluarga isteriku yang tidak jauh dari rumahnya. Jirannya itu keluarga yang berharta kerana rumahnya besar dan memiliki beberapa buah bas di hadapan rumah. Kalau tahun 1980-an sudah memiliki semua itu memanglah kaya kalau hendak dibanding dengan aku hanya gaji bulanan RM220 sebagai guru sekolah swasta.
Kemudian, seorang lelaki warga Indonesia yang menumpang di rumah mentuaku seperti pembantu tetap juga mahu dijodohkan dengan isteriku. Mungkin lelaki Melayu dikaitkan demgan sikap malas seperti kata ibu kawan kami sebelum kami berkahwin " orang Melayu malas". Kata-kata itu dilontarkan di hadapanku dan aku sedikit terasa hati.
"Ada juga lelaki Melayu rajin macam aku ," bisik hati kecilku.
"Kalau makcik pakcik mahu menantu orang Jawa," kata ibu bapa kawanku sambil tersenyum memandang aku. Ini kisah yang berlaku tahun 1986 . Aku kasihan melihat kawanku itu berkahwin agak lewat usia daripada kami dan adik perempuannya belum berkahwin lagi dan sudah berumur 50-an .
Suatu hari , selepas beberapa tahun kami berkahwin aku dan isteriku menziarahi keluarga kawan kami itu untuk bertanya khabar.
"Wah, Azmi sekarang tinggal mana ?," tanya ibu kawanku.
" Bukit Tinggi," jawabku.
"Bukit Tinggi ,Klang bukan Bukit Tinggi Pahang atau Bukit Tinggi Sumatera," jelasku lagi sambil tersenyum.
" Rumahnya besar, mak. Orang kaya-kaya yang duduk situ," celah kawanku.
"Tak adalah kaya. Biasa-biasa saja," kataku sedikit malu.
"Azmi ni rajin kerja. Dia ni ada banyak 'company' . Pusat tuisyen dua tiga buah lagi," kata kawanku kepada ibu bapanya yang duduk berbual-bual sama. Ketika itu aku sudah mempunyai 2 orang anak tetapi kawanku itu masih membujang. Barang kali, belum jumpa bakal menantu lelaki Jawa. Pokok pangkal diri sendiri untuk berjaya bukan sebab keturunannya.
"Sekarang tinggal di mana?," terpacul pertanyaan 'R' melenyapkan tiba-tiba lamunanku.
"Cikgu tinggal di Bukit Tinggi," celah 'S' sebelum sempat aku menjawab pertanyaan 'R' .
"Nak masuk rumah Cikgu kena tunggu 'guard' minta izin dulu dengan tuan rumah , baru boleh masuk," sambung 'S' .
"Datanglah rumah. Tak ada apa-apa," pelawaku. secara rambang.
"Tapi sekarang masih cantik lagi," ujar ' R' sebelum 'R' bangun untuk memulakan tugasnya. 'R' meninggalkan kami dan tidak lama kemudian kami juga beransur pulang ke destinasi masing-masing.
"Kakak cantik!," kataku sebelum menghidupkan enjin kereta. Isteriku ketawa mendengar usikanku.
"Nasib baik tak tinggal di seberang," usikku lagi.
"Untung-untung ada 'boyfriend' banyak bas," sambungku lagi. Isteriku mencubit pahaku dan menjelingkan matanya.
"Kakak tudung putih," sambungku lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh.Sepanjang jalan pulang ke Klang aku tersenyum-senyum mengingatkan perbualan kami di warung pagi.

Comments

Popular posts from this blog