Episod : DARAH

Seawal selepas subuh aku akan menyemak jadual kerja, emel dan 'appoinment' yang penting hari ini. 13 Jan tarikh ambil darah di KK Botanic jam 8.00 pagi. Oleh sebab, parkir kereta di KK Botanic sangat terhad aku meminta isteriku menghantarku ke sana. Jarak perjalanan dari rumah hanyalah 10 minit.
Sesampai di KK Botanic , aku melakukan 'scan'di kaunter hadapan pintu masuk. Seorang kakitangan bertugas di kaunter meminta aku beratur sementara menunggu petugas lain. Selepas 15 minit menunggu, mereka yang menunggu sudah mula mengeluh. Lebih-lebih lagi kami yang beratur ini sudah berpuasa sejak malam semalam.Sinaran matahari pagi amat terik dan berbahang. Peluh sudah menitik dan memercik di dahi.
Beberapa orang tua sudah mula membuat 'bising' kerana terlalu lama berdiri. Kerusi hanya disediakan di bawah khemah untuk pesakit-pesakit lain. Aku menghampiri kaunter di pintu masuk untuk memberikan cadangan supaya kami tidak perlu berdiri lama dengan menggunakan sistem nombor. Namun, petugas kaunter memberitahu bahawa nombor giliran sudah hilang. Aku memintanya membuat nombor giliran menggunakan kertas kosong tetapi cadangan aku umpama angin berhembusan.
Atas rasa simpati melihat mereka yang masih beratur panjang, aku meminta petugas itu memberitahu pegawai yang 'incharge' . Satu nama diberikan dan aku disuruh 'mencari' pegawai berkenaan. Aku terus ke kaunter pendaftaran di ruang dalam dan aku bertanya seorang petugas tentang 'person incharge' yang dimaksudkan. Jawapan yang sama . Aku kira 'person incharge' seorang halimunan yang sukar ditemui. Lantas aku ke kaunter rawatan sementara dan seorang petugas farmasi mahu mendengar aduanku. Dia memberiku sehelai borang cadangan untuk diisi.
Aku menerangkan cadangan aku supaya pihak kaunter hadapan menyediakan nombor giliran dan semakin ramai yang beratur. Setidak-tidaknya, berilah keselesaan kepada golongan tua dahulu masuk ke ruang dalam yang lebih selesa walaupun terpaksa berdiri daripada berpanas di luar. Petugas itu bercakap sesuatu kepada rakan setugasnya di kaunter hadapan.
Hanya perkataan 'jumud' keluar dari mulut petugas di meja farmasi tadi kedengaran dan fahamlah aku bahawa petugas kaunter hadapan sejenis 'pembaris' . Aku sebenarnya tidak berminat untuk menghebohkan hal tersebut tetapi memandangkan sikap 'lurus bendul' petugas kaunter lalu aku menghantar teks whatsapp kepada jiranku seorang Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Daerah untuk mengadu hal yang sama. Pada masa yang sama, teks berkenaan telah di'forward' terus kepada 'person incharge' pagi ini.
Aku melihat para petugas kaunter hadapan menjadi 'kelam kabut' dan melihat telefon bimbit masing-masing sambil petugas kaunter yang aku jumpa awal pagi tadi asyik memandang aku. Barang kali mereka sudah mendapat 'pedoman suci' awal pagi ini. Selepas sejam barulah , beberapa orang dipanggil masuk ke ruang dalam untuk diambil darah. Aku yang juga sedang naik darah dipanggil masuk.
Selesai mengambil darah , aku berjalan keluar melalui kaunter hadapan dan petugas berkenaan mengucapkan terima kasih. Tiba-tiba, dia menjadi bersopan santun tidak seperti pada awal pagi. Bukan niat aku nak 'kacau' orang lain tapi cadangan yang munasabah harus didengari demi keselesaan semua pihak. Petugas kaunter mendapat kemudahan kipas masing-masing tetapi pelanggan berpanas berdiri berjam-jam. Aku tidak pasti 'darah' aku yang diambil pagi ini mungkin tinggi!

Comments

Popular posts from this blog