Episod : BOLING TIN

 

Kalau zaman sekarang main boling sudah menjadi permainan ‘mahal’ kerana kasut perlu disewa dan gelanggang juga mengikut jam bermain. Tahun 1980-an dulu pun sudah ada boling. Namanya, boling tin. Kami budak-budak Flat LPK akan bermain boling tin pada sebelah petang atau cuti sekolah Sabtu dan Ahad.

 

Beberapa biji tin dicari dan dikumpul untuk dijadikan sasaran balingan selipar. Tin susu ‘Dutch Lady’ memang sesuai untuk bermain boling. Tin-tin ini akan disusun bertingkat kebiasaanya tiga tingkat dari empat, tiga , dua dan satu di puncak. 10 tin disusun dan setiap pembaling selipar perlu berada 20 atau 30 langkah. Jadi, selipar Jepun yang jenis berat dipotong talinya dan dijadikan alat pembaling.

 

Kami menggunakan bola getah yang berat dan padu sebagai alat pembaling. Apabila dibaling dengan kuat dan tepat mengenai tin-tin yang disusun masing-masing bertempiaran lari lintang-pukang kerana pembaling akan sepantas kilat mengutip bola itu untuk membaling kawan-kawan lain. Sesiapa yang kena baling dikira nasib malang kerana badannya akan lebam jika kedudukannya paling dekat dengan pembaling. Bagi yang kurang bernasib baik mungkin bola terkena kepala. Aku sendiri pernah dibaling dengan bola getah itu lalu terkena telinga kiri kerana ketika berlari itu aku menoleh dan bola pun sampai.Berdesing telinga aku beberapa ketika . Dunia sunyi sepi seketika.

 

Tempat bermain boling tin ini kenalah sesuai kerana bola yang dibaling boleh melantun terkena cermin kereta atau cermin rumah orang. Tapi, cermin yang pecah akan diganti oleh pekerja yang setiap bulan datang ke flat untuk menggantikan cermin pecah atau mentol lampu kalimantang yang rosak. Adik Ah Mei yang baru lahir dan meninggal dunia pernah diletakkan di bawah tangga flat blok aku selama beberapa hari sebelum dikebumikan. Apabila balik mengaji malam, kain pelikat akan digulung paras lutut dan kami beramai-ramai cabut lari melangkah  dua tiga anak anak tangga sekali gus. Selepas mayat itu dibawa ke tanah perkuburan barulah aman perasaan kami waktu itu. Pada masa itu juga timbul cerita kononnya ada Hantu Kum Kum yang memakai jubah serba hitam dan Hantu Stoking yang akan mencari budak kecil untuk dipakaikan stoking. Ah, gilalah hantu-hantu ini kerana menggangu kami bermain pada siang hari atau malam.

 

Apabila bola dibaling terkena tin-tin bunyi yang bingit ditambah sorak-sorai mereka yang bermain. Kadang-kadang, kami dikejutkan dengan simbahan sebaldi air dari tingkat atas. Sesiapa yang terkena nasiblah balik lencun satu badan. Kecekapan tangan membaling sangat penting dan latihan dilakukan sepanjang masa bermain. Aku pernah memenangi hadiah tupperwear semasa hari sukan sekolah rendah Methodist Pelabuhan Klang apabila berjaya membaling semua tiga uncang berisi pasir ke dalam lubang pada sekeping papan pada jarak 10 langkah.

 

Sepanjang aku menjadi guru sekolah, aku pernah membaling ‘duster’ dan terkena kepala murid yang duduk paling belakang tetapi tidak cedera kerana ‘duster’ itu dibuat daripada sejenis kain tetapi keras juga. Sejak kejadian itu, aku mengelakkan membaling apa-apa saja yang tercapai di tanganku ke arah murid kerana dikhuatiri mengenai tepat sasaran dan lebih bahaya kalau terkena mata murid. Aku gantikan dengan membaling kertas yang digumpal yang lebih ringan dan balinganku masih berbisa hingga hari ini.     

Comments

Popular posts from this blog