Episod : BENTENG
Selepas akad nikah, aku pulang ke rumah bersama-sama rombongan yang menghantarku kerana kami bernikah 'gantung' . Istilah 'nikah gantung' digunakan ketika zaman 80-an. Majlis walimatulurus akan diadakan pada satu tarikh atau masa lain yang akan ditetapkan. Sekarang ini, ada juga pasangan yang bernikah tanpa diadakan majlis walimatulurus namun istilah 'nikah gantung' tidak lagi digunakan.
Selama 'nikah gantung' , aku hanya datang singgah ke rumah keluarga isteriku selepas aku habis mengajar. Menjelang maghrib , aku sampai dari Klang dengan menaiki bas KSOC. Aku tidak mempunyai persalinan pakaian kerana 'nikah gantung' bererti tidak boleh bermalam bersama-sama isteri. Usai solat maghrib, kami akan meminjam motosikal bapa mentua menuju ke pekan kecil untuk makan malam. Walaupun, mak mentuaku sudah siap memasak tetapi kami akan ke gerai makan . Itulah masa berharga untuk kami berdua-duaan dan berpelukan di atas motosikal .
Pada peringkat awal perkahwinan aku menghadapi masalah bab makan. Aku tidak biasa dengan masakan 'bening' keluarga mentua yang sangat asing pada tekakku. Aku membesar dengan masakan Kelantan dan segala jenis gulai. Jadi, sebelum aku ke rumah keluarga isteriku, aku akan makan siap-siap di warung atau restoran . Keadaan ini berlarutan hampir setahun selepas kami berkahwin tetapi kini masakan 'bening' yang dimasak isteriku paling sedap.
Gerai makan di pekan kecil itu dinamakan benteng. Mungkin kerana kedudukannya di tepi sungai kecil . Di situ terdapat deretan kedai kayu yang menjual berbagai-bagai jenis makanan dan minuman . Makanan 'western' belum ada dijual kecuali di hotel. Kebiasaannya, kami makan di gerai yang sama dan menu yang sama . Nasi goreng kampung dan rojak sotong. Rojak sotong di gerai ini amat sedap ditambah sayur kangkung.
Kebanyakan peniaga gerai makan di situ mengenali isteriku tetapi tidak mengenaliku. Setiap kali orang menyapa isteriku mereka akan bertanya 'siapa tu?'. Aku hanya tersenyum sambil memperkenalkan diriku. Sejam atau lebih sedikit kami akan menjamu selera di benteng sambil berbual-bual melepaskan rindu di hati masing2. Makanan yang dijual di benteng ialah masakan panas dan masakan goreng. Benteng menjadi pot penduduk di situ dan kebetulan bas KSOC berhenti di pekan kecil itu sebagai stesen besar.
Ada juga aku mendengar cerita tentang ' sambutan kasar ' golongan muda terutamanya di sana terhadap 'orang luar' yang membawa anak dara kampung. Semua kebimbangan itu tidak pernah berlaku kepadaku dan aku menganggap semua cerita itu sekadar retorik.Seminggu sekali atau dua kali aku akan singgah menemui isteriku.
Kami berbual-bual bagaikan pasangan sedang bercinta sedangkan kami sudah bersuami isteri. Selesai makan , kami pulang ke rumah dengan menunggang motosikal . Kalau sebelum ini, kami hanya menggunakan perkhidmatan bas awam KSOC tetapi selepas berkahwin kami menunggang motor pinjam. Itupun hanya pada sebelah malam kerana waktu siang kami bekerja di tempat masing-masing. Telefon awam menjadi talian hayat kami berdua. Duit syiling sangat berharga dan dikumpul setiap hari. Bukan tiada telefon di rumah tetapi lebih selesa berbual-bual menggunakan telefon awam . Pot telefon awam betul-betul di sebelah 'gate' masuk dermaga Pelabuhan Selatan.
Jadi, berbuallah sepuas-puasnya tanpa gangguan sesiapa kerana tempat itu agak sunyi hanya kenderaan berat seperti trelar atau lori kontena yang keluar masuk ke dermaga. Selepas jam 10.00 malam, aku akan berbasikal 'racing' SHIMANO ke pondok telefon. Situasi ini berlarutan hampir enam bulan dan selepas majlis persandingan dilangsungkan barulah aku menetap di rumah keluarga mentua. Pada hujung minggu ,kami akan pulang ke kampungku Pelabuhan Klang untuk berjumpa ibu bapaku dan bermalam .
Semua memori itu masih hangat di dalam ingatanku. Kadang-kadang teringin mengulangi semula detik-detik manis sewaktu dulu. Aku pernah mencadangkan untuk menunggu isteriku di bawah bangunan Tabung Haji Klang dan berjalan sama melewati Jalan Taiping dan singgah makan di KFC. Kemudian ke stesen bas Klang Utara atau ke Perpustakaan Awam Klang. Berjalan melintasi jambatan Klang. Semoga detik-detik manis sentiasa tercipta antara kami.
Comments
Post a Comment