Episod : BATU GILING
Kalau tak main mercun katak memang tak sah. Tambah
lagi, bersebelahan flat tempat aku tinggal ialah rumah kuaters. Tidak kira
India, Cina dan Melayu sama-sama bermain merun tembak berharga 20 sen sebatang.
Kedudukan kami di tingkat tiga memang memberi kelebihan kepada kami untuk
menyerang kumpulan sasaran di sebelah flat. Mereka terdedah kepada serangan
padu kami di atas. Kejadian tembak-menembak mercun ini berlarutan sampai pukul
9.00 atau 10.00 malam selagi duit belum habis. Meriahnya nak sambut raya.
Dalam kalangan budak flat sederet dengan rumahku ialah
sebuah keluarga Tionghua. Ah Mei dan kakaknya Ah Ling memang ganas menghalakan
mercun ke arah kumpulan sasaran yang menyorok di sebalik pokok bunga kertas.
Kadang kala , mereka melakukan serangan hendap dengan menghampiri pagar dan
menembak kami secara membabi buta dan dibalas oleh Ah Mei dengan dua tiga
batang mercun lagi dan aksi terakhir membaling kayu mercun kea rah sasaran
dengan wajah sangat puas hati.
Walaupun kami bukan bersekolah sama atau sebangsa
tetapi keakraban kami sangat luar biasa. Masing-masing sanggup mengumpul duit
membeli mercun untuk menambahkan kehangatan suasana hari raya yang bakal
menjelang. Ah Swan abang Ah Mei tidak bercampur dengan kami. Mungkin kami masih
bersekolah rendah tetapi Ah Swan sudah bersekolah menengah Cina. Wajah Ah Swan
tidak pernah senyum kalau berselisih dengan kami. Keluarga Ah Swan satu-satunya
keluarga Tionghua yang tinggal di blok
yang sama dengan keluargaku. Ah Swan ini suka berkurung di rumah dan thanya
keluar rumah untuk pergi ke sekolah.
Aku tidak begitu peduli tentang sikap Ah Swan yang
dingin. Adik-beradik Ah Swan juga bersekolah jenis kebangsaan Cina di Jalan
Samy atau Samy Road, Pelabuhan Klang. Manakala, aku dan adik-beradik lelaki
bersekolah di Methodist Boys School dan adik-beradik perempuan dihantar bapaku
ke sekolah kebangsaan atau sekolah Melayu. Perbezaan itu tidak menjadi kudis
kepada kami pada zaman kanak-kanak tahun 1980-an. Apabila rancangan Ultraman
atau Giant Robot semua berlari balik rumah menonton filem kegemaran dan malam
pula melayan drama ‘Chips’ dua anggota polis trafik.
Six Milion Dollar Man juga sedikit-sebanyak membuatkan
aku berangan ingin menjadi sepertinya. Pelakon Lee Major memang hebat
melakonkan watak Six Milion Dollar Man. Kalau cerita ‘Combat’ aksi
peperangannya agak membosankan kerana tentera Amerika pasti menang jika Sarjan
Saunders lakonan Vic Morrow tapi kalau Leftenant yang bawa pasukan selalu kena ‘attack’
dan kalah diserang tentera German.
Pada masa itu, tiada gajet atau komputer seperti zaman
sekarang. Kami lebih menikmati zaman kanak-kanak. Ada-ada saja idea sehingga
semua jenis permainan seperti gasing, getah, gambar dan perang olok-olok
menjadi kegilaan kanak-kanak. Kehidupan di flat ini masing-masing
berlumba-lumba terutama menjelang hari raya. Sekejap-sekejap lori perabot
datang dan memunggah kerusi kusyen baharu, almari dan katil bagi menyambut hari
raya. Kadang-kadang televisyen baharu pun diganti semata-mata untuk menyambut
hari raya. Lebih hebat lagi televisyen ada pintu walaupun warna hitam putih.
Budak-budak India yang tinggal di sebelah flat sering datang ke rumahku untuk
menonton filem Tamil lakonan MGR atau Sivaji. Berguling mereka atas lantai
sampai habis cerita. Aku tidak tahu mengapa rumahku menjadi ‘ panggung wayang
mini’ ketika itu.
Di hujung-hujung bulan puasa, kaum ibu sudah sibuk
memasak kuih-muih. Saat yang mendebarkan ialah menunggu pengumuman hari raya
oleh penyimpan mohor besar raja-raja. Kebiasaanya, pengumuman semasa Salasiah
Ibrahim dan pasangannya Harjit S Hullon ( Dato’) membaca berita saluran RTM TV1
dihentikan seketika untuk memberi laluan pengumuman hari raya. Suasana flat
ketika itu akan sunyi sepi bagai diserang garuda raksasa. Jika esok hari raya, suasana menjadi sangat
gamat. Perang mercun panjang akan disambung sebagai pengakhiran malam itu. Aku
dan beberapa rakan satu blok disertai Ah Mei dan Ah Ling akan berpadu tenaga menyerang
sasaran yang sama sejak bulan puasa bermula.
Sorakan demi sorakan kemenangan kami raikan apabila pihak
sasaran kehabisan mercun. Kegembiraan itru turut dikongsi sama Ah Mei dan Ah
Ling yang lebih tua dua tiga tahun daripada umurku. Ah Swan masih berkurung di
dalam rumah dan menyendiri. Ah, tak kisahlah dia dengan dunia dia. Malam raya
itu juga aku melihat ibuku memasak rendang ayam seekor dua yang paling lazat.
Kemudian, ibuku akan memasak nasi lembik dan diletakkan di dalam kain napkin
berwarna putih. Oleh sebab aku anak lelaki sulung, akulah akan menjadi tukang
angkat batu giling bagi menekan nasi di dalam kain napkin yang sudah diikat
kemas untuk dijadikan nasi impit. Kadang-kadang sebaldi air ditambah di atas
batu giling sebagai menambahkan berat. Tidak sabar-sabar untuk menyambut hari
raya keesokan harinya. Malam itu juga aku akan mengikut rombongan surau pergi
rumah ke rumah untuk bertakbir raya. Tuan rumah akan memberi kami duit siling 5
sen atau 10 sen. Jarang-jarang kami mendapat 20 sen.
Kenangan itu sudah berlalu hampir 42 tahun. Ah Mei dan
Ah Ling sudah lama aku tidak pernah berjumpa mungkin wajah mereka pun aku sudah
tidak cam. Manakala, Ah Swan hilang begitu sahaja selepas menduduki Sijil
Pelajaran Malaysia (SRP) dan aku mendengar desas- desus dia lari mengikut
kumpulan masuk hutan . Khabar itu tidak
dapat aku sahkan kerana mendengar cakap-cakap orang tetapi aku agak percaya
juga melihatkan tingkah lakunya yang tidak suka bergaul seperti budak-budak
flat lain.
Kini, Flat LPK sudah menyembah bumi sekian lama untuk
dibangunkan kawasan industri baharu. Jalan Kem, Pelabuhan Selatan kampungku
dalam memori.
Comments
Post a Comment