Episod : TOK SIAK MUN
Kampung Binjai terletak di sebuah daerah di sebuah negeri di Utara dan rata-rata penduduknya orang tua kerana orang-orang muda sudah berhijrah ke bandar mencari rezeki. Di kampung itu hanyalah terdapat kebun getah dan kelapa sawit. Penduduk kampung sudah tidak terdaya untuk melakukan kerja-kerja di kebun melainkan mengupah warga Indonesia yang mencari pekerjaan di kampung itu.
Salah seorang penduduk asal Kampung Binjai ialah Tok Siak Mun. Mun Bin Man sudah menetap di kampung itu sejak dia lahir. Arwah datuknya, Min ialah peneroka Kampung Binjai dan kemudian semua kebun getah dan kelapa sawit jatuh kepada arwah bapanya Man yang merupakan anak tunggal dalam keluarga.
Kebun getah dan kelapa sawit seluas 20 ekar peninggalan arwah ayahnya itulah yang menjadi sumber rezeki Tok Siak Mun sejak muda hingga sekarang usianya sudah mencecah 74 tahun. Tok Siak Mun mempunyai seorang isteri bernama Maimun dan seorang anak perempuan tunggal bernama Minah. Kini, Minah sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam dan tinggallah Tok Siak Mun dan Maimun sahaja di rumah. Ke depan ke belakang setiap hari itulah muka yang sama dipandang tanpa jemu.
Tok Siak Mun mendapat gelaran Tuk Siak setelah dia dilantik oleh jawatankuasa Surau Binjai. Sebuah surau lama yang terletak di hujung Kampung Binjai. Sudah beberapa kali Tok Siak Mun menolak untuk menyambung tugas sebagai Tuk Siak tetapi ditolak kerana tiada sesiapa yang ingin menggantikan tempatnya. Jadi terpaksalah Tok Siak Mun menjalankan tugasnya hingga hujung nyawa.
“Aku dah tak larat lagi nak buat kerja di surau kita tu, Jali,” kata Tok Siak Mun kepada Ketua Kampung Binjai sambil terbatuk-batuk kecil. Jali hanya terdiam memikirkan kata-kata Tok Siak Mun.
“Aku bukan tak faham Mun. Kau pun tahu di kampung ini siapa lagi yang tinggal. Semua dah sebaya kita. Sejak kecil aku dah kenal kau. Kita membesar sama-sama. Pasal hasrat kau nak letak jawatan tu aku rasa kau sabarlah dulu. Nanti aku carikan calon menggantikan tempat kau tu,” balas Jali dengan suara yang tenang. Tok Siak Mun meneguk air kopi pekat seteguk dua.
“Macam nilah, Mun. Hujung bulan ni aku akan ke Pejabat Daerah ada mesyuarat penting. Katanya, ada Menteri akan hadir sama. Nantilah aku suarakan hasrat kau tu kalau-kalau Tuan DO kita ada rancangan lain. Khabarnya , surau kita hendak dibaik pulih. Begitulah yang aku dengar,” sambung Jali. Tok Siak Mun tersenyum seakan-akan sudah nampak hasratnya akan termakbul.
Surau kayu yang dibina sejak 20 tahun semakin usang. Surau itu dibina tinggi bagi mengelakkan banjir kerana kedudukannya yang berhampiran Sungai Binjai. Pernah sekali banjir besar melanda Kampung Binjai. Air separas pinggang dan Surau Binjai terselamat daripada dihanyutkan oleh arus deras . Hanya beberapa bahagian surau sahaja yang rosak dan dibaiki secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Binjai.
Tugas Tok Siak Mun setiap hari membersihkan surau dan kawasan sekitarnya. Boleh dikatakan Surau Binjai sudah menjadi rumah kedua Tok Siak Mun. Jemaah surau semakin hari semakin kurang kerana penduduk yang sudah berusia sudah ramai yang meninggal dunia. Kalau sembahyang Jumaat mereka akan ke Masjid Binjai yang terletak hampir 3 kilometer dari Kampung Binjai. Tok Siak Mun menjalankan tugasnya dengan penuh ikhlas tetapi sekarang kudratnya semakin berkurangan. Kadang-kadang anak-anak muda kampung yang pulang ke kampung sekali-sekala akan membantunya membersihkan surau itu. Itupun , kadang-kadang. Kalau pun ada jarang-jarang.
Pernah seklai , beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi universiti datang berkampung di situ untuk menjalankan kerja amal. Surau Binjai dicat baharu dan kerosakan-kerosakan kecil dibaik pulih namun benda lama tetap lama. Selepas mahasiswa dan mahasiswi itu pulang, surau itu kembali sunyi. Penceramah jemputan yang dijemputpun kadang-kadang datang tetapi selalu tidak datang.
“Saya bukan tak nak datang, Lebai. Tapi, yang hadir cuma Lebai dan dua tiga orang sahaja. Jadi, buat sementara ini kita berehat dulu,” beritahu Ustaz Deris yang mengajar di surau kampung itu kepada Tok Siak Mun dan Ketua Kampung. Mereka terpaksa akur dan memahami kesulitan yang dihadapi Ustaz Deris yang datang dari jauh hampir 20 kilometer dari rumahnya ke surau itu. Sejak itu, pengajian agama oleh penceramah jemputan dihentikan sementara waktu. Hari demi hari Surau Binjai semakin sunyi.
Tok Siak Mun tetap melakukan tugas yang diamanahkan kepadanya. Tuk Siak Mun masih ingat pesan Ustaz Deris, amanah mestilah ditunaikan dengan penuh tanggungjawab jika tidak akan dipersoalkan di akhirat. Pesan Ustaz Deris dipegang kuat-kuat oleh Tok Siak Mun. Segala tugas dari kecil hingga besar dijalankannya dengan ikhlas. Tidak pernah sekali Tuk Siak Mun gagal melakukan amanahnya itu. Rutin setiap hari Tuk Siak Mun membuka dan menutup pintu surau setiap waktu dan membersihkan surau serta mengemas barang-barang yang ada di dalam surau itu.
Ketua Kampung Binjai, Jali selalu juga datang singgah menjenguk dan menemani Tuk Siak Mun di surau jika dia tiada urusan.
“Aku rasa surau kita ini dah patut dibuat baru ,” ujar Jali. Tuk Siak mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Jali.
“Itulah, kalau surau ini dibuat baru aku rasa ramai yang akan datang ke surau kita ini,” balas Tuk Siak Mun. Memang itulah salah satu sebab penduduk di situ sudah jarang-jarang datang ke surau memandangkan surau itu secara luaran nampak utuh tetapi sebenarnya sudah usang. Baru di luar lama di dalam.
“Harap-harap surat yang aku hantar kepada Tuan DO nanti akan disampaikan kepada Menteri untuk dipertimbangkan, “ ujar Jali dengan wajah penuh harapan. Tuk Siak Mun mengangguk lemah.
Suatu petang , Jali datang ke rumah Tuk Siak Mun untuk menyampaikan berita baik. Surau Binjai akan dilawati Menteri hujung minggu itu. Berbunga-bunga hati Jali memberitahu Tuk Siak Mun.
“Pagi tadi, masa mesyuarat dengan Tuan DO ada beritahu aku Menteri nak datang melawat surau kita. Aku bisik kepada Tuan DO semoga permohonan kita nak dapat surau baru akan diluluskan Menteri,” ujar Jali dengan wajah berseri-seri. Tuan DO tersenyum sambil mengangguk.
“Alhamdulilah,” balas Tuk Siak Mun. Tuk Siak Mun sudah membayangkan sebuah surau baru akan tersergam di Kampung Binjai. Ramai penduduk akan kembali hadir ke surau. Ustaz-ustaz jemputan akan datang mengajar semula di surau. Hati Tuk Siak Mun sama-sama berbunga seperti Jali.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Tiada persiapan besar-besaran yang dilakukan untuk menyambut Menteri datang ke Kampung Binjai hanya ala kadar. Maimun , isteri Tuk Siak Mun sudah menyiapkan bunga telur untuk diagih-agihkan kepada tetamu kehormat yang akan datang ke kampung mereka. Bunga manggar dua batang sudah dipacak di jalan masuk ke kampung. Beberapa hari sebelum itu, pekerja majlis bandaran sudah membersihkan jalan masuk ke kampung itu, Ada sesetengah jalan dibuat tar baru. Lalang dan rumput ditebas sehingga jalan kampung yang dulu bersemak samun kembali terang-benderang.
Tuk Siak Mun berdiri di tangga surau dengan Jali dan penduduk kampung menanti kehadiran Menteri. Kedengaran bunyi siren kereta pengiring Menteri dari jauh. Masing-masing tidak sabar-sabar hendak melihat Menteri kerana inilah kali pertama Menteri datang ke Kampung Binjai. Kelihatan satu rombongan besar dengan bepuluh-puluh kereta memasuki jalan menuju ke Surau Binjai. Menteri diiringi Tuan DO melemparkan senyuman dan melambai-lambai penduduk kampung yang berdiri di kiri dan di kanan jalan. Ketua Kampung menyambut ketibaan Menteri. Meriah sungguh suasana hari itu.
Tuk Siak Mun diperkenalkan kepada Menteri. Tuk Siak Mun berasa segan melihat Menteri sudi meninjau Surau Binjai. Menteri berjalan-jalan di sekitar surau dan kemudian menaiki tangga surau. Hanya Menteri, Tuk Siak Mun, Ketua Kampung , Tuan DO dan beberapa orang jurufoto mengiringi Menteri di atas surau. Jali sudah berpesan kepada penduduk kampung agar tidak ikut naik ke atas surau kerana dibimbangi surau akan roboh menyembah bumi.
Seorang pembantu Menteri memberikan penyapu lidi dan Menteri membersihkan sesawang dan taik cicak yang melekat pada dinding surau. Beberapa orang jurugambar berebut-rebut merakam detik-detik Menteri melakukan kerja-kerja pembersihan. Tidak sampai lima minit , Menteri menyerahkan penyapu lidi kepada Tuk Siak Mun yang berdiri tidak jauh darinya. Menteri hanya tersenyum memandang Tuk Siak Mun, Ketua Kampung dan Tuan DO. Menteri melangkah turun dari atas surau.
“Saya harap penduduk kampung akan sama-sama menjaga surau ini, “ kata Menteri kepada penduduk kampung yang sedang menunggu di bawah. Menteri berlalu ke arah kenderaan rasminya dan meninggalkan kawasan surau itu untuk meninjau di kawasan lain.
Jail memandang wajah Tuk Siak Mun. Wajah Tuk Siak Mun suram. Wajah Jali juga suram. Penduduk kampung bersurai pulang ke rumah masing-masing. Suasana di Surau Binjai kembali sunyi seperti sedia kala.
“Nampaknya tak ada harapan kampung kita mendapat surau baru, Mun,” ujar Jali sambil duduk di atas tangga surau. Tuk Siak Mun hanya mendiamkan diri dan memandang jauh melihat rombongan Menteri meninggalkan Kampung Binjai.
“Janji tinggal janji,” getus hati Tuk Siak Mun dan air matanya mengalir perlahan di celah-celah kedutan wajahnya sambil menghela nafas panjang.
Comments
Post a Comment