Episod : TERPISAH JUA

 

Hampir 5 tahun telah berlalu, Jais masih berasa sayang kepada Azi. Namun, perasaan itu hanya bersarang di dalam hatinya. Azi bukan lagi isterinya yang dulu. Segala-galanya berubah sekelip mata. Azi yang dikenalinya semasa mengikuti kursus pembinaan di sebuah daerah di Pahang bertaut kasih dengan perkahwinan yang direstui oleh kedua-dua keluarga.

Perniagaan Syarikat Pembinaan Jazi Sendirian Berhad amat berjaya. Syarikat mereka diberikan kepercayaan oleh pelanggan-pelanggan mereka sama ada pihak swasta mahupun kerajaan. Empayar perniagaan syarikat mereka terus berkembang ke beberapa buah negeri. Hasil perkahwinan mereka selama hampir 25 tahun dikurniakan dua orang cahaya mata , Azhar dan Azmah. Kedua-dua anak mereka dibesarkan dengan kasih sayang.

Azhar kini seorang jurutera di sebuah syarikat milik usahawan Jepun manakala Azmah seorang wartawan di sebuah syarikat surat khabar terkemuka. Kebahagiaan keluarga Jais mula diuji apabila tiba-tiba Jais mengalami serangan jantung. Akibatnya, Jais mengalami serangan strok yang serius. Jais hanya bergantung kepada bantuan Azi dan anak-anaknya. Keadaan kesihatan Jais sangat getir memandangkan Jais tidak mampu berjalan dan menguruskan dirinya sendiri. Jais hanya mampu menggunakan isyarat tangan untuk meminta sesuatu.

Azi semakin pasrah dengan keadaan Jais dan kadang kala Azi seperti sudah berputus asa. Azhar dan Azmah tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada bapa mereka yang terlantar dan tidak berdaya. Azi sahaja yang menguruskan Jais setiap hari. Makan minum dan memandikan Jais dilakukan Azi. Jais tahu Azi sangat tabah kerana mereka pernah mengalami zaman turun naik dalam perniagaan sebelum Jais jatuh sakit.

Syarikat Pembinaan Jazi Sendirian Berhad akhirnya terkubur di tengah-tengah  kejayaan. Tiada sesiapa yang mahu meneruskan legasi Jais.  Azhar amat komited dengan pekerjaannya begitu juga Azmah. Jais berasa terkilan kerana empayar perniagaannya runtuh tiba-tiba. Jais kasihan terhadap Azi yang turut menderita emosi dengan keadaannya begitu. Jais akui Azi seorang gadis cantik yang semasa mula-mula berkenalan dulu dan sehingga kini Azi masih anggun walaupun sudah berusia. 

Jais merelakan Azi mencari kebahagiaannya kerana Jais tidak mahu Azi terus menderita kerananya. Akhirnya , terpisah jua cinta yang dibajai dengan kasih sayang. Jais memahami tindakannya itu akan menyusahkan keadaannya lagi. Azhar dan Azmah terpaksa menerima hakikat itu bahawa ibu bapa mereka telah memilih jalan masing-masing. Azhar telah menggajikan seorang pembantu rumah sepenuh masa bagi menjaga dan menguruskan bapanya. Azmah sekali-sekala akan pulang menziarahi bapanya. Begitulah rutin yang berlaku sejak perpisahan ibu bapa mereka.

Azi kemudiannya telah berpindah ke Kuala Lumpur dan mempunyai sebuah kediaman sendiri hasil titik peluhnya semasa menguruskan Syarikat Pembinaan Jazi Sendirian Berhad. Azi kembali bekerja di sebuah syarikat sebagai eksekutif memandang Azi memiliki kelayakan akademik yang tinggi dan pengalaman yang luas dalam perniagaan. Sesekali Azi bertanya khabar Jais melalui anak-anaknya Azhar dan Azmah. Azi juga akan melawat Jais di rumah asal mereka dan sudah tentulah masing-masing tidak mampu menahan perasaan sedih. Namun, mereka menerima ketentuan Tuhan.

Keadaan Jais tidak banyak berubah kerana penyakit strok yang dialaminya. Doktor yang memberikan rawatan juga tidak menaruh sebarang harapan dan hanya berserah kepada kuasa Tuhan sahaja mampu mengubahnya. Apabila hujung minggu, Azhar akan menemani bapanya dan dapatlah pembantu rumah berehat seketika. Jais tidak banyak kerenah walaupun kadang-kadang Jais dibelenggu emosi yang tidak terkawal. Pada suatu hari, Azmah pulang melawat bapanya yang terlantar di katil. Senyuman tawar Jais menyambut kehadiran Azmah yang memiliki wajah saling tak tumpah seperti ibunya.

“Baba, Mah nak cakap sikit dengan Baba,” ujar Azmah kepada bapanya. Jais hanya terdiam tanpa berkata-kata. Azmah menarik nafas dalam-dalam. Azmah menggenggam erat tangan bapanya. Jais dapat merasakan getaran pada suara Azmah.

“Baba, ibu sudah berkahwin semula, “ kata Azmah dengan suara tertahan-tahan. Air mata Azmah mengalir perlahan. Jais merenung siling tanpa berkelip hanya air mata mengalir di hujung kelopak. Azmah memeluk bapanya dengan erat sambil tersedu-sedan. Jais masih merenung siling dari tempat pembaringannya. Azmah mengesat air matanya yang mencurah-curah . Azmah berasa amat simpati terhadap bapanya itu daripada seorang yang ceria kemudian sengsara.

Kesihatan Jais semakin hari semakin merosot. Beberapa kali, Jais dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas. Penyakit stroknya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan. Azhar dan Azmah lebih kerap melawat Jais sejak Jais mengalami kompilasi kesihatan. Azi tidak lagi datang menjenguk Jais namun Azi masih mendapat berita tentang Jais melalui Azmah dan Azhar. Azi tetap bersimpati dengan bekas suaminya itu.

Hari itu cuaca cerah dan angin di luar berhembus perlahan. Azhar dan Azmah berada di rumah itu sejak semalam. Jais masih tidur di tempat pembaringannya. Sudah beberapa kali, Azmah menjenguk melihat bapanya.

“Mungkin baba penat melayan aku dan abang berborak semalam,” getus hati Azmah. Pembantu rumah sedang sibuk menyediakan sarapan di dapur sambil dibantu oleh Azmah. Azmah menjenguk dari dapur dan melihat bapanya masih tidur. Azhar masuk ke rumah dan mendekati katil bapanya.

“Baba.Baba. Bangun baba,” Azhar seperti berbisik mengejutkan bapanya. Jais tidak menunjukkan sebarang reaksi. Azhar menjadi cemas dan memanggil Azmah serta pembantu rumah. Azmah menelefon ambulans untuk mendapat bantuan kecemasan manakala Azhar masih mencuba mengejutkan bapanya. Tangan Azhar berasa sejuk apabila memegang tubuh bapanya.

Sepasukan anggota paramedik telah tiba di rumah itu dan mengesahkan Jais telah meninggal dunia dan disambut teriakan tangisan Azmah memecah keheningan pagi itu. Azhar terjelepuk di lantai menerima keputusan itu. Berita kematian Jais secara mengejut telah disampaikan Azhar kepada ibunya, Azi. Kedengaran esakan kecil di hujung talian.

( Kepada sahabatku, semoga kau tenang di dunia abadi dan digolongkan bersama-sama orang beriman. Amin Ya Rabbal Alamin).

 

 

Comments

Popular posts from this blog