Episod: SURI

Rahim terpaksa pulang ke kampung kerana isterinya telah selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka. Perasaan Rahim amat teruja setelah nenanti hampr 5 tahun selepas mendirikan rumah tangga.
"Abang ajaklah kawan abang temankan abang," kata Ratna semasa Rahim memberitahu dia akan pulang pada malam itu.
"Berjalan pada waktu malamkan bahaya, bang," sambung Ratna lagi. Rahim terdiam seketika.
"Insyallah, selamat Ratna," kata Rahim cuba menyedapkan hati Ratna. Ratna temannya semasa di universiti dulu akhirnya mereka berkahwin.
" Abang dah tanya dengan kawan-kawan tapi semua ada hal," ujar Rahim. Perbualan melalui telefon bimbit pada malam itu berakhir apabila Ratna mengalah dengan keputusan Rahim untuk memandu sendirian pulang ke kampung.
Perjalanan Rahim sudah melepasi 2 jam melalui Lebuhraya Karak. Badannya berasa sangat letih kerana selepas sahaja pulang dari pejabat dia terus memandu kereta ke arah Pantai Timur. Beg pakaiannya sudah dimasukkan ke dalam but kereta semalam. Sesekali Rahim menguap dan menggenyeh-genyeh matanya yang semakin layu.
Dari jauh Rahim ternampak lampu yang berkelip-kelip. Keretanya dipandu perlahan dan merapati bahu jalan. Beberapa buah kereta juga sedang diparkir di bahu jalan dan kelihatan sebuah warung kecil dengan beberapa orang pelanggan sedang menjamu selera. Rahim mengambil tempat duduk di sudut kanan warung.
Sebaik sahaja Rahim melabuhkan punggungnya datang seorang pelayan warung. Seorang perempuan sekitar 20-an dan berpakaian baju kurung sepasang.
"Abang nak makan apa?," tanya pelayan itu sambil tersenyum. Beberapa orang pelanggan memandang Rahim dan pelayan itu.
"Bagi saya tomyam campur, nasi putih dan telur dadar," pinta Rahim.
"Minum, bang ?"
" Air limau nipis suam."
Pelayan itu berlalu ke belakang melalui tepi dinding warung dan menghilang.
"Encik dari mana?," tegur seorang lelaki yang agak tua dan bongkok. Rahim agak terkejut dan cepat-cepat tersenyum kepada lelaki tua itu.
"Oh, saya dari KL hendak ke Kuala Krai," jawab Rahim spontan. Lelaki tua itu duduk berhadapan dengan Rahim sambil sebatang rokok daun terselit di celah -celah jarinya. Suasana diam seketika.
" Kenapa jalan malam-malam. Kan bahaya," kata lelaki tua itu tanpa memandang wajah Rahim sebaliknya matanya tertumpu di bahagian dapur. Pelayan tadi dan seorang perempuan separuh umur sedang sibuk memasak.Lelaki tua itu tersenyum sendirian. Rahim hanya memerhatikan gelagat lelaki tua itu.
"Kenapa pakcik senyum?," tanya Rahim tiba-tiba.
Lelaki itu tidak segera menjawab pertanyaan Rahim. Rahim menunggu jawapan lelaki tua itu.
"Perempuan muda tu anak saya, Suri namanya. Yang sedang memasak tu isteri saya," jawab lelaki tua itu perlahan-lahan.Rahim mengangguk dan tidak menyambung pertanyaan lagi.
" Encik sudah berkahwin?," tanya lelaki itu tiba-tiba.
"Sudah pakcik. Isteri saya di kampung sudah bersalin," jawab Rahim tetapi seperti tidak dipedulikan oleh lelaki tua itu. Asap rokok daun berkepul-kepul menerawang di udara. Beberapa orang pelanggan sudah meninggalkan warung seorang demi seorang . Hanya yang tinggal Rahim , lelaki tua itu, isterinya dan anak perempuannya. Kedengaran bunyi cengkerik bersilih ganti pada malam yang gelap gelita itu.
Tiada kenderaan lain yang lalu lalang di jalan itu.
Suri muncul membawa makanan dan minuman yang dipesan Rahim di atas dulang yang berbunga-bunga seperti yang pernah digunakannya semasa kecil dulu. Kini, dulang seumpama itu sudah dianggap barang antik.
"Jemput makan bang," pelawa Suri sambil tersenyum manis. Bau wangi semerbak dan sekuntum bunga cempaka terselit di cuping telinga Suri.
Rahim menjamah tomyam dan nasi putih dengan berselera. Lelaki tua itu hanya tersenyum melihat Rahim seperti kelaparan. Tidak sampai 20 minit , Rahim sudah selesai makan.
"Selepas ini Encik terus memandu ke Kuala Krai?," tanya lelaki tua itu selepas melihat Rahim tersandar kekenyangan.
"Sedap betul masakan masakcik tadi," puji Rahim sambil tersengih. Lelaki tua itu juga tersengih.
"Anak pakcik yang masak," kata lelaki tua itu. Rahim tersenyum memandang Suri di dapur.
"Pakcik sekeluarga tinggal di mana," tiba-tiba terpacul pertanyaan dari mulut Rahim. Lelaki tua itu melemparkan pandangannya ke arah sebelah kanan warung itu. Rahim hanya melihat kegelapan malam. Tiada cahaya lampu. Sesekali hembusan angin dingin membungkus tubuh Rahim. Lelaki tua itu tidak menjawab pertanyaan Rahim tadi tapi Rahim memahami bahasa tubuh lelaki itu. Rahim hanya mengangguk.
" Suri, mari sini nak," panggil lelaki tua itu sambil melambaikan tangan ke arah Suri.
"Duduk sini," arah lelaki tua itu sambil menepuk pangkin tempat mereka sedang duduk. Suri menundukkan kepalanya. Di dalam hati, Rahim memuji kecantikan wajah Suri. Namun, Suri hanya mendiamkan diri di sisi lelaki tua itu yang mengaku ayahnya.
"Suami Suri sudah meninggal dunia2 tahun yang lalu. Kemalangan kerera tidak jauh dari sini. Tapi, Suri terselamat," ujar lelaki tua itu sambil membelai rambut Suri yang panjang separas pinggang. Suri mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya. Suri tetap menundukkan kepala.
"Maafkan saya. Saya berasa simpati dengan nasib anak pakcik," kata Rahim dengan wajah sedih.
"Suri sempat melahirkan seorang cahaya mata tanpa bapa di sisinya. Ketika kemalangan Suri sudah berbadan dua. Jadi, saya dan isterilah yang menjaga cucu kami itu," cerita lelaki itu panjang lebar. Tiba-tiba , kedengaran suara bayi sedang merengek. Suri bingkas bangun ke dapur dan kemudian muncul semula dengan seorang bayi di dalam pelukannya. Lelaki tua itu menggeleng tanpa berkata apa-apa. Barangkali perasaannya sedih mengenangkan nasib cucunya itu.
Rahim melihat jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Bermakna sudah sejam setengah dia di warung itu. Jalan raya sunyi tiada kenderaan yang melintas. Angin dingin semakin mencengkam tubuh Rahim. Masing-masing tidak berkata-kata.
"Mungkin anak Encik seperti cucu saya ini," ujar lelaki tua itu tiba-tiba.
"Suri cuba tunjuk anak Suri," beritahu lelaki tua itu.
Perlahan-lahan Suri menghampiri Rahim. Bau harum bunga cempaka semerbak.
"Allahuakbar! ," tiba-tiba Rahim menjerit kerana di pangkuannya itu sebuah batu nesan kecil dan di tangan Rahim sekuntum bunga cempaka. Wajah Rahim pucat dan peluh memercik di dahinya. Nafasnya tercungap-cungap. Kedengaran suara bayi menangis dengan kuat. Bulu roma Rahim meremang. Rahim memejamkan matanya.
"Bang ! Bang ! Bang!" Rahim masih mendengar suara bayi menangis dan perlahan-lahan Rahim membuka matanya perlahan-lahan dengan degup jantung yang kencang.
"Kenapa ni , bang?," suara Ratna di sisinya. Rahim membuka matanya dan dadanya berombak kencang. Tangisan bayi itu ialah suara anaknya yang baru dilahirkan .
"Abang bermimpi Ratna," kata Rahim selepas menarik nafas dalam-dalam .
"Tadi abang sampai rumah terus tertidur," ujar Ratna. Rahim bangkit perlahan-lahan dan berlunjur di atas katil. Rahim tersenyum gembira melihat puterinya yang baru dilahirkan. Ratna memeluk bahu Rahim dengan mesra.
"Saya sudah pilih nama anak kita," ujar Ratna seakan berbisik ke telinga Rahim. Rahim tersenyum dan menantikan Ratna memberitahu nama anak mereka.
"Suri ," kata Ratna dan wajah Rahim menjadi pucat tiba -tiba dan badannya menggeletar. Ratna menjadi panik melihat keadaan suaminya itu. Rahim teringatkan Suri yang ditemuinya di dalam mimpinya.

Comments

Popular posts from this blog