Episod : SEKANGKANG KERA

 

Pok Mad (bukan nama sebenar ) dilahirkan di Kota Metropolitan itu sejak tahun 60-an. Kini , usia Pok Mad sudah mendaki tangga 50-an. Arwah ibu bapa Pok Mad berhijrah ke situ sekitar tahun 40-an. Itupun , tanah yang terdiri sebuah rumah pusaka keluarga arwah ayah Pok Mad.  

 

Sejak belakangan ini , beberapa orang pegawai dari Pejabat Tanah Daerah telah datang mengukur tanah rumah pusaka yang didiami Pok Mad sekeluarga.

“Ayah, ayah. Ada orang datang, ” beritahu anak Pok Mad yang bermain di bawah rumah.

“Asalamualaikum , Pakcik, ” sapa seorang lelaki berkemeja korporat sambil tersengih-sengih kepada Pok Mad. Pak Mad menjengukkan kepala di muka pintu.

“Walaikumsalam,” jawab Pok Mad spontan.

“Kami ini dari Pejabat Tanah Daerah,” lelaki tadi memperkenalkan dirinya dan dua lagi rakannya yang mengepit segulung kertas plan.

“Kami datang nak ukur tanah rumah Pakcik,” sambung lelaki itu. Pok Mad mengangguk-angguk dan memandang jalan raya di depan rumah yang sibuk dengan kereta lalu lalang.

“Untuk apa Encik nak ukur tanah saya?,” tanya Pok Mad meminta penjelasan.

“Begini .Pakcik. Pihak kami akan mahu mengukur tanah Pakcik untuk dimasukkan dalam plan pembangunan di kawasan ini,” jelas lelaki itu sambil mengipas-ngipas tangannya kerana cuaca tengah hari itu sangat panas. Sudah hampir dua minggu hujan tidak turun.

“Oh. Bolehlah encik ukur tanah ini, ” ujar Pok Mad memberikan keizinan.

Dua orang anak Pok Mad yang berumur 5 dan 8 tahun sedang bermain di bawah rumah bertiang empat.

 

Sejak pegawai Pejabat Tanah Daerah datang mengukur tanah rumah Pok Mad, kelihatan beberapa orang lelaki berpakaian seperti kontraktor dan bertopi meninjau-ninjau kawasan di situ. Kehadiran mereka sejak beberapa hari ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk di situ.

“Pok Mad, mu perasan tak orang-orang yang masuk kawasan kita?,” tanya Pak Abu (bukan nama sebenar ) yang juga penduduk lama di situ sambil menggulung rokok daun tembakau.

“Entahlah, Abu. Hari itu pegawai Pejabat Tanah Daerah datang nak ukur tanah aku, “ beritahu Pok Mad dengan dahi berkerut.

“Bukan tanah mu saja Pok Mad. Tanah aku, tanah Man Panjang (bukan nama sebenar) dan Lebai Siak (bukan nama sebenar ) pun mereka ukur juga. Katanya, untuk buat pembangunan baru di kawasan kita ni, “ jelas Pak Abu panjang lebar. Beberapa orang pelanggan yang seusia mereka hanya mendengar dan tidak juga mencelah. Seekor dua kucing jalanan sedang menguis-nguis sisa-sisa makanan yang jatuh ke lantai. Kereta-kereta yang diparkir di tepi jalan itu milik kakitangan menara yang tinggi di tengah-tengah Kota Metropolitan itu. Kedudukan rumah Pok Mad dan beberapa orang lagi penduduk dikepung oleh bangunan-bangunan pencakar langit yang tumbuh bagaikan cendawan.

 

Persoalan tentang kemunculan pegawai Pejabat Tanah Daerah akhirnya terjawab apabila Pok Mad menerima sepucuk surat berdaftar. Tanah tapak rumah pusaka Pok Mad akan diambil alih oleh sebuah syarikat pemaju. Surat yang disokong oleh pihak berkuasa itu mencemaskan Pok Mad dan mereka yang turut menerima surat berdaftar yang sama. Petang itu , mereka mengadakan perjumpaan di warung Pok Leh (bukan nama sebenar ).

“ Saya mahu mengajak tuan-tuan bersama-sama saya ke Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan penjelasan tentang kedudukan tanah kita. Mereka ada menawarkan pampasan kepada kita tetapi kita tidak setuju dengan pampasan yang tidak setimpal,” jelas Pok Mad kepada beberapa orang penduduk yang ikut berkumpul.

“Tapi , bang. Kalau Pejabat Tanah Daerah nak beri pampasan apa salahnya kita ambil saja. Lagipun , RM1500 sekaki persegi memang berbaloi, ” kata Wak Ten (bukan nama sebenar) yang merantau dari tanah seberang. Wak Ten telah membeli tanah yang menjadi tapak rumahnya daripada sseorang peneroka asal kawasan itu sekitar tahun 70-an dulu.

 

Perjumpaan Pok Mad , Pak Abu dan Wak Ten dengan pegawai Pejabat Tanah daerah telah disambut oleh seorang pegawai yang berpangkat Timbalan Pengarah.

“Saya sedar tuan-tuan kurang bersetuju sekiranya tanah tuan-tuan diambil untuk pembangunan di kawasan itu, ” kata Timbalan Pengarah.

“Pihak kami juga menawarkan pampasan yang tinggi kepada tuan-tuan. Sekurang-kurangnya tuan-tuan boleh membina atau membeli rumah lain, “ sambung Timbalan Pengarah seperti memujuk.

“Bukan pampasan yang menjadi persoalannya tetapi kami tidak diberitahu awal-awal tentang rancangan pembangunan di kawasan ini, “ ujar Pak Abu memprotes.

“Bukan macam tu tuan. Perancangan pembangunan di kawasan ini sudah tertangguh lama sejak menara di sebelah itu dibina, ” kata Timbalan Pengarah lagi.

“Kami sudah menjemput tuan-tuan untuk dengan kami tetapi kami tidak mendapat jawapan daripada tuan-tuan, ” kata Timbalan Pengarah. Sebenarnya, Pok Mad dan beberapa pemilik tanah telah menerima kata janji seorang wakil dari sebuah parti bahawa tanah mereka boleh dijual pada harga RM5000 sekaki persegi. Janji itulah yang membuatkan Pok Mad dan penduduk di situ tidak jadi menjual tanah mereka.

 

Pertemuan Pok Mad dengan pegawai Pejabat Tanah Daerah berakhir tanpa nokhtah. Masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza. Peralihan kuasa yang berlaku secara mendadak selang sebulan tawaran pampasan RM1500 sekaki persegi amat melegakan Pok Mad. Pok Mad tersenyum lebar kerana tanah mereka akan dibeli pada harga tawaran RM5000 sekaki persegi. Pok Mad sudah merancang untuk pulang ke kampung asalnya di sebelah Pantai Timur untuk membina sebuah rumah baharu. Kalau diikut congakan Pok Mad bukan sahaja mampu membina rumah bahkan membeli beberapa ekar tanah hasil jualan tanah itu.

 

Namun begitu , Pok Mad dan penduduk kampung berasa amat terkejut apabila pegawai yang menjadi wakil datang menemui mereka semula.

“Tak boleh begini tuan, “ sanggah Pok Mad.

“Kami sudah membuat keputusan yang tetap. Pihak kami menawarkan harga RM500 sekaki persegi sahaja. Terpulang kepada tuan untuk menerima tawaran tersebut atau kami terpaksa mengambil tanah tuan secara paksa, “ ujar pegawai itu lagi dan meninggalkan Pok Mad terpinga-pinga.

 

Kini, segala keputusan di tangan Pok Mad dan mereka yang terlibat, bak kata orang ; ditelan mati emak diluah mati bapa’. Pok Mad berasa sangat kesal kerana menolak tawaran yang mula-mula dulu sebelum peralihan kuasa berlaku. Pok Mad berasa marah seolah-olah dia telah ditipu. Hakikatnya, tanah sekangkang kera itulah yang akan menentukan nasib dan masa depan generasinya pada masa akan datang.

 

Comments