Episod: Sebuah Galeri dan Kereta
Sekitar tahun 2005 riuh-rendah apabila sebuah galeri kereta mewah telah dibuka berdekatan taman perumahan tempat tinggalku. Ramai yang ingin melihat kereta-kereta mewah yang dipamerkan di situ. Anakku lelaki yang berusia sekitar 7 tahun sangat teruja untuk melihat pameran kereta mewah yang diimport dari luar negara. Apatah lagi anakku itu satu-satunya anak lelakiku sebelum lahir anak lelaki keduaku 6 tahun kemudian.Sebelum mereka dilahirkan aku sudah mempunyai 3 orang anak perempuan.
Penantian selama 6 tahun untuk mempunyai anak lelaki amat dinanti-nantikan. Sebenarnya, aku ingin sangat mempunyai anak lelaki kerana dapatlah aku berkongsi minat yang sama. Berbagai-bagai petua diberikan oleh kawan dan jiran untuk mendapatkan anak lelaki. Aku hanya mengamalkan petua amalan makan makanan 'seafood' .Hampir setiap minggu, aku dan isteriku serta 3 anak perempuanku ke Muara Ikan Bakar, Tanjung Harapan yang popular dengan makanan 'seafood' .Pada zaman itu, makanan 'seafood' dikategorikan sebagai makanan kayangan kerana harganya yang mahal.
Apabila isteriku berbadan dua, akhirnya kami mendapat khabar gembira kerana kami bakal menimang seorang anak lelaki. Setelah 9 bulan menanti lahirlah seorang anak lelaki selepas 6 tahun menanti penuh debaran dan kesabaran. Kelahiran anak lelaki pertamaku di sebuah hospital swasta yang terkenal di bandar Klang disambut gembira oleh ahli keluargaku. Sejak kelahirannya , berbagai-bagai barang permainan kubelikan namun anakku lebih meminati permainan kereta daripada sebiji bola.
Pelbagai jenis kereta kawalan jauh dari besar hingga kecil menjadi simpanannya di dalam sebuah kotak permainan. Semasa tidur aku selalu memeriksa poket seluarnya pasti ada kereta mainan dan begitulah minatnya kepada kereta. Keterujaannya untuk melihat pameran kereta mewah di sebuah galeri yang baru dibuka tidak dapat ditahan-tahan lagi. Perasaannya membuak-buak ketika itu.
Aku menunggang motosikal ke galeri itu bagi memenuhi keinginannya itu. Setelah aku memparkir motosikal di tepi jalan , galeri tersebut sedang mengadakan majlis pembukaan rasmi. Belon dan reben menghiasi galeri tersebut yang dimiliki oleh pengusaha berjaya. Beberapa orang 'salesman' berpakaian kemas dengan kot dan tali leher berdiri di pintu masuk galeri. Mereka mengawal keluar masuk tetamu yang hadir.
Aku yang berseluar jeans dan memakai 't-shirt' tidak dibenarkan masuk ke dalam galeri. 'Salesman' memandang aku atas bawah. Aku menarik tangan anakku dan mengajaknya melihat kereta-kereta mewah seperti Ferrari, Porche, BMW, Audi dan Mercedez Benz melalui cermin galeri. Betapa seronok dan terujanya anakku dapat memenuhi keinginannya melihat kereta-kereta mewah di hadapan matanya.
Mereka yang berada di dalam galeri orang-orang berwang dan berpakaian mahal baik lelaki mahupun perempuan. Ada jamuan 'cocktails' disediakan untuk tetamu-tetamu istimewa. Setelah puas 'mengintai' di sebalik cermin aku mengajak anakku pulang tetapi kami singgah di sebuah kedai alat permainan kereta untuk menambahkan koleksi keretanya.
Selang sebulan , galeri tersebut telah ditutup oleh pihak kastam. Menurut cerita kawan-kawan semua kereta mewah itu telah melanggar undang-undang kerana tidak membayar cukai dan menyalahgunakan AP. Tiada lagi kereta mewah di galeri. Kini , anakku sedang melanjutkan pengajiannya dalam jurusan Engineering Automotive di peringkat Ijazah dan beberapa tahun lagi akan lahirlah seorang engineer kereta dalam keluargaku. Insyallah.
Comments
Post a Comment