EPISOD : SAYA JUTAWAN

 

Di luar cuaca mendung. Langit gelap. Bila-bila masa hujan akan turun. Suasana di dalam bank agak lengang.  Aku masih menunggu giliran untuk berurusan di kaunter. Tidak lama kemudian,  masuk seorang lelaki yang agak berumur bersama-sama anak perempuannya. Wajah lelaki yang berkemeja dan berseluar jeans itu sedikit serius. Dia kelihatan segak seperti orang berada.

 

Dia duduk berdekatan dengan aku. Kami saling berpandangan dan aku tersenyum kepadanya tetapi wajahnya serius. Anak perempuannya sedang berurusan di salah satu kaunter.

“Asalamualaikum, “ aku menyapanya. Dia menoleh dan menjawab salamku sambil tersenyum tawar. Tiada perbualan antara kami. Hanya kedengaran hujan di luar sedang menggila.  

“ Tinggal mana ?, ” dia memulakan perbualan yang sepi seketika tadi.

“Saya dari Klang,” jawabku sambil tersenyum.

“Asal mana ?,” tanyanya lagi.

“Saya lahir dan dibesarkan di Pelabuhan Klang tetapi keturunan Kelantan, ” jawabku.

“Tapi saya tak pandai cakap Kelantan, “ tambahku lagi panjang lebar.

“Kira murtadlah,” katanya dalam dialek Kelantan.

“Tuan pun asal Kelantan?,” giliran aku pula bertanya.

“Saya orang Melaka,” jawabnya tersenyum.

“Oh, ya,” aku pula tersenyum.

“ Kerja mana?,” tanyanya dan aku membuka dompet dan memberinya kad nama perniagaan aku. Dia membelek kad nama aku.

“UPM, dulu Kolej Pertanian,” beritahunya.

“Dulu saya ‘ first batch’ ITM Jalan Osman,” dia memanjangkan perbualan kami.

“Oh, ITM Petaling Jaya,” kataku buat-buat berasa kagum.

“Hanya 160 orang sahaja kemudian saya sambung belajar di Glasgow, “ sambungnya lagi. Aku hanya mengangguk tetapi aku sendiri tidak pasti di mana Glasgow.

“Dulu saya belajar di STAR,” tambahnya lagi.

“Oh, STAR, Ipoh. Sekolah terbaik tu, ” kataku spontan teringat akan kata-kata DJ Jamal Jamaludin , SINAR FM bahawa dia pelajar STAR,Ipoh dan pemain bola keranjang semasa bersekolah di sana. Aku tersenyum sendiri apabila teringat kata-kata DJ itu yang diulang-ulang setiap malam ketika bersiaran dulu.

“ Yes, SBP,” katanya kepadaku.

“Saya jutawan!,” sambungnya tanpa kutanya. Aku terdiam sebentar dan dia seolah-olah sedang berfikir sesuatu.

“Saya ada 5 milion , ” ulangnya lagi ketika telinga aku masin terngiang-ngiang.

“ Saya hendak simpan 1 milion dalam syer Bank Rakyat tapi  ‘ boss’ Bank Rakyat benarkan saya simpan 300 ribu saja. Dulu, Bank Rakyat bagi dividen 20% 15%, ” katanya bersungguh-sungguh.

“Ye, dulu banyak sekarang dah kurang,” tambahku lagi kerana aku dan isteri mempunyai syer di dalam Bank Rakyat sehingga kini. Semasa dividen tinggi dulu, ada juga ‘ pihak’ yang menawarkan wang RM400K untuk menambah syer Bank Rakyat dengan janji 10% komisen tetapi aku terpaksa menolak. Pada ketika itu belum ada lagi istilah ‘penggubahan wang haram’ seperti sekarang. Aku sentiasa beringat bahawa menyimpan wang melebihi RM100,000 pada satu masa pun nama akan ‘naik’ untuk disoal siasat sumber wang berkenaan.

“All my friend di STAR now doktor , lawyer, professor , VVIP yang terkenal (nama tidak dapat ditulis di sini)  ialah kawan saya,” katanya.

“Oh, hebatnya,” kataku mengapi-api. Dia menyeluk poket seluarnya.

“Eh,tak pa, Tuan ,” kataku kerana menyangka dia hendak menghulurkan duit kepadaku. Dia mengeluarkan sekeping kad pengenalannya.

“Ini IC saya. Tengok, ” ujarnya sambil menunjukkan kad pengenalannya. Aku hanya memandang sekali imbas dan ternampak alamatnya rumah di sebuah ‘golf resort’.

“Wow,” desis hatiku mula berasa kagum.

“Dulu ,rumah ini saya beli 1.8 juta,” tambahnya lagi.

“Saya ada 30 buah kereta di rumah. Tak mainlah PROTON,” katanya lagi sambil mencebek bibirnya. Aku mengangguk sahaja.

“PROTON X70 ok apa,” kataku di dalam hati kerana kereta itu sangat cantik dan ‘elegant’. Aku hanya berangan-angan akan memilikinya suatu hari nanti.

“Semua staf saya pergi bercuti di London, saya sponsor. My GM saya bayar 80,000 hingga 120,000 bulan-bulan. Gaji staf saya saja 1.2 milion, “ katanya sambil matanya memandang anaknya yang sedang berurusan di kaunter. Aku juga menoleh melihat anaknya itu.

“Itu isteri nombor dua saya. Isteri tua tinggal di rumah lama,” ujarnya dan aku terkesima kerana menyangka wanita dalam anggaran 40-an itu anaknya tetapi isteri keduanya.

“Umur saya 73 tahun,” katanya sambil mencuit bahu saya.

“ Tuan nampah sihat dan segak lagi, “ pujiku. Dia tersenyum sahaja.

“Ini gambar ayah saya. Dia belas sarjan polis, “ katanya sambil menunjukkan gambar arwah bapanya yang tahun 1940 dan meninggal tahun 2020 di dalam telefon bimbitnya.

 

Perbualan kami terputus tiba-tiba  kerana isterinya sedang berjalan menghampiri kami yang duduk di kerusi  dan aku sendiri tidak sempat bertanya tentang perniagaannya.  Kebiasaannya orang berniaga akan memberikan kad nama perniagaan sebagai tanda perkenalan. Dia bingkas bangun tanpa sempat aku berkata-kata dan menghulurkan salam. Dia mengekori isterinya keluar dari bank.

 

Wajahnya berubah sedikit seperti takut dan isterinya juga kelihatan berwajah serius. Dia langsung tidak menoleh aku. Urusan aku juga sudah selesai. Hujan masih mencurah-curah di luar. Dia dan isterinya masih berdiri di hadapan bank dengannya dan aku berlari-lari anak ke kereta MYVIku yang aku parkir di hadapan bank. Dia tidak memandang aku walaupun sekilas ketika aku berjalan di sisinya dan isterinya.

 

Aku menunggu seketika di dalam keretaku dan dia menuju ke kereta TOYOTA RUSHnya yang agak ‘lusuh’. Di dalam hatiku berkata-kata kalau dia bercakap benar atau sebaliknya terpulanglah kepada dia dan kalau aku percaya ataupun tidak ceritanya terpulanglah kepada aku. Aku memandu kereta ke TESCO Seksyen 13 Shah Alam untuk makan tengah hari yang sudah terlajak jam 3.30 petang. Perbualan aku dan dia masih terngiang-ngiang.

 

Perbualan aku dan lelaki itu tadi mengingatkan aku kepada seorang “Lieutenant Colonel ATM” yang meminta aku melantiknya sebagai ‘partner busines’ sewaktu aku mula-mula berniaga membekal peralatan pejabat. ‘Lieutenant Colonel’ menunjukkan gambarnya sedang ‘lalu’ di belakang Pak Lah (Mantan Perdana Menteri ke-5) di sebuah ‘Golf Club’ dan sekeping gambar dia sedang menoleh di belakang Pak Lah. Inilah dunia !

 

Comments

Popular posts from this blog