Episod
: KAIN PELIKAT LA LA LA
Awal
tahun 80-an dulu, seperti ada suatu kesedaran tentang agama. Walaupun, pada
masa itu banyak rancangan hiburan disiarkan melalui kaca televisyen dan gerakan
reformis Islam mula berkembang. Banyak justifikasi tentang dunia hiburan yang
membawa kepada beberapa tindakan drastik.
Pada
masa ini juga , aku yang sedang meningkat remaja tidak terkecuali terikut-ikut
dengan ‘trend’ reformis agama. Dalam kalangan rakan-rakan sebayaku sudah ada
yang keluar ‘menuntut’ pelbagai ilmu seperti ilmu persilatan , ilmu tarikat dan
ilmu kebal. Seorang rakanku buta sebelah mata akibat terkena keris semasa
belajar ilmu persilatan.
Namun
begitu, aku mengambil pendirian bersederhana dalam semua perkara hingga kini.
Ketaksuban terhadap kelompok atau individu akan membawa kepada penyesalan. Aku
sendiri pernah duduk dalam kumpulan usrah di surau tempat tinggalku. Pada suatu
malam selepas solat maghrib, salah seorang penduduk di situ menawarkan diri
atau lebih tepat ‘ diangkat’ sebagai tuan guru. Aku mengenali ‘ tuan guru’ ini
kerana anaknya sendiri ialah rakan sekolahku. Kami meningkat remaja pada zaman
yang sama.
‘Tuan
Guru’ ini mengajar secara tidak rasmi di surau dan dikerumuni beberapa orang Jemaah
surau termasuk aku yang ketika itu pada usia Tingkatan 2. Namun, dalam sesi
pengajaran ‘Tuan Guru’ ada seorang lagi
ahli Jemaah yang ‘bersoal jawab’ tentang hukum hakam dan beberapa perkara
berbangkit. Suasana ketika itu panas. Masing-masing membawa dalil mereka namun
aku yang sememangnya bersikap realistic ,iaitu memandang dan mendengar sebagai
suatu garis penilaian. Maksudnya, yang berserban belum tentu alim. Yang
berjanggut belum tentu alim. Yang menangis semasa berusrah membaca buku Fadhilat
Amal belum tentu alim . Mereka ini pernah kulihat di kedai judi membeli nombor
ekor !
Pertikaman
lidah itu membawa kepada ‘Tuan Guru’ membuka kelas pengajian di rumahnya. Aku
tidak mengikut kumpulan itu kerana aku tidak tahan bau asap rokok ‘Tuan Guru’
yang bersilih ganti sebatang demi sebatang. Aku memang antirokok. Anak murid ‘Tuan
Guru’ semakin ramai hari ke hari. Anak ‘Tuan Guru’ juga rajin juga berdating
dengan kawanku. Jadi, masuk asap keluar asaplah. Akhirnya, kelas ‘Tuan Guru’
berakhir tidak lama kemudian apabila ‘Tuan Guru’ meninggal dunia secara
tiba-tiba kerana serangan jantung.
Di
padang tempat tinggalku, memang ramai yang bermain bola baik kanak-kanak,
remaja dan dewasa. Setiap petang, ada permainan bola sepak dan sudah tentu
pemain-pemain bola sepak berseluar pendek. Aku pula bermain bola dengan
kawan-kawan sebaya aku di tepi padang. Sejak kanak-kanak , aku tidak diajar
berseluar pendek oleh ibu bapaku apabila di luar rumah termasuklah dua orang
lagi adik lelakiku. Oleh sebab itu, hingga sekarang aku dan adik beradik
lelakiku tidak pandai berseluar pendek di luar rumah kerana malu.
Keadaan
reformis agama ketika itu membawa kepada salah seorang pemain bola sepak yang
kukenali berubah secara tiba-tiba menjadi alim. Kalau sebelum itu, dia
berseluar pendek bermain bola, merokok dan melepak di tembok tetapi berubah
secara ‘ekstrim’. Kawanku ini akan menunggu di tepi pagar padang dan memberi
kain pelikat kepada mereka yang selesai bermain bola di padang. Semua agak
terkejut dengan perubahan mendadak itu. Matanya sudah bercelak dan sentiasa
melurut janggut. Kata-katanya juga sudah berubah daripada kata-kata yang kurang
enak didengar hinggalah kata-kata ‘agama’ yang dilontarkan. Namun, sebagai
seorang realistik aku hanya menunggu suatu ‘keajaiban’ akan berlaku. Memang
betullah telahan aku tidak sampai dua bulan, kain pelikat pun entah ke mana ,
celak entah ke mana, kayu sugi entah ke mana dan serban terbang entah ke mana.
Kawanku itu kembali berseluar pendek dan bermain bola di padang hingga maghrib
melabuhkan tirainya.
Aku
juga tidak menafikan ada juga kawan-kawanku yang masih istiqomah dengan apa
yang diajarkan oleh ustaz-ustaz yang dijemput di surau aku pada zaman itu seperti
Almarhum Dato Hasan Din, Almarhum Ustaz Nasuha , Almarhum Ustaz Mohd Amin,
Almarhum Ustaz Sahar Sulaiman, Almarhum Ustaz Asmungi , Almarhum Ustaz Dato
Ismail Kamus dan Almarhum Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor. Kenangan yang
tidak dapat aku lupakan ialah aku dan beberapa orang kawan akulah yang menjadi
penanggah makan minum basuh pinggan mangkuk para ustaz sehingga mereka
mengenali kami semasa berkhidmat di surau. Almarhum Ustaz Asmungi Kadi daerah
Klang yang menandatangani sendiri surat permohonan nikahku di Pejabat Agama
Daerah Klang tanpa janji temu yang sepatutnya. Kenangan yang memilukan apabila
aku berpeluang memeluk jenazah Almarhum Dato Ishak Baharom saat jenazah
diturunkan dari van jenazah lalu dibaringkan di ruang tengah rumahnya. Memercik
peluh di dahinya seolah-olah Almarhum sedang tidur !
Comments
Post a Comment