Tajuk              :          ‘HARAPAN’

1986..Kami saling mengenali sejak kami sama-sama melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6.  Oleh sebab aku dilantik sebagai Ketua Pengawas dan ‘S’ sebagai Timbalan Ketua Pengawas, jadi kami saling menjalankan tugas bersama-sama. Namun , hatiku sudah terpikat dengan ‘R’ ketika itu.  Kawan-kawan lain turut menyedari hubungan aku dan ‘R’. Usai peperiksaan STPM , masing-masing membawa diri. ‘S’ bekerja di sebuah pejabat di Bangunan MARA Klang, aku bekerja sebagai ‘cleaner’ di sebuah pejabat kerajaan dan ‘R’ kembali ke negeri asalnya (menurut cerita teman-temanku).

Setelah hampir 6 bulan , aku menerima tawaran bekerja sebagai guru tuisyen di sekolah tempat aku belajar dulu. Secara kebetulan, aku mengajar tuisyen kelas malam dan terpandang ‘S’ juga mengulang peperiksaan STPM kelas malam. Persahabatn kembali terjalin. Hari demi hari, kuutus warkah kepada ‘R’ namun satu pun tidak berbalas.  Penantian suatu penyeksaan.  Setiap malam selepas tamat kelas , ‘S’ berjalan bersama-sama teman-temannya ke stesen bas Klang di bawah bangunan Great Wall. Aku yang kebetulan menaiki bas KLANG-BANTING juga ke stesen bas yang sama . Kami berjalan bersama-sama dengan beberapa orang kawan ‘S’.

Hatiku tiada apa-apa perasaan kepada ‘S’. Seakan-akan hati ini sudah serik dan sengaja kubiarkan kosong. Aku lebih bahagia dengan suasana baharu. Aku sudah tidak lagi mengutuskan warkah kepada ‘R’.  Dan, aku juga tidak mengharapkan ‘R’ akan membalas warkahku. Lebih-lebih lagi, aku diberitahu oleh teman-temanku, mereka pernah terserempak dengan ‘R’ bersama-sama teman barunya. Aku hanya tersenyum mendengarnya. Rupa-rupanya ‘R’ berada di sini bukan di negeri asalnya,” bisik hati kecilku.

Pada suatu malam, kulihat ‘S’ sedang hendak melintas jalan. Tiada teman-teman lain yang bersama-sama dengan ‘S’. Aku yang kebetulan hendak melintas jalan berjalan sama dengan ‘S’.

“Mana teman-teman lain?,” tanyaku dengan senyuman.

“Mereka sudah pulang awal,” jawabnya dengan lembut.

 

Sejak malam itu, kami sering terserempak dan berjalan sama ke stesen bas. Hari demi hari, hubungan kami semakin intim dan hal ini disedari teman-teman ‘S’.

“Malam ni jalan berdua lagi,” usik Salmah teman ‘S’. Teman-teman yang lain turut sama ketawa. Aku menjadi malu diusik sebegitu.

“Untunglah dapat Cikgu, “ kata Salmah lagi. Kami hanya tersenyum sambil melangkah ke stesen bas. Pada saat itu, aku masih tidak mempunyai apa-apa perasaan kepada ‘S’. Dan begitu juga ‘S’. Kami hanyalah kawan biasa. Aku sendiri tidak pernah ingin bertanyakan perasaan ‘S’ terhadapku.

Pada suatu hari, aku sedang mengajar tuisyen kelas malam. Tiba-tiba, pintu bilik darjah diketuk. Seorang murid perempuan memberitahu aku ada seseorang yang ingin berjumpa denganku di tangga. Aku meninggalkan kelasku buat sementara waktu lalu melangkah menuju ke tangga. Kulihat ‘R’ berdiri di situ menghadap jendela. Langkah kakiku berasa lemah. Satu persatu anak tangga kupijak dan’R’ menoleh ke arahku setelah menyedari kehadiranku. Aku tersenyum apabila melihat ‘R’ sedang berdiri di hadapanku. Kami saling bertanya khabar. Perbualan malam itu berasa amat singkat. Aku tidak berjanji apa-apa kepada ‘ R’ kerana telinga aku masih terngiang-ngiang dengan kata teman-teman, ‘R’ kini sudah mempunyai teman baru. Barang kali , tidak manis jika aku bertanya tentang teman ‘R’. Namun , aku sempat bertanya kepada ‘R’ ,“Mengapa warkahku tidak pernah kau balas?,” . Lantas, aku meninggalkan ‘R’ tanpa menanti jawapannya. Itulah malam terakhir aku bertemu ‘R’. Sejak itu, aku tidak pernah mendengar cerita tentang ‘R’ lagi daripada teman-temanku.

Selepas pertemuan itu, aku sedar ‘S’ seakan cuba menjauhkan dirinya daripada aku. Walaupun, kadang-kadang kami berselisih di tangga tetapi ‘S’ seakan-akan tidak mahu memandang aku. Dia sengaja sibuk berbual-bual dengan teman-temannya apabila terpandang aku berada di situ. Aku yang tidak pandai untuk meluahkan rasa hanya mendiamkan diri. ‘S’ tidak lagi menyapa aku walaupun ketika itu kami sedang melintas jalan bersama-sama. Teman-temannya juga seakan-akan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena antara kami.

 

Setelah beberapa lama, masing-masing membawa diri hinggalah suatu hari. Aku melihat ‘S’ sedang berseorangan di bahu Jalan Pos Baru di hadapan Great Wall. Aku mempercepatkan langkah.

“Awak apa khabar ?,” tanyaku bersahaja. ‘S’ hanya tersenyum.

“Baik, “ jawabnya perlahan dan bersahaja. Kami bersama-sama ke stesen bas dan berpisah apabila bas yang ditunggu telah tiba . Hubungan aku dan ‘S’ kembali terjalin mesra. Namun, lidahku masih kelu untuk mengucapkan kata-kata sayang. Barang kali, masing-masing menunggu untuk meluahkan perasaan itu. Itulah yang selalu kunantikan.

Hari berganti hari, hubungan kami semakin mesra. Pada tahun 1989, kami membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga setelah tiga tahun saling mengenali hati budi. Kini, sudah 32 tahun masa itu berlalu. Cinta kami tetap membara. Dan, ‘R’ hanyalah seseorang yang pernah hadir dalam hidupku!

 

Comments