EPISOD 113: HARI TERAKHIR DI KUALA TERENGGANU

Hari ini kami merancang untuk mengunjungi Kedai Pasar Payang yang terkenal di Kuala Terengganu. Keluar saja dari tempat parkir hotel kereta sudah bersusun-susun di jalan raya menuju ke arah yang sama. Hujan turun renyai-renyai. Rancangan kami untuk membeli buah tangan bagi keluarga di Klang dan jiran-jiran kami. Kami sampai di luar pasar selepas setengah jam dari hotel walaupun jarak hotel dengan kedai hanyalah 5 minit dengan kenderaan.

 

Aku memparkir kereta agak jauh dari tapak Kedai Pasar Payang dan berjalan kaki ke kompleks pasar . Pembangunan pesat yang sedang berlaku di kawasan itu untuk membina sebuah kompleks pasar baharu. Pokok-pokok hiasan ditanam di tepi-tepi kawasan pejalan kaki dan hiasan lampu-lampu neon yang tentunya indah pada waktu malam. Peniaga-peniaga yang menjual barangan basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan ditempatkan di bawah khemah besar di luar bangunan kedai. Hanya kedai makan dengan beraneka juadah tradisional dan moden di kaki lima kedai. Di ruang dalam kedai-kedai menjual keropok, kain baju dan kudapan . Kami membeli keropok kering dan sedikit kudapan untuk dimakan sepanjang perjalanan pulang ke Klang.

 

Pagi itu, aku bersarapan mi celup , nasi air dan roti kaya. Pengunjung semakin ramai dan bersesak-sesak . SOP ke laut. Usai makan , kami meronda di luar kompleks Kedai Pasar Payang dan merakam beberapa keping gambar kenang-kenangan. Dua tahun lepas keadaan pasar dangat uzur tetapi kini sudah berwajah baharu. Kami sempat merakam gambar di tepi laut berlatar belakang jambatan gantung yang terkenal di Kuala Terengganu. Hujan turun renyai-renyai semula.


Kami singgah di kedai Warisan Keropok Losong , Kampung Losong Hj.Su. Sudah ramai pelanggan yang beratur dan di belakangku dua orang remaja usia lingkungan 20-an , asyik bercerita hampir sejam tanpa henti. Aku hanya pasang telinga untuk dijadikan modal penulisan kelak. Remaja zaman sekarang sudah ‘up to date ‘. Selain bahasa Melayu mereka selang selikan dengan bahasa Inggeris. Cerita tentang menginap di hotel mewah , tentang perniagaan keluarga mereka , tentang kereta mewah yang ibu bapa mereka ada. Aku hanya tersenyum mendengarnya.

 

Selepas sejam beratur tiba giliran aku memesan keropok daripada pekerja kedai. Dua orang remaja tadi memesan keropok goreng tetapi malangnya pekerja kedai memberitahu mereka supaya beratur di kaunter yang satu lagi. Bermakna, mereka sudah beratur di kaunter yang salah selama satu jam dengan kisah-kisah bagai “PJ Holdings”. Aku memandang mereka dan mereka memandang aku. Aku tersenyum tetapi wajah mereka masam. “Dik , lain kali tanya dulu nanti sesat jalan . Don’t be shame,” kataku bercampur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam hati.

 

Selesai membungkus 12 bungkusan keropok lekor rebus , aku meneruskan perjalanan pulang ke Klang. Jangkaan aku masa perjalanan selama 8 jam mengikut ‘google map’. Hujan masih turun renyai-renyai. Perut sudah berkeroncong jam menunjukkan pukul 1.30 petang . Kami berhenti di R&R Ajil untuk solat dan makan tengah hari. Aku membaca ‘banner’ menu makanan yang dipasang di kedia makan. Gulai Ikan Baung Tempoyak semangkuk RM7, Sup Daging Kambing Kampung RM7, ikan goreng 1 ketul RM1, telur dadar sekeping RM2, dan minuman .

 

Aku dan isteri berkongsi gulai ikan baung tempoyak dan sup daging kambing kampung. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan yang sekejap renyai sekejap lebat dengan berhati-hati. Kenderaan agak banyak tetapi perjalanan sangat lancar. Beberapa kali , aku berhenti di R&R untuk membuang air dan makan walaupun mataku sangat mengantuk. Kami tiba di R&R Bentong pada jam 7.30 malam. Kami berhenti solat dan makan nasi lemak dua bungkus dan nasi ayam penyet kegemaran putera bongsuku yang ikut sama pulang ke kampung . Sekitar pukul 9.30 malam, kami sampai di rumah dengan selamat di Klang. Syukur Alhamdulillah. Isteriku berkata “ Bang,  jom jalan-jalan ke Terengganu bulan depan lagi….” Aku hanya tersenyum kerana badanku sangat letih dan mengantuk . Seperti kebiasaannya, apabila pulang bercuti, tugasku sebagai pemandu berakhir di rumah manakala tugas menurunkan beg pakaian dan mengemas bonet kereta akan dilakukan oleh isteri dan anak-anak.

Comments

Popular posts from this blog