EPISOD 112: Dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu

Perjalanan ke Kuala Terengganu (KT) selepas menikmati makan tengah hari di Restoran Nasi Ulam Cikgu di belakang Istana  Jahar, Kota Bharu. Harga makan yang sangat murah RM12.00 untuk dua orang dan sejag air sirap selasih. Memang puas hati.

Dari arah Bachok menuju ke KT dan mengekori lori berat dari Tok Bali menyebabkan masa terbuang lebih sejam. Akhirnya dari pukul 12.30 kami sampai di KT pada pukul 4.00 petang dan ‘check-in’ di Hotel Sri Malaysia, hotel wajib kami kalau ke KT sejak anak-anak masih kecil lagi . Jangkaan awal kami akan sampai di KT pukul 3.00 petang meleset.

Selepas ‘check-in’ bilik 255, kami bersolat jamak dan kemudian ke Kampung Losong yang terkenal dengan keropok lekor. Dua pinggan keropok lekor rebus dan goreng sudah cukup mengenyangkan. Kami singgah ke Pantai Batu Buruk yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong luar.

Layang-layang berwarna-warni mengisi dada awan dan ombak besar menghempas pantai. Kami hanya berjalan-jalan di tepi pantai yang cantik dengan pasir putih. Berbagai-bagai tarikan di situ seperti kereta kuda dan kereta api mainan untuk kanak-kanak. Jarum jam menunjukkan pukul 7.00 petang dan langit sudah mulai gelap.

 

Kami bergerak ke Kuala Ibai untuk melawat besanku seorang pesara polis trafik dan isterinya seorang guru Bahasa Inggeris yang masih bertugas di sebuah sekolah di Kuala Ibai yang kurang sihat. Kami disambut mesra dan dihidangkan sate dan ketupat. Kami berbual-bual sambil bertanya khabar. Sekitar jam 8.30 malam, kami meminta diri untuk pulang ke hotel dan berehat.

Sesampai di hotel . kami bersiar-sair di belakang hotel kerana terdapat tarikan baru , iaitu ‘street food’ yang kukira hampir 1km jauhnya dengan deretan kedai yang menjual berbagai-bagai jenis makanan dan minuman. Kami hanya menjamu mata bukan menjamu selera kerana hari sudah agak lewat untuk makan malam.

Selepas sejam berjalan yang tidak sampai ke hujung , isteriku mengajak kami pulang ke hotel dan berehat menunggu hari esok untuk bersiar-siar di Pasar Payang, Kuala Terengganu…

Comments

Popular posts from this blog