EPISOD : SURAT PEMINAT
Sekitar tahun 1986-1991,
aku sangat aktif menulis karya kreatif seperti cerpen dan sajak. Karya-karyaku
tersiar di dalam surat khabar utama seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu
dan Bacaria. Majalah-majalah seperti URTV dan Varia Pop menjadi wadah
karya-karyaku disiarkan untuk tatapan peminat ruangan sastera. Paling seronoknya
aku mendapat bayaran setiap kali karya-karyaku disiarkan. Kebiasaannya,
akhbar-akhbar utama membayar ‘saguhati’ lebih tinggi antara RM100-RM150 bagi sebuah
karya manakala akhbar picisan hanya membayar RM50.00 untuk sebuah karya. Aku
yang ketika itu sedang menuntut di Tingkatan 6 sudah mempunyai wang di tangan
namun semua wang kuterima kuberikan kepada ibuku selepas cek yang kuterima
ditunaikan. Wang saguhati itu lebih utama untuk keperluan hidup kami
sekeluarga.
Pada zaman itu,
biodata penulis akan disiarkan bersama-sama karya yang tersiar. Jadi, aku
menerima banyak surat daripada ‘peminat’ yang kebanyakannya perempuan untuk
berkenalan dan mendapatkan tips menulis dariku. Ada masanya, hampir seratus pucuk
surat sehari sampai di rumahku. Posmen yang menghantar suratpun seakan-akan
sudah faham benar apabila memasuki Flat LPK akan menghantar surat-surat ‘peminat’
ke rumahku terlebih dahulu. Surat khabar pada zaman itu sangat laris jualannya selain
saluran televisyen TV3, RTM1 dan RTM2 dan radio merupakan saluran maklumat terkini.
Radio Televisyen
Malaysia (RTM) juga mempunyai ruangan khas untuk penulis karya sastera pada
setiap petang dengan suara gemersik Lutfi dan suara merdu Shahizan Jelas. Kalau
zaman sekarang rancangan ADILA (Aku, Dia dan Lagu) siaran Radio Klasik Nasional.
Kata-kata pujangga yang puitis diiringi lagu puisi banyak memberikan ilham
kepadaku untuk menulis. Pada tengah malam selepas jam 12.00 ada juga siaran lagu-lagu
sentimental dan kata-kata puitis menemani peminat radio. Aku memang tidak
ketinggalan mendengar siaran tengah malam sambil menelaah pelajaran sehingga
dua tiga pagi.
Surat-surat ‘peminat’
yang aku terima ada yang sempat aku balas dan ada juga yang hanya sekadar aku
baca. Kos setem dan sampul surat juga perlu diambil kira untuk membalas
beratus-ratus pucuk surat sehari. Manakala di sekolah, berpuluh-puluh buku autograf
sampai di mejaku meminta aku mencoret sesuatu sebagai kenang-kenangan. Penat juga
aku melayan pelajar-pelajar Aspuri (Asrama Puteri) yang meminati karya-karyaku.
Pernah beberapa kali karya-karyaku tersiar secara serentak di Mingguan Malaysia,
Berita Minggu, Varia Pop dan URTV. Berasa ‘kembang bulu tengkukku’ apabila
sampai di sekolah semua memandangku sambil tersenyum-senyum. Manakala, di Flat
LPK pula ada juga makcik dan pakcik yang memuji karya-karyaku.
Antara ‘peminat’ku
ialah ‘S’ berasal dari Merlimau, Melaka. Surat yang dikirim dengan kertas
bercorak bunga dan sekeping foto. Orangnya bertubuh ramping, berambut panjang
hingga paras pinggang dan bulu matanya lentik. ‘S’ kerap mengutus surat
kepadaku dan bertanya khabar. Pada awalnya, ayat biasa-biasa sampailah
ayat-ayat cinta terlahir dari hati nurani ‘S’. Aku akan membalas surat-surat ‘S’
dalam bentuk rangkap puisi. Aku sekadar melayan ‘S’ melalui surat-menyurat.
Setelah beberapa lama, aku tidak lagi menerima surat daripada ‘S’ dan jadilah
aku penanti yang setia. Sepi seorang perindu (Tajuk lagu penyanyi pujaanku
Jamal Abdillah) .
Pada suatu hari, aku
menerima sepucuk surat bersetem ‘Melaka’ dan aku pasti surat itu daripada ‘S’.
Di dalam surat itu, ‘S’ meminta maaf kepadaku kerana sudah lama tidak mengutus
surat kepadaku dan ‘S’ memberitahu bahawa dia akan berkahwin dengan pemuda
pilihan keluarganya. Kata-kata ‘S’ penuh emosi walaupun sejujurnya tiada
kata-kata sayang atau cinta diluahkan lewat surat-suratnya yang lalu tetapi aku
berasakan ‘S’ menyimpan perasaannya terhadapku. Aku lebih berhati-hati dalam
soal melayan ‘peminat’ kerana kawanku yang sama-sama menulis terjebak dalam
percintaan dengan ‘peminat’ sehinggalah kawanku itu menjadi ‘sasau’ sekejap
apabila ‘peminat’nya berkahwin dengan pemuda lain. Kejadian itu menjadi peringatan
buat diriku juga.
Setelah itu, seorang
lagi ‘peminat’ perempuan berasal dari Mersing, Johor. ‘M’ mengenali aku melalui
ruangan sastera dan ‘M’ memberitahu aku bahawa dia juga meminati penulisan
sajak dan menulis sajak untuk kepuasan sendiri. ‘M’ meminta panduan daripada
aku teknik menulis sajak dengan baik. Sifu yang mengajar aku menulis cerpen dan
sajak pernah memberitahuku, “kita tidak dapat menulis dengan baik saat kita
gembira”. Barang kali betullah kata-kata sifuku kerana selepas aku berkahwin
pada tahun 1989 aku sudah mulai kurang menulis sehinggalah datangnya Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dua tahun yang lalu , aku mulai aktif
menulis karya-karya sastera semula. Ada hikmahnya di sebalik cengkaman
Covid-19.
Dari situ, ‘M’
meluahkan perasaannya melalui sajak dengan kata-kata puitis. Aku akan
membetulkan beberapa kelewahan dalam penulisan sajaknya. Pada masa yang sama
aku memuji kebolehan ‘M’ menulis sajak. Kebiasaannya, penulis baharu mempunyai
kecenderungan atau ikutan gaya dengan penulis-penulis tersohor. Jadi, bagi
pembaca karya-karyaku akan ‘terperasan’ gaya penulisanku seakan-akan menyamai
penyajak ‘ T.Alias Taib’ dan ‘A. Samad Said’ yang menulis secara detail
sehingga terasa bagaikan berada di dalam penceritaan itu.
‘M’ berutus surat
denganku hampir setengah tahun sehinggalah aku menerima sepucuk surat akhir
daripadanya. ‘M’ memberitahuku ayahnya kurang senang dia berutus surat
denganku. Lebih-lebih lagi ayah ‘M’ seorang anggota komando di Kem Sri
Iskandar, Mersing. Kecut juga hatiku mendengar perkataan ‘komando’ silap haribulan
habis patah tulang-temulang aku dikerjakan komando. Perhubungan aku dengan ‘M’
berakhir di situ.
Kemudian muncul ‘N’
gadis Singapura yang menetap di Kuala Lumpur. ‘N’ agak moden dan ‘up to date’
walaupun zaman itu tahun 80-an. Aku yang boleh dikatakan ‘budak kampung’
meskipun dilahirkan dan tinggal di sebuah bandar kecil , Pelabuhan Klang namun
aku agak ketinggalan dari segi ‘trend’ atau fesyen. Aku tidak seperti
rakan-rakan lain yang mempunyai kakak dan abang. Mereka dibelikan pakaian dan
kasut yang bergaya tetapi aku hanya membeli pakaian yang dilonggokan di dalam
bakul di Great Wall, Pelabuhan Klang. ‘Kasut’ aku hanyalah sepasang selipar BATA.
Dalam kalangan rakanku, aku kurang bergaya dari segi penampilan dan mungkin
sebab itu juga ‘R’ menjauhkan dirinya. Nokhtah.
Hubungan aku dengan ‘N’
tidak terlalu lama mungkin kerana aku kurang ‘melayannya’ . ‘N’ lebih gemar
bercerita tentang kawan-kawan bandarnya. Aku sendiri kurang sesuai dengan jiwa ‘kosmopolitan’.
Penulis-penulis dulu mempunyai sikap ‘menentang’
penampilan ‘bergaya dan mewah’. Jiwa penulis sebenar amat sukar ditelaah. Sasterawan
Negara (SN) A.Samad Said lebih gemar menaiki bas Srijaya-KL untuk berulang alik
ke rumah dan ke mana-mana termasuk menghadiri majlis rasmi walaupun sebagai SN beliau
layak mempunyai pemandu sendiri.
Kini, ‘peminat’ku
hanyalah di media sosial yang menyokong hasil karyaku. Semua surat ‘peminat’ku
telah hilang apabila beg bercorak kotak yang kusimpan di bawah katil bujangku sudah
dibuang ketika berpindah rumah. Semoga ‘peminat’ yang pernah mengenaliku dulu
sentiasa dilindungi Allah dan diberikan kesihatan yang baik manakala yang telah
kembali kepada-Nya kudoakan semoga roh kalian dicucuri rahmat Allah swt. Amin
Ya Rabbal Alamin.
Comments
Post a Comment