GAGAL

 

Rancangan membuka sebuah kedai menjual pakaian di Seksyen 7 , Shah Alam sebenarnya datang daripada idea anak sulungku. Isteriku hanya mengikut sahaja dan aku sendiri kurang berminat kerana aku mempunyai komitmen tinggi dengan perniagaan pusat tuisyen. Seorang rakanku dan isteri berminat sama untuk menjalankan bisnes baharu menjual pakaian dan ingin menjadi ‘patner’ syarikat. Selesai perbincangan bersama, akhirnya lahirlah sebuah syarikat perniagaan menjual pakaian secara perkongsian.

 

Pelbagai barang diperlukan untuk memulakan perniagaan tersebut dan sebuah kioks di dalam sebuah kedai telah disewa dengan kadar sewa yang agak tinggi. Manakala, besi rak, penyangkut baju dan berbagai-bagai jenis pakaian yang mengikut trend semasa dibeli oleh isteriku dan ‘ patner’ di beberapa buah gedung pakaian di Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, kain tudung dijahit oleh warga Bangladesh yang kami upah menjahit di Kuala Lumpur. Memang kos tudung yang dijahit oleh mereka sangat murah jika kuantiti besar.

 

Aku hanya sekali sekala datang ke kedai untuk meninjau-ninjau kedai. Kasihan pun ada melihat isteriku menjaga kedai dan kadang-kadang berdua dengan rakan kami yang menjadi ‘patner’. Pada aku sebenarnya isteriku tidak perlu bekerjapun. Selepas kami berkahwin pada tahun 1989 sebelum mempunyai anak, isteriku bekerja di sebuah kilang sebagai operator. Kami baru hendak memulakan hidup jadi kenalah bekerja keras.

 

Setelah mendapat cahaya mata pertama, isteriku masih bekerja di kilang tersebut manakala aku giat bekerja mengajar di sebuah institusi swasta, tuisyen dari rumah ke rumah dan berniaga menjual peralatan pejabat. Setelah kami mendapat cahaya mata kedua dua tahun setelah cahaya pertama dilahirkan barulah aku menyuruh isteriku berhenti kerja. Isteriku mengambil upah menjaga anak-anak jiran seramai 8 orang.

 

Kedai pakaian ala-ala butik itu tidaklah sangat memberangsangkan dari segi jualannya. Aku sendiri melihat jualan pakaian itu cukup makan sahaja. Kadang-kadang , kita tersalah pilih orang menjadi ‘patner bisnes’ kita kerana terpercaya dengan kehebatan yang diceritakannya. Daripada pakaian ‘trending’ kini berubah perlahan-lahan apabila ‘patner’ membeli dan membawa masuk pakaian ‘pasar malam’ . Aku tidak mahu masuk campur secara langsung tetapi ada sekali dua aku memberikan pandangan tentang ketidaksesuaian menjual pakaian ‘pasar malam’. Lebih-lebih lagi, Seksyen 7 Shah Alam syurga kepada golongan wanita membeli-belah pakaian. Kedai yang aku sewa terletak di kawasan Jakel dan beberapa gedung pakaian ternama.erharap sangat

 

Apabila jualan mulai berkurangan , ‘patner’ mula bersuara kononnya keuntungan jualan sudah dimanipulasi oleh isteriku sebagai ‘patner bisnes’ dalam syarikat yang didaftarkan bersama-sama. Aku menasihati isteriku agar membubarkan bisnes itu dan ‘patner’ masih menuduh perkara yang bukan-bukan. Aku ingin memberitahu ‘patner’ isteriku itu bahawa kami tidak berharap sangat atas keuntungan perniagaan itu sebaliknya isteriku dan anakku yang ingin belajar berniaga. Cerita ‘patner’ bahawa perniagaan import eksportnya lagi menguntungkan lebih ratusan ribu setiap tahun. Aku yang mendengarnya menahan diri untuk ketawa bukan kerana aku bersikap bongkak.

 

Aku yang jenis realistik ini sukar mempercayai cakap mulut berbanding sesuatu yang kulihat dengan mata kepalaku sendiri. Pada akulah , kalau keuntungan ratusan ribu setahun sudah tentulah seseorang itu akan bertindak proaktif dengan membeli berbagai-bagai aset sama ada untuk bekalan akan datang atau menghadapi kemungkinan perniagaan terjejas seperti sekarang Covid-19. Tetapi, perkara itu tidak pula aku lihat ada pada ‘patner’ yang tinggal di sebuah pangsapuri dan sebuah kereta lama buatan Korea. Bukan niat aku hendak membandingkan keadaan aku dengan ‘patner’ tapi cakap yang tak sama bikin ini aku sendiri kurang berminat dengan jenis orang seperti ini.

 

Akhirnya, aku menyuruh isteriku (sebenarnya memaksa) membubarkan sahaja perniagaan itu kerana sikap ‘patner; sudah tidak boleh dipercayai. Aku memandu isteriku ke SSM Shah Alam dan ‘patner’ juga hadir bersama-sama suaminya dengan tujuan untuk menutup perniagaan tersebut. Aku membiarkan sahaja ‘patner’ itu membuat bising-bising di ruang pendaftaran menuduh kami menipunya dan mencuri duit keuntungan kedai. Walaupun isteriku berasa marah dengan perbuatannya tetapi aku memintanya bersabar sekejap sahaja lagi perniagaan itu akan ‘bungkus’ selama-lamanya dan masalah selesai.

 

Kata-kata nista terus-terusan keluar dari mulut ‘patner’ dan ramailah yang berada di situ memandang kami. Kami juga ada maruah dan perasaan malu tetapi kami bersabar dengan kerenah manusia. Segala peralatan yang ditinggalkan di kedai dibahagi dua termasuklah pakaian trending dan ‘pasar malam’ yang dibawa ‘patner’ . Masalah selesai dan tiada dakwa-dakwi antara kami. Aku juga sudah tidak berminat hendak berkawan dengan orang yang bersikap opotunis seperti ‘patner’.

 

Ada juga sekali sekali kami ternampak ‘patner’ dengan kereta Korea mereka. Akum alas nak ‘hon’ nanti dikatakan riak. Jadi, perkara yang kurang menyenangkan aku sepanjang berkongsi perniagaan itu iaitu family ‘patner’ berkampung makan , mandi , tidur baring di rumah aku sudah tidak berlaku lagi.Semoga perniagaan ‘import eksport’ dia yang untung ratusan ribu ringgit terus sukses. Isteriku telah aku lantik sebagai Pengerusi semua syarikat yang aku miliki dan dibayar elaun bulanan termasuklah pakej percutian. Semoga semua yang terjadi menjadi pengajaran kepada aku dan isteri agar berhati-hati memilih kawan terutamanya kawan-kawan yang bercerita tentang wang yang mereka ada di dalam bank ratusan dan jutaan ringgit itu dan rumah tiga empat tingkat .!

Comments