Episod 123: Di Hujung Tanduk.

Hari ini hari kedua dan hari terakhir aku, isteri dan anak bujangku Mukriz di Cameron Highland. Usai solat Subuh aku menyelak kain langsir di luar masih gelap.Aku bermalas-malasan di katil sementara menunggu hari cerah. Jam 8.00 pagi, aku mengajak isteriku berjalan-jalan manakala Mukriz kubiarkan menyambung tidur kerana nanti dia akan menjadi 'driver' pulang ke Klang.
Kami berjalan hingga ke Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highland dan ada seorang dua peniaga sarapan pagi . Kami melewati Masjid Kayangan Brincang terus ke belakang Hotel Rosa Passadena. Di situ terdapat sebuah Public Bank dan pasar pagi yang rata-rata peniaga dan pembeli Cina. Kemudian kami melalui lorong-lorong belakang bangunan dan tembus di hadapan stesen minyak Shell, Brincang.
Aku dan isteri ke 'foodcourt' di seberang jalan stesen minyak Shell. Mi hoon goreng dan teh O panas menjadi pilihan sarapan kami. Seorang wanita separuh abad sedang merungut-rungut kerana minumannya belum sampai-sampai. Pekerja kedai ramai 4-5 orang tapi tiada pengkhususan tugasan. Tokey kedai kena masuk kelas 'management'.
Selesai makan , hujan turun renyai-renyai kemudian lebat. Aku dan isteri berlari-lari anak di tepi-tepi kedai menuju ke Hotel Rainbow yang terletak bersebelahan Pasar Raya Jimat. Rancangan nak keluar melihat ladang teh dan strawbery terpaksa dilupakan. Aku hanya berbaring di katil sambil menyemak latihan murid yang dihantar melalui Whatsapp atau emel. Aku juga sedang melatih seorang murid sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Klang yang akan menyertai pertandingan mendeklamasikan sajak. Aku perlu membetulkan nada suara, sebutan, dan penggayaan tubuh.
Jarum jam tangan menunjukkan pukul 11.00 pagi. Kami berkemas barang-barang dan bersiap-siap untuk 'check out ' dari hotel. Keretaku parkir di tempat parkir dan sehelai surat cinta daripada Majlis Daerah Cameron terselit di 'wiper' kereta. Nantilah aku bayar saman parkir RM30 itu melalui online sekembali ke rumah. Aku singgah di kedai menjual pakaian untuk membeli tali pinggang yang tertinggal di rumah. Tali pinggang terlalu panjang hingga dua kali lilit pinggang aku yang ramping ini (size 41).
Kami bergerak ke sebuah 'Strawbery Farm' di atas bukit tetapi sunyi kerana tiada pengunjung yang datang. Kami turun semula ke arah Brincang dan menuju ke KHM Strawbery dan Jem. Banyak kereta dan pengunjung di situ. Ini kali kedua aku ke sini menikmati hidangan scone jem yang lazat. Hujan turun bagai dicurah-curah dengan baldi sangat lebat. Jadi, kami terperangkap di kedai makan itu bersama beberapa buah keluarga pelanggan.
Jadi, sempatlah aku membuka laptop yang aku kendung ke sana ke mari. Aku memeriksa kira-kira audit 3 syarikat milikku yang lebih banyak 'lost' daripada 'profit' bagi tahun 2020. Bencana Covid-19 sememangnya dugaan besar bagi golongan peniaga terutamanya. Aku kena kuat menghadapi gelombang ini dengan kekuatan mental.
Hujan masih lebat dan aku menyuruh Mukriz mengambil kereta ke tempat itu kerana kereta diparkir agak jauh. Mustahillah aku dan isteri hendak berlari ke kereta. Perjalanan pulang sudah dirancang melalui Tapah dan aku bercadang untuk singgah semalam di Taiping. Di Kuala Sepetang ada sebuah warung kueh tiaw udang yang sedap. Rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana Mukriz akan pulang ke UTeM , Melaka keesokan hari.
Hujan terus menggila. Hajat di hati hendak singgah di Cameron Valey tapi hujan, rancangan itu 'cancel' . Kereta dipandu berhati-hati menuruni Ringlet dari Tanah Rata. Di kanan jalan , tanah merah dan pokok-pokok kecil di tebing bukit menggelongsor perlahan-lahan ditolak air. Di sesetengah tempat,pokok dan tanah merah sudah menghalang sebelah lorong mendaki. Anakku, Mukriz memandu dengan berhati-hati dan aku sangat yakin akan kecekapannya memandu kereta.
Kami melalui jalan yang berbengkang-bengkok dan satu ketika kami terhenti di tengah jalan apabila beberapa ketul batu besar bergolek di atas jalan raya. Mukriz terpaksa memandu secara 'zig zac' untuk mengelakkan terlanggar batu. Perjalanan menuruni bukit ke Tapah lebih kurang dua jam kerana hujan lebat dan beberapa kejadian tanah runtuh kecil berlaku. Alhamdulillah, kami terselamat melalui kawasan berisiko tanah runtuh. Sepanjang perjalanan turun tadi masing-masing tidak bercakap kerana bimbang. Sebungkus kuaci belang di tanganku habis dimakan.
Hujan masih lebat sepanjang Lebuhraya Plus ke Kuala Lumpur. Sehingga jam 7.00 petang kami telah sampai di Damansara dan hujan masih lebat.Akhirnya , kami sampai di rumah pada pukul 7.45 malam dan aku bersegera mandi dan kelas ONLINE bermula pada pukul 8.00 malam.

Comments

Popular posts from this blog