Episod 121:
DIA YANG BERNAMA MAGESH
Kisah ini berlaku di awal tahun 1990-an di sebuah
sekolah swasta tempat aku mengajar. Murid ini ialah murid tuisyen Tingkatan 5
kelas malam. Orangnya tinggi, Badannya tegap. Rambutnya panjang dan tebal
separas bahu dan beropol-ropol.
Setiap malam, Magesh akan menunggang motosikal EX5 ke sekolah. Laju jug acara dia menunggang
motosikal walaupun dia berlemah lembut apabila bercakap tetapi agak kasar
seperti lelaki. Dia berjalan berlenggang-lenggok menaiki tangga dan mengepit
sebuah beg kain berisi alat tulis dan buku nota. Semasa di dalam bilik darjah,
aku selalu memerhatikannya dan dia akan tersenyum memandang aku. Tutur katanya
sangat sopan dan tidak lekang dengan ucapan ‘terima kasih’.
Walaupun, dia
bukanlah seorang murid yang cerdas tetapi dia rajin belajar. Semua latihan yang
kuberikan dia akan menjawab dan menghantarnya tepat pada waktu ditetapkan.
Memang, dia bukan murid yang cerdas kerana jawapannya kurang memuaskan.
“Saya dah lama tak
sekolah, Cikgu,” katanya apabila aku memanggilnya berjumpaku di meja guru .
“Tak mengapa. Awak
sudah mencubanya dengan baik,” ujarku cuba memberinya semangat.
“Terima kasih,
Cikgu,” balasnya dan melemparkan senyuman manis.
Apabila hari hujan, Magesh tetap hadir ke sekolah.
Bunyi enjin motosikalnya yang menderum sudah kutahu akan kehadirannya. Dia akan
membetulkan pakaian blaus berbunga yang sering dipakainya. Hampir setiap hari
aku perasan dia akan memakai pakaian yang sama. Entahlah, aku tidak pernah
bertanya mengapa. Sebagai murid yang baik, berlemah lembut dan bersopan santun
aku sangat menghargainya. Lebih-lebih lagi, usahanya untuk menimba ilmu amat
tinggi.
Peperiksaan SPM berlangsung di sebuah sekolah kerajaan
di Bukit Kuda menjadikan dia seperti suatu tarikan dalam kalangan murid sepenuh
masa sidang pagi. Semua murid sama ada sepenuh masa atau ‘part time’ akan
dikumpulkan di sebuah sekolah tumpeng apabila peperiksaan berlangsung.
Murid-murid sidang pagi tidak pernah melihat Magesh yang hanya hadir tuisyen pada
sidang malam. Ada juga suara-suara nakal yang berbisik-bisik tapi Magesh tidak
pernah marah tetapi dia akan tersenyum mendengarnya.
Aku sendiri ingin bertanya kepada Magesh tentang
identitinya. Dia seorang yang sangat perahsia. Dia tidak akan menunggu lama
apabila selesai sesi pembelajaran dia akan terus pulang. Berani kukatakan,
Magesh tidak mempunyai kawan di sekolah. Dia hadir ke sekolah hanya untuk
belajar dan pada waktu rehat antara jam 7.30-8.00 malam, dia hanya akan duduk
di dalam kelas membaca buku atau membuat latihan di mejanya.
Selepas selesai
peperiksaan SPM, masing-masing membawa diri pulang ke kampung atau memilih
untuk bekerja.
“Terima kasih,
Cikgu ajar saya,” ucap Magesh pada hari terakhir subjek SPM. Dia memberikan
senyuman mesra kepadaku.
“Saya ucapkan ‘Selamat
Maju Jaya’ kepada awak,” kataku .
Sejak itu, aku tidak pernah menemui Magesh hinggalah pada
suatu malam.
Semasa aku
menunggu pesanan mi goreng di warung di tepi jalan, sebuah motor EX5 berhenti
di sebelahku. Penunggang motosikal itu seperti aku kenali. Selepas dia membuka
topi keledarnya barulah aku sedar dia ialah Magesh.
“Hi, Cikgu. Cikgu
apa khabar?,” ujarnya dengan lenggok suara yang lembut.
“Eh, Magesh. Lama
tak jumpa awak,” ujarku sambil tersenyum dan gembira dapat berjumpa Magesh.
Aku dan Magesh berbual-bual seketika. Magesh
memberitahu dia mendapat keputusan peperiksaan SPM sederhana tetapi dia lulus
cukup makan bagi subjek aku, Bahasa Malaysia. (ketika itu penggunaan istilah
Bahasa Malaysia dan sekarang Bahasa Melayu).
“Tak mengapa, Cikgu. Saya belanja, “ ujar Magesh dan
menolak tanganku yang hendak menghulurkan wang kepada peniaga itu. Peniaga itu
yang melihat aku dan Magesh menepis-nepis tangan hanya tersenyum. Selepas
Magesh membayarkan harga makanan aku, ‘Ok, Cikgu . Jumpa lagi ya. Terima kasih,”
kata Magesh dan berlalu pergi.
“Encik kenal ke orang tu?,” tanya mamak yang menjual
mi goreng.
“Dia bekas murid saya,” balasku dan ingin mengetahui
sesuatu.
“Dia tu orang sini . Dia tinggal dengan family dia di
kawasan ini. Tapi, dia lelaki. Dia suka bergaya macam perempuan,” ujar mamak
itu lagi. Aku melopong mendengar cerita mamak itu.
“Oh, patutlah,” kataku. Selama ini , aku ingin juga
bertanya tentang hal itu tetapi aku bimbang Magesh akan terasa hati. Dia yang
bertubuh tegap dan tinggi serta raut wajahnya memang seperti lelaki. Bulu kakinya
penuh dan suaranya garau tetapi dilenggang-lenggok menjadi lembut. Semoga
Magesh terus berjaya dan menemukan jalan yang lurus.
Comments
Post a Comment