Episod 121: Mat Dam Hilang Deposit
Nasib Mat Dam sungguh tragis. Mat Dam kehilangan wang RM10K yang diberi pinjam kepada YB sebagai wang deposit bertanding pilihanraya .Mat Dam kehilangan sampan yang menjadi punca rezekinya menangkap ikan di laut. Mat Dam termenung sendirian mengenangkan nasib malang yang menimpanya tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Seawal pagi itu, Mat Dam keluar rumah dan sebelum itu dia memberitahu isterinya dia hendak berjumpa dengan Ketua Kampung. Isterinya hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata Mat Dam. Motosikal ditunggang Mat Dam menuju ke rumah Ketua Kampung. Setiba di halaman rumah Ketua Kampung, Mat Dam memberikan salam dengan suara yang agak kuat.
“Asalamualaikum!”
Tidak lama kemudian , pintu terkuak dari dalam. Muncul tubuh Ketua Kampung yang kurus dan tinggi lampai. Sesekali Ketua Kampung terbatuk-batuk.
“Teruk batuk tu,” sapa Mat Dam memulakan bicara.
“Naiklah dulu,” pelawa Ketua Kampung sambil terbatuk-batuk.
“Dekat tangga pun tak apa,” balas Mat Dam dengan dahi berkerut. Beberapa ekor ayam katik sedang berlari-lari di halaman rumah Ketua Kampung. Pokok=pokok pisang yang menjadi sempadan rumah kini sedang berbuah lebat. Suasana pagi itu sangat nyaman.
“Apa tujuan kau ke mari, Mat Dam?,” tanya Ketua Kampung melabuhkan punggung duduk di atas tangga,
“Begini Tok. Tok kan tahu sampan saya hilang,” kata Mat Dam.
“Ya, aku tahu,” jawab Ketua Kampung spontan.
“Sekarang saya dah tak tentu arah , Tok. Dapur rumah saya dah tak berasap. Banyak mulut nak disuapkan,” ujar Mat Dam memandang ke tanah. Ayam-ayam katik berlari ke sana ke sini saling mengejar dan mengais tanah untuk mencari makanan.
“Aku faham tu, Mat Dam. Aku cadangkan kau gunalah sampan aku tu buat sementara waktu. Aku pun sejak sehari dua ni berasa tak sedap badan. Tak apalah, kau gunalah ambillah sampan tu buat mencari rezeki. Itu sahaja yang mampu aku tolong,” kata Ketua Kampung memberikan sinar cahaya pada wajah Mat Dam. Mat Dam meruap tangan ke wajahnya tanda bersyukur kepada Ilahi.
“Terima kasih banyak-banyak Tok. Hanya Allah membalas jasa baik, Tok,” kata Mat Dam dengan wajah gembira.
“Janganlah kau risau sangat. Insyallah, aku akan usahakan mencari sampan lain untuk menggantikan sampan kau yang hilang,” kata Ketua Kampung seperti berjanji kepada Mat Dam.
Sejak pertemuan itu, Mat Dam sudah boleh turun ke laut seperti sebelum sampannya hilang untuk mencari rezeki di laut. Wajah isterinya juga ceria memandangkan suaminya sudah turun ke laut. Di fikiran Mat Dam hanya hutang YB yang belum dijelaskan lagi. Perkara itu sangat mengganggu fikiran Mat Dam. Dari siang ke malam , Mat Dam hanya memikirkan wang deposit yang dipinjam oleh YB. Sesekali , Mat Dam mendengus melepaskan kemarahan yang terpendam di dalam sanubarinya.
Beberapa hari selepas berjumpa Ketua Kampung , hari itu Mat Dam bertekad hendak bercakap dengan YB. Mat Dam bertekad hendak mendapatkan wang depositnya. Bukan sedikit bagi orang sepertinya yang hidup susah. Fikiran Mat Dam dipusatkan untuk memaksa YB memulangkan wang depositnya semula. Mat Dam tidak peduli lagi. Rasa hormatnya kepada YB sudah lama terhakis.
Loceng pagar rumah YB ditekan berulang-ulang kali. Tidak lama kemudian, muncul isteri YB di muka pintu diikuti YB. Kedua-duanya mendekati Mat Dam di luar pagar menunggu masa untuk meluahkan kemarahannya yang ditahan-tahan selama ini.
“YB!, “ jerkah Mat Dam sebelum sempat YB membuka mulut. Wajah YB cemas.
“Saya sudah berulang-alik nak jumpa YB. Saya nak YB pulangkan wang deposit saya sekarang juga,” jerkah Mat Dam kali kedua. YB menelan air liur. Tiada lagi wajah selamba seperti sebelum ini apabila Mat Dam datang meminta wang depositnya kembali. Sekaranglah masanya YB menunaikan janjinya untuk memulang wang deposit yang dipulangkannya.
“YyyyyBbbbbb,” jerit Mat Dam dengan nada lebih keras. Tiba-tiba wajah YB menjadi pucat dan tangannya memegang dada. Isteri YB cemas dan melaung memanggil pembantu rumahnya. Mat Dam turut terkejut melihat YB jatuh terlentang di tanah. Dada YB berombak-ombak laju. Semua yang ada semakin cemas. Mat Dam segera menghidupkan enjin motosikalnya untuk meminta bantuan orang-orang kampung. Hari itu YB disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Mat Dam berasa sangat kesal dan menyalahkan dirinya yang menyebabkan YB meninggal dunia. Beberapa orang pegawai pemerintah datang menziarahi rumah YB. Mat Dam terdengar beberapa orang rapat YB berbisik-bisik bahawa calon YB baharu perlu dicari dengan segera bagi mengemudikan pucuk pimpinan parti di kawasan itu. Tiada pilihanraya yang akan diadakan di kawasan itu kerana YB telah kalah pilihanraya lalu hingga Mat Dam hilang wang deposit. Air mata Mat Dam mengalir perlahan di celah pipinya yang berkedut dan pulang dengan hampa.
Comments
Post a Comment