EPISOD 118 : Selamat Tinggal
Pagi hari minggu itu seperti pagi-pagi biasa, aku
mengemas beg sekolah dan menyemak buku latihan murid-muridku. Isteriku sedang
menyiapkan sarapan pagi. Hanya kami berdua di rumah dan isteriku sedang
mengandungkan cahaya mata kami yang pertama. Kami menyewa di sebuah rumah teres
kos rendah dengan kadar sewa RM150.00 sebulan. Pada tahun 1990 itu, kadar sewa
masih rendah . Sewa sebuah rumah papan satu bilik hanya RM80.00 sebulan. Rumah
papan inilah yang aku dan isteri serta anak pertama kami menyewa setelah
terpaksa berpindah pada waktu malam. Namun, selepas kami berpindah dari situ,
rumah itu hanya terbiar kosong beberapa lama. Walaupun hatiku berasa amat sayu
dan pedih kerana diarahkan berpindah segera sambil melihat isteriku memangku
anak kecil kami.
Lamunan itu terhenti apabila telefon berdering berulang-ulang
kali. Aku yang sedang menyemak buku latihan menjenguk ke dapur. Isteriku menyambut
panggilan telefon. Ialu berbual-bual dengan seseorang. Aku tidak tahu dengan
siapa dia berbual-bual dan kelihatan sangat mesra. Hatiku tertanya-tanya, “Siapakah
gerangan yang menelefon hujung minggu begini?”.
“R, nak datang
rumah,” kata isteriku sambil berlalu ke dapur. Aku terpaku dan terdiam. Setelah
sejam, kedengaran suara memberikan salam di luar pagar rumah.
“Walaikumsalam,”
jawab isteriku yang sudah selesai memasak. Aku segera bangun dari kerusi dan
masuk ke bilik untuk menyalin pakaian. ‘R’ muncul di muka pintu. Tubuhnya agak
kurus dan sedikit cekung. Namun, senyumannya tetap sama seperti dulu. Isteriku
mempersilakan ‘R’ masuk ke dalam dan aku pula seperti kelu lidah untuk
berbicara. Hanya mataku menatap wajah ‘R’ yang sudah lama terpadam di lubuk
hatiku.
“Apa khabar?,’ aku
memulakan bicara setelah mendiamkan diri seketika.
“Khabar baik,”
jawab ‘R’ dengan suara perlahan. Isteriku bangun ke dapur untuk menyediakan
minuman untuk tetamu. Tinggallah aku dan ‘R’ di ruang tamu.
“Dari mana hendak
ke mana?,” tanyaku lagi kerana aku menyedari suatu garis kegelisahan pada wajah
‘R’. Sebenarnya, aku ingin bertanya,” Mengapa kau hadir semula,‘R’?,”. Tetapi
mulutku berasa terkunci untuk mengucapkannya demi menjernihkan suasana.
“Sengaja saya
hendak singgah ke sini,” jawab ‘R’ dan aku sedar bahawa ‘R’ tidak
berterus-terang. “Mana mungkin rumah ini yang hendak dikunjungi sedangkan aku
sudah berdua. Mengapa tidak dulu ‘R’ datang mencari aku seperti sekarang?,”
pertanyaan yang hanya melintas di benak fikirku. Aku bangun ke dapur. Isteriku
hanya mendiamkan diri dan aku perasan dia seperti berasa terganggu. Aku
mengangkat dulang yang berisi minuman dan makanan sarapan kami pagi itu ke meja.
Aku meletakkan dulang minuman di atas meja dan mempersilakan ‘R’ menjamah
makanan di atas meja. Isteriku mengemas dapur dan aku ke dapur mengajaknya
bersama-sama bersarapan.
“Lama tak jumpa
dah lama menghilang tiba-tiba sekarang muncul semula,” kata isteriku sambil
menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Aku hanya menundukkan kepalaku apabila
isteriku berkata,” tiba-tiba sekarang muncul semula”. Kata-kata itu mengandungi
makna tersirat dan berbaur perasaan yang berlainan.
“Kata sekarang
bekerja di KL? ,” aku melontarkan pertanyaan yang sebenarnya aku sendiri sudah
tahu akan jawapannya. ‘R’ terdiam seketika.
“Kata sudah balik
kampung,” sambungku lagi bagaikan halilintar soalan itu kulontarkan. “Tahukah
kau, aku menanti kau di sini kerana kau di sana tetapi sebenarnya kau berada di
sini tanpa aku ketahui. Warkah-warkah yang kukirim hanyalah suara bisu,” bisik
hati kecilku.’ R’ tidak membalas pertanyaanku itu dan isteriku yang duduk di
sebelah hanya mendiamkan diri. Pada aku , kami sebenarnya terkejut dengan
kehadiran ‘R’ pada pagi itu.
Setelah sejam
lebih di rumah, ‘R’ meminta diri untuk pulang. Aku dan isteri berjalan kaki
menghantar ‘R’ ke stesen bas yang terletak lebih kurang 200 meter dari rumah
sewa kami itu. Setelah bas tiba, ‘R’ hilang di perut bas dan isteriku
melambai-lambai mengucapkan selamat jalan. “Selamat Tinggal,” itulah ucapan
akhir ‘R’ sewaktu kakinya melangkah tangga bas. Aku mendengar dan memandangnya kosong.
Dan, aku hanya
melihat bas berlalu pergi membawa ‘R’ hingga hilang dari pandanganku.
“Selamat Tinggal,”
bisik hati kecilku.
Comments
Post a Comment