Episod 116: BUTANG
Sudah dua hari dia (bukan nama sebenar) menggeledah laci almari di dalam biliknya. Dan, sudah dua hari itu dia menjadi tidak keruan. Bukan dia tidak mahu meminta bantuan daripada isterinya untuk mencarikan butang baju Melayunya tetapi dia bimbang isterinya akan mengesyaki sesuatu. Seram sejuk dia hendak bertanya kepada isterinya ," Butang baju Melayu aku mana Pah?" . Tentu banyak soal jawab oleh isterinya nanti.
Baju Melayu berwarna merah sudah tergantung di dinding biliknya sejak dua hari yang lalu. Hanya butang baju Melayu itu masih belum dipasangkan lagi. Esok, akan berlangsung mesyuarat perwakilan parti. Hatinya berbunga-bunga apabila mengenangkan esok dia akan dilantik sebagai Ketua Bahagian. Perjuangannya di dalam parti tidak sia-sia . Banyak rintangan dan pancaroba yang ditempuhinya untuk berada di tangga teratas dalam parti.
Sebulan yang lalu, dia sudah mengadakan rundingan sulit dengan beberapa orang ketua cabang cawangan untuk mendapatkan sokongan mereka bagi memastikan dia dipilih sebagai Ketua Bahagian. Dia amat yakin para perwakilan akan memilihnya sebagai Ketua Bahagian esok . Namun, hatinya mulai gelisah apabila melihat baju Melayunya masih belum berbutang.
Kepulangan isterinya dari pejabat pada petang itu melegakan hatinya. Dia nekad untuk bertanya kepada isterinya tentang butang baju Melayunya.
"Ayang ada nampak tak butang baju Melayu abang?," tanyanya dan mengubah dailog.
"Ada saya simpan. Butang dalam botol," jawab isterinya lalu menuju ke arah bilik dan keluar semula dengan lima biji butang baju Melayu di tangannya. Wajahnya berubah ceria.
"Jangan pulak abang melencong ke lain," kata isterinya bagaikan satu amaran keras. Butang di tangannya dipasang pada baju Melayu. Dia hanya mendiamkan diri lalu isterinya ke dapur meninggalkannya sendirian .
Dia tiba awal di dewan mesyuarat dan bersama-sama ahli jawatankuasa lain menanti kedatangan Presiden parti (bukan jawatan sebenar). Masing-masing kelihatan segak berpakaian baju Melayu berwarna merah sedondon. Sebuah Toyota Vellfire hitam memasuki pekarangan dewan sambil diiringi anggota-anggota pengawal peribadi.
Presiden bersalam-salaman dengan ahli jawatankuasa yang sudah lama menunggu dengan penuh taat setia di pintu masuk dewan.
"Cantik butang baju awak," sapa Presiden. Dia tersenyum lebar sambil menyambut tangan Presiden dan menciumnya dengan penuh hormat takzim. Presiden tersenyum melihat gelagatnya. Semua ahli perwakilan berdiri apabila Presiden memasuki dewan sambil bertepuk tangan dengan amat gemuruh. "Hidup Presiden!Hidup Presiden!Hidup Presiden!"
Masing-masing mengambil tempat duduk yang sudah ditentukan oleh urusetia. Dia duduk di atas pentas sebaris dengan Presiden. Hatinya kembang kuncup apabila melihat para perwakilan tersenyum-senyum kepadanya. Dia yakin harapan dipilih sebagai Ketua Bahagian hari itu akan termakbul.
"Saya sedar betapa sengitnya pemilihan Ketua Bahagian kali ini," ucap Presiden yang berdiri di tengah-tengah pentas menyampaikan ucaptama.
Dia mengangguk-angguk mendengarnya.
"Saya juga sedar ada yang sudah mula melobi untuk jawatan Ketua Bahagian," ujar Presiden. Dia tiba-tiba terbatuk-batuk dan dijeling oleh Presiden dan tersenyum.
"Saya tiada masalah jika ada pihak yang cuba bermain kotor atau ikut pintu belakang. Tetapi, kalau saya tekan butang semua akan terbongkar," ucap Presiden dengan suara tegas. Dia menunduk memandang lantai pentas. Para perwakilan berdiri bertepuk tangan dan melaung-laung "Hidup Presiden !Hidup Presiden!Hidup Presiden!" .Dia juga bangkit dan turut melaungkan kata-kata semangat namun di dalam hati perasaannya bercampur-campur. Fikirannya berpusat kepada perkataan 'butang' yang disebut oleh Presiden tadi. Laungan terus bergema di dalam dan di luar dewan. ..
Comments
Post a Comment