Episod 115: Pung Pang Pung Pang (sebuah kisah dongeng)

Sejak beberapa minggu lalu, banyak pihak yang mendesak beliau (bukan nama sebenar ) memberikan jawapan tentang ketidakhadirannya dalam persidangan antarabangsa . Persidangan itu penting bagi negara beliau menyatakan pendirian berkaitan Kepupusan Spesies Ikan Siakap. Beliau sebagai menteri (bukan jawatan sebenar)yang dipertanggungjawabkan menjaga ikan-ikan di akuarium, kolam, sungai, laut, tali air, parit dan longkang tidak memberikan alasan yang kukuh sebab ketidakhadirannya.
"Patutkah aku pergi ke sana? ," tanya beliau kepada beberapa orang juaknya. Masing-masing diam tidak menjawab pertanyaan beliau.
"Kalau aku pergi nak bentang apa ? Kajian dan data pun tak ada," gerutu beliau sendiri. Beliau memandang muka-muka juaknya itu. Masing-maaing menundukkan kepala memandang lantai dilapisi karpet buatan Itali yang baru diganti setelah beliau dilantik menjadi menteri.
"Tuan patut pergi ke persidangan antarabangsa itu," jawab salah seorang juaknya merangkap pemandu peribadinya. Beliau menoleh kepada juaknya itu.
"Sebab?," tanya beliau meminta penjelasan.
"Kalau tuan ke sana nanti , musuh-musuh tuan tidak lagi menekan tuan," balas juaknya iru.
"Kalau saya pergi atau tak pergi mereka tetap mencari kelemahan saya," ujar beliau.
Suasana diam. Masing-masing sedang memikirkan jalan penyelesaian masalah itu.
"Apa persediaan saya patut buat sebelum ke sana?," tanya beliau seolah-olah beliau menunjukkan minat.
"Saya juga bersetuju jika tuan pergi. Masalah-masalah kecil tak perlu dirisaukan . Kita boleh cari jalan keluar," ujar seorang lagi juaknya.
"Apa sebenarnya masalah tuan?," pertanyaan seorang juaknya menyebabkan semua mata memandang juak itu. Selama beliau memegang tampuk kepimpinan parti belum pernah penyokongnya mempertikaikan keputusan atau tindakannya. Penyokong-penyokongnya sudah dididik supaya taat setia kepadanya tanpa soal. Itu sudah pasti bagi mengekalkan jawatan yang disandangnya.
"Tuan boleh merakam ucapan tuan . Tuan hanya perlu melakukan 'miming' saja selesai masalah,'" ujar salah seorang juak. Beliau tersenyum mendengar cadangan juaknya. Beliau sedar kesilapannya menyampaikan ucaptama dalam persidangan itu akan memalukan dan menjatuhkan imej negara. Beliau tidak begitu risau jika berucap di hadapan penyokong-penyokongnya sehari semalam kerana mereka tidak akan mempertikaikan atau membantahnya . Beliau amat sedar hal itu.
"Baiklah, saya setuju dengan cadangan kamu itu," kata beliau tersenyum lebar.
"Saya akan bantu tuan menyediakan slide," ujar juak itu tadi bersungguh-sungguh. Beliau masih tersenyum lebar.
"Saya akan masukkan nama kamu dalam senarai rombongan saya ke sana ," kata beliau sebagai menghargai idea juak itu. Muka juak-juak yang lain masam mencuka. Lontaran idea mereka ditolak mentah-mentah oleh beliau dan melepaslah peluang mereka untuk berseronok-seronok di hotel 6 bintang, bak kata sambil menyelam minum air.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Sudah dua hari beliau dan rombongannya yang terdiri daripada pegawai , anak isteri , sepupu sepapat , kawan-kawan 'reunion' sekolah dan sanak saudaranya memenuhi pesawat Airbus yang disewa khas itu tiba di kota metropolitan itu. Beliau membawa mereka membeli-belah dan makan-makan di restoran terkemuka. Semua perbelanjaan beliau dan rombongannya ditanggung oleh pelobi-pelobi projek.
Hari itu, beliau duduk ditempat yang dikhaskan oleh pihak penganjur persidangan antarabangsa. Dua orang pegawai khasnya duduk sebelah menyebelah dengannya. Beliau berbisik kepada pegawainya tentang teks rakaman ucapan dan slide video yang akan dibentangkan sebentar lagi. Pegawai-pegawainya menggeleng-geleng kerana mereka sendiri tidak dimaklumkan hal itu. Beliau mulai berasa tidak sedap hati . Peluh berbintik di dahi meskipun suhu dewan persidangan bagaikan di puncak Gunung Everest...

Comments

Popular posts from this blog