Episod 115: Pung Pang Pung Pang (sebuah kisah dongeng) Siri 3
Akhirnya, beliau terpaksa juga berucap. Namun , beliau memilih berucap dalam bahasanya sendiri. Muka-muka menteri yang duduk di bawah terpinga-pinga. Tambahan lagi, tukang terjemah tiada kerana beliau sendiri tidak menyangka akan menyampaikan ucapan secara lamgsunh bukan 'miming' seperti yang dirancangkan. Para menteri mula bercakap-cakap sesama mereka kerana tidak memahami buah butir ucapannya.
"Harga ikap siakap mengikut saiz dan tahun peliharaan," ujarnya mengisi hujah ucapan . Ada menteri yang mengangkat tangan sebagai isyarat tidak memahami isi kandungan ucapannya. Isyarat tiga jari tadi hanya tinggal dua jari. Akhirnya, beliau turun dari tangga pentas dan hampir berlaga bahu dengan pengerusi persidangan .
Tiada tepukan gemuruh hanya satu dua sahaja daripada pegawai-pegawai khas yang mengiringinya. Beliau bukan sahaja menanggung malu malah geram kerana kemunculannya buat kali pertama di persada antarabangsa hanya indah khabar daripada rupa. Beliau berasa amat kerdil di tengah-tengah ucapan para menteri negara-negara . Masing-masing mengemukakan hujah yang bernas bersandarkan fakta-fakta jitu dan padu. Tetapi, beliau hanya mampu berkongsi harga ikan siakap yang mengikut saiz dan tahun dipelihara. Beliau sedar isu harga ikan siakap di negaranya tidak dapat dikawal walaupun beliau bukanlah menteri yang dipertanggungjawabkan namun ikan siakap hidup di dalam air. Jadi, air adalah di bawah perhatian pejabatnya juga.
Sepanjang perjalanan pulang, beliau tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan sambutan dan kata-kata yang bakal menyepit cuping telinganya seperti playar. Juaknya yang memberikan idea juga termenung memikirkan kedudukannya seterusnya. Kemungkinan besar dia akan tersingkir terus. Ahli rombongan yang dinamakan delegasi sedang bersuka ria dengan barang-barang cenderamata yang diborong mereka.
Pesawat Airbus mendarat di lapangan antarabangsa yang dibina hasil idea mantan Menteri Perdana yang bermusuh dengan partinya dan dituduh pembaziran wang negara. Beliau berasa kecut hati untuk ditemuramah oleh pihak media yang sedang menantinya di anjung pintu ketibaan penumpang. Manakala , ahli delegasi mengikuti pintu belakang bagi mengelakkan dilihat orang ramai.
Sangkaannya meleset kerana beliau disambut bak wira negara. Kain sepanduk dibentang dan dijulang oleh penyokong-penyokong parti yang hadir dengan penuh semangat. Beliau berasa kembang tengkuk apabila namanya dilaung-laung. Walaupun beliau sendiri sedar bahawa tiada apa-apa kejayaan atau kebanggaan kepada negara yang dicapainya semaa di persidangan antarabangsa. Beliau tersenyum lebar disanjung dan dipeluk oleh penyokong-penyokongnya. Hanya wartawan surat khabar partinya beria-ia menemuramahnya tetapi wartawan akhbar-akhbar lain sudah lama meninggalkan perkarangan lapangan terbang.
Beliau tidak kisah apa-apa komen negarif yang bertebaran di medos atau media-media lain kerana penyokong-penyokong sudah cukup menjadi pembelanya. Beliau tidak sabar-sabar untuk menatap akhbar rasmi yang menjadi lidah partinya . Penyokong-penyokongnya juga amat yakin bahawa mereka dijamin masuk syurga kerana beliau sering menyebutnya berulang-ulang kali di atas pentas ceramah. Sepanjang perjalanan pulang ke pejabatnya dengan menaiki Toyota Vellfire bibirnya sentiasa mengukir senyuman ...
Comments
Post a Comment