Episod 114 :
HIDUP YB ! (Sebuah Kisah Dongeng)
Pagi ini, Encik Tol Bin Lol (bukan nama sebenar) akan
ke pusat penamaan calon. Sejak beberapa hari lalu, selepas namanya diumumkan
oleh presiden parti sebagai calon DUN N007 ( bukan kawasan sebenar ) dia sudah
bersiap-siap menempah baju Melayu sepasang dengan kain sampin songket berbenang
emas. Songkok pun sudah diberusnya berkali-kali. Di hadapan rumahnya, beratus-ratus
orang penyokongnya sudah hadir untuk mengiringinya ke pusat penamaan calon
nanti.
“Hidup YB! Hidup YB ! Hidup YB !”
Para penyokong melaung beberapa kali. Dia hanya
tersengih-sengih apabila dia dipanggil YB. Sebuah kereta mewah Toyota VELLFIRE (bukan
kereta sebenar) yang dipinjam daripada rakannya Ah Choy ( bukan nama sebenar )
seorang kontraktor di Kuala Lumpur. Dua orang penyokongnya segera menjulangnya
di atas bahu menuju ke kereta dan dia hampir jatuh terlentang ke belakang
tetapi disambut oleh penyokong-penyokong lain yang membontotinya. Merah padam
mukanya. Kalaulah tadi dia terjatuh kemungkinan pencalonannya pada hari itu
akan sia-sia.
Kereta Toyota VELLFIRE (bukan kereta sebenar) dipandu
oleh Mat Ri,(bukan nama sebenar ) jiran sebelah rumahnya. Mat Ri tidak bekerja
bukan kerana takut reput tulang tetapi memang sikapnya malas bekerja. Setiap
masa, Mat Ri akan mengeteh dengan kawan-kawan senasibnya yang malas bermain
buah karum di warung Kak Mah ( bukan nama sebenar ) yang telah kematian suami dua
bulan lepas kerana anunya dipatuk ular tedung selar semasa menyauk ikan di tali
air.
Ketibaannya di pusat penamaan calon disambut beratus-ratus
orang penyokongnya yang setia menantinya dengan kain rentang tertulis ‘UNDI YB , YB TERBAIK ! Hidup YB ! Hidup YB !
Hidup YB! ‘. Dia tersengih-sengih mendengar namanya dilaung-laung di bawah
terik mentari pagi yang bersinar. Inilah pertama kali dia dicalonkan dalam
pilihanraya negeri walaupun sudah puluhan tahun dia menunjukkan komitmen dan
kesetiaannya pucuk pimpinan kepada parti. Perasaan bangganya dikongsi bersama
isterinya, Siah Bt, Kap (bukan nama sebenar). Isteri yang dikahwininya sejak 30
tahun lalu tetapi mereka masih belum diberi rezeki cahaya mata. Kesetiaan dia
terhadap isterinya selama ini turut diambil kira oleh pucuk pimpinan parti
untuk mencalonkannya dalam pilihanraya kali ini. Penyandang kawasan tersebut
telah tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat akibat terkejut
lalu diserang angin ahmar setelah dituduh melakukan penyelewengan peruntukan
membaiki loji najis di kawasan yang diwakilinya di mahkamah.
Dia ditemani oleh dua orang kuatnya, Mat Raba (bukan
nama sebenar ) dan Mat Loya (bukan nama sebenar ) memasuki dewan untuk
menyerahkan borang pencalonannya. Mereka akan menjadi saksinya sebagai calon
yang bertanding bagi DUN N007. Selesai penyerahan borang, dia naik ke pentas
untuk bergambar kenang-kenangan dengan dua orang lagi calon yang bertanding dari
parti lain.
Usai acara bergambar, dia menuju ke pintu keluar dewan
dan sekali lagi bergema laungan. “Hidup YB! Hidup YB! Hidup YB! “ .Perasaannya
berbunga-bunga sambil melambai-lambai ke arah penyokong-penyokongnya.
Berpeluh-peluh tubuhnya dan basah kepalanya diserkup songkok kerana matahari
semakin tinggi. Begitulah hebatnya bahang pilihanraya yang akan berlangsung
nanti. Pada kali ini pertandingan berjalan secara tiga penjuru setelah parti
sekutunya mahu bertanding juga menggunakan logo parti lain.
Tibalah masanya pegawai pilihanraya (bukan jawatan
sebenar) membuat pengumuman pengesahan pencalonan bagi DUN N007. Setiap calon
berdebar-debar menanti pengumuman penting itu. Seorang calon sudah disahkan
pencalonannya dan seorang lagi pun sudah disahkan pencalonannya. Apabila tiba
giliran pengumuman namanya sebagai calon, pegawai pilihanraya mengumumkan
bahawa pencalonannya telah ditolak. Dia hampir pitam mendengar pengumuman
tersebut.
Keadaan menjadi riuh-rendah dan tegang kerana
penyokong-penyokongnya tidak berpuas hati namun berjaya dikawal oleh
anggota-anggota keselamatan yang bertugas di situ . Pegawai pilihanraya
menyatakan pencalonannya telah ditolak kerana dia mempunyai kes di mahkamah
berkaitan hutang jutaan ringgit yang tidak dibayar kepada seorang kontraktor mengorek
pasir. Air matanya mengalir laju. Dia tidak menyangka sama sekali perkara itu
boleh berlaku pada saat-saat akhir. Dia mengesyaki ada pihak yang bersikap ‘
gunting dalam lipatan ‘ di dalam partinya sendiri terhadapnya. Tetapi, dia
tiada bukti.
Beransur-ansur para penyokongnya bersurai dan merapati
seorang lagi calon dari parti bersekutu yang bertanding sama. “Hidup YB! Hidup
YB! Hidup YB!” . Kedengaran laungan bergema-gema oleh para penyokongnya yang menyokong
calon seorang lagi. Dia menggeleng-gelengkan kepala menyesal dan keliru. Kereta
Toyota VELLFIRE yang disewanya memecut laju meninggalkannya terkontang-kanting
di situ. Hanya debu jalan raya meruap ke udara.
Akhirnya, dia menumpang motosikal Honda EX5 milik salah
seorang penyokongnya Mat Pangkah (bukan nama sebenar) pulang ke rumah .
Sementara isterinya pula, hilang dalam keriuhan penyokong-penyokong parti. ‘Sudah
jatuh ditimpa tangga’ apabila seekor lembu menendang motosikal yang
diboncengnya menyebabkan dia dan Mat Pangkah terhumban ke dalam parit. “Celaka
punya lembu ! ,” jeritnya sambil menghalau lembu yang masih tercegat di tepi
parit. Dia terpandang papan tanda di
sebelah kiri jalan “AWAS LEMBU MELINTAS” dan kain rentang “HIDUP YB” yang
berlatar belakangkan wajahnya dipijak lembu tadi dan selonggok tahi lembu.
Dia berjalan kaki pulang ke rumah di bawah terik
matahari. “HIDUP YB! HIDUP YB! HIDUP YB!” Laungan itu bergema di dalam hatinya.
YB! YB!
Comments
Post a Comment