Pengalaman menakutkan ini berlaku pada tahun 1998. Semasa kejadian itu , aku dan seorang pemandu syarikat bernama Jeffry , seorang bumiputera Sarawak . Wajahnya kemelayuan dan fasih bertutur bahasa Melayu. Pernah pada suatu hari pada bulan Ramadan , aku menemani Jeff makan tengah hari. Banyak mata memandang kami manakala aku asyik membaca ‘massage’ telefon bimbit NOKIA3310 aku sementara Jeff sedap melantak nasi kandar Restoran Bismilah depan Stesen Kereta Api Klang.  Barang kali mereka menyangka Jeff ini Islam dan tak puasa !

 

Tugasan kami pada hari itu ialah menghantar sebuah mesin fotokopi ke Institut Aminuddin Baki, Genting Highland. Memang teruja dapat naik Genting Highland. Udara yang berkabus dan sangat sejuk di luar tingkap van yang dibuka luas menampar-nampar muka kami. Hanya sesekali kereta atau bas berselisih dalam perjalanan mendaki Genting Highland. Terhenjut-henjut van Nissan yang dipandu Jeff dan kami tetap ‘happy’ dapat ke Genting Highland.

 

Sebenarnya,  misi menghantar mesin fotokopi itu bagi memenuhi permintaan Dr. Muhammad selaku Pengarah Jabatan Kesihatan Daerah Klang. Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan mesyuarat peringkat daerah di Institut Aminudin Baki. Dua buah mesin fotokopi disewa bagi melancarkan program yang berlangsung selama tiga hari itu.

 

Kami melalui Sekolah Kebangsaan Aminudin Baki, Genting Highland dan semua murid serta guru-guru memakai pakaian tebal kerana suhu yang terlalu sejuk. Suasana seperti di ‘oversea’. Sesampai di institute, kami disambut oleh Dr.Muhammad dan beberapa orang kakitangan pejabat yang kami sudah saling mengenali. Beberapa ‘ test’ mesin dibuat oleh Jeff dan tugasan aku hanya menyiapkan dokumen sewa mesin fotokopi untuk ditandatangani oleh pihak yang menyewa.

 

Kami diminta oleh Dr.Muhammad supaya menunggu seketika di situ dan dihidangkan sarapan pagi. Tubuh menahan sejuk menggeletar. Aku hanya memakai jaket berwarna hijau yang selalu dipakai penunggang motosikal dan Jeff selamba dengan kemeja lengan pendek. Katanya di dalam hutan di Sarawak lagi sejuk.

 

Setelah menunggu hampir sejam dan mesin fotokopi dalam keadaan baik, kami memohon untuk pulang ke Klang. Enjin van Nissan dihidupkan dan perjalanan menuruni Genting Highland dan jalan agak licin. Aku berpesan kepada Jeff agar memandu perlahan kerana bimbang keselamatan kami. Entah macam mana , Jeff berkata minyak lebih jimat jika enjin dimatikan kerana perjalanan menuruni bukit bukan mendaki seperti tadi.

 

Sebaik sahaja enjin dimatikan serta-merta stereng tidak boleh dipusing. Sebuah teksi yang mengekori kami di belakang menekan hon panjang kerana melihat van terhuyung-hayang . Di bawah gaung sudah terngaga menunggu mangsa. segera menghidupkan enjin van dan terus hidup . Stereng van berfungsi semula. Jeff mengawal stereng van dengan pantas agar van tidak terhumban ke dalam gaung yang entah berapa tinggi. Masing-masing terdiam tidak berkata apa-apa. Wajah kami pucat lesi yang kalau ditoreh pun tak keluar darah.

 

Di dalam hatiku sudah mengucap panjang ketika van membelok ke arah gaung. Teringat isteri dan tiga puteri masih kecil di rumah. Kami saling berpandangan tanpa berkata apa-apa. Sementelahan, aku pula belum mempunyai lesen memandu kerana ketika umurku 32 tahun barulah aku mempunyai lesen. Jadi, aku tidak tahu tentang fungsi stereng yang akan ‘autolock’ apabila enjin dimatikan.

 

Umur kami masih panjang dan sehingga hari ini Jeff masih bekerja sebagai pemandu syarikat. Kadang-kadang aku melawatnya di kedai dan Jeff masih mesra berkawan seperti mula-mula dia masuk bekerja dulu. Beringatlah bahawa ajal maut di tangan Tuhan.

 

 

Comments

Popular posts from this blog