Episod
3 : Bilik 217
Isteriku dan anak-anakku pulang sebentar di rumah
kerana sudah tiga hari berkampung di bilik hospital. Kesulitan yang aku sepanjang
masa di hospital ialah urusan ke tandas kerana aku terpaksa dipapah untuk
bergerak. Pada awalnya agak kekok tetapi selepas beberapa hari aku sudah ‘cekap’
bergerak dengan cara melompat-lompat seperti ‘kanggaro’. Paling penting
semangat hendak cepat pulih dan keberanian menghadapi kemungkinan terjatuh .
Tinggallah aku seorang diri terbaring di atas
katil. Suasana sunyi sepi . Banyak perkara yang aku fikirkan tatkala itu. Air
mata berguguran laju membasahi pipi . Entahlah , perasaan aku ketika itu sangat
sebak kerana terkenangkan masa depan yang belum pasti andainya pergerakan
kakiku tidak sesempurna sebelum kemalangan. Terkenangkan pekerjaan yang aku
terpaksa tinggalkan sementara waktu bererti aku tidak akan mempunyai sumber
pendapatan untuk tempoh yang lama ( selepas kemalangan aku tidak bekerja dan
tidak berpendapatan selama hampir 8 bulan) . Terkenangkan rahmat dan kasih
sayang Allah kerana menyelamatkan nyawaku. Jururawat masuk ke dalam bilik dan
melihat aku sedang menangis ketika itu seorang diri. Jururawat mengambil
tekanan darahku dan aku perasan matanya tertancap ke wajahku . Barangkali
timbul tanda tanya di dalam hatinya.
“ Encik hendak saya bawa bersiar-siar di bawah ?,”
tanya jururawat spontan . Aku menggeleng-gelengkan kepala. Suasana diam .
“ Encik hendak saya temankan ?, “ tanya jururawat
. Aku menggeleng-gelengkan kepala tanpa menoleh kepada jururawat .
“Terima kasih Encik bagi biskut dan buah-buahan
kepada kami , “ kata jururawat lagi cuba menarik perhatian aku atau mengajak
aku berbual-bual . Aku mengangguk-angguk sahaja dan tersenyum tawar .
“Kalau Encik hendak bantuan apa-apa, Encik tekan ‘button’
tu ye, “ kata jururawat sebelum meninggalkan bilik. Aku melihat jururawat
menutup pintu . Tinggallah aku bersendirian semula.
Aku membaringkan tubuhku di atas katil dan cuba
melelapkan mata. Namun mata ini tidak mampu dipujuk . Akhirnya aku terlelap
juga. Aku terjaga apabila mendengar bunyi daun pintu ditolak . Isteriku sudah
berada di sisiku bersama-sama anak bongsuku.
“Saya ada bawakan makanan , “ kata isteriku
sambil mengemas dan membuang bekas makanan dan minuman di atas meja ke dalam
tong sampah.
“Ayah nak makan mi goreng , “ kataku kepada anakku.
“Belikan ayah mi goreng kat restoran tu , “ suruh
isteriku . Sebuah restoran 24 jam terletak di seberang jalan hospital sahaja.
“Kenapa ?,” tanya isteriku apabila melihat air
mataku kering di pipi . Aku hanya mendiamkan diri . Sejak hari itu , aku tidak
lagi ditinggalkan berseorangan di dalam bilik baik siang mahupun malam .
Petang itu , pelawat datang menanti giliran masuk
ke dalam bilik . Saudara mara jauh dan dekat , kawan-kawan , bekas guru
sekolahku , jemaah masjid juga ahli politik yang mengenaliku. Sekali lagi
bilikku meriah . Aku terfikir juga keputusan awal anak-anakku memindahkan aku di bilik ini sememangnya tepat
supaya tidak mengganggu pesakit-pesakit lain di dalam bilik yang sama . Tiba
waktu Maghrib , pelawat beransur-ansur memohon diri . Aku solat berjemaah
dengan anak isteriku di dalam bilik . Selepas Isyak anak-anakku yang lain juga
datang . Anak bongsuku dan isteriku menemani aku pada malam itu .
Aku membuka lembaran Al-Quran melalui telefon
bimbitku . Cahaya telefon bimbit memenuhi wajahku. Anakku melayan menonton
televisyen. Isteriku sudah lama belayar . Kasihan juga aku melihatnya yang
semakin susut berat badan . Dan berat badanku juga susut sebanyak 5 kilogram
selepas 3 hari di hospital ( selepas keluar hospital aku kehilangan berat badan
14 kilogram ). Usai menghabiskan satu juzuk aku menutup telefon bimbit . Mataku
semakin berat .
Bahuku digoncang tiba-tiba. Keadaan di dalam
bilik agak gelap kerana lampu di tepi jalan sekejap menyala sekejap padam .
Tiada sesiapa di tepi katilku. Aku bangkit dan ke tandas dengan caraku ‘
melompat-lompat’. Di dalam tandas, aku membersihkan diri dan melakukan solat
tahajud. Aku tersenyum sendiri apabila teringatkan sudah dua malam aku ‘dikejutkan’
semasa tidur. Seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang mahu aku bangun tidur. “ Inilah
hikmahnya ,” detik hati kecilku. Aku meneruskan ‘ Marathon Al-Quran ‘ sehingga
kedengaran azan subuh dari sebuah masjid berhampiran .
Isteri dan anakku bangun membersihkan diri untuk
bersolat subuh . Aku membacakan doa selesai solat yang diimami anakku. Aku
hanya bersolat di atas katil kerana sukar untuk aku duduk di lantai. Usai solat
subuh , aku membuka telefon bimbitku dan membaca berpuluh-puluh whatsapp yang
masuk. Tidak putus-putus ucapan dan doa daripada murid-muridku dan
kawan-kawanku. Mereka mendoakan aku segera sembuh dan dapat pulang ke rumah .
Anakku tiba di hospital sekitar jam 10.00 pagi.
Sebenarnya , anak-anakku bergilir-gilir menjaga aku dan dapatlah isteriku
berehat atau ke kafe hospital di tingkat bawah . Dr.Ip masuk memeriksa keadaan
kaki aku dan melakukan ‘dressing’ pada luka kakiku. Tempat luka yang terkopak dan
dijahit tidak ditutup tetapi dibiarkan terbuka supaya kawasan kecederaan itu dapat
‘ bernafas ‘ seperti mana kata Dr. Ip. Sebenarnya, Dr. Ip juga seorang
pensyarah yang mengajar dalam bidang perubatan bermakna dia melakukan dua tugas
pada satu masa .
Comments
Post a Comment