Episod: RINDU
Pertama kali aku singgah di warung ini . Pelanggan yang sedang makan minum tidak ramai. Masing-masing sedang menikmati makanan dan minuman. Aku terpandang kepada seorang lelaki yang duduk bersendirian. Kukira usianya sekitar 70-an begitu asyik melayan telefon bimbit di tangannya . Sesekali lelaki itu menekan butang suara dan bercakap sesuatu sambil tersenyum . Aku juga turut tersenyum sendiri melihat gelagat lelaki itu.
Segelas teh tarik di atas mejaku tinggal separuh. Beberapa orang pelanggan baharu masuk ke warung mengambil tempat. Aku memandang lelaki itu semula yang masih melayan telefon bimbitnya. Sesekali lelaki itu ketawa kecil. Hatiku tertanya-tanya," Dengan siapakah dia berbual-bual mesra?".
Aku bangkit dari kerusi dan menuju ke meja lelaki itu. Lelaki itu memandangku dengan sisa senyuman. Aku berdiri tercegat di tepi meja lelaki itu. Lantas, aku meminta izinnya untuk duduk di mejanya. Kami berbual-bual mesra . Lelaki itu membahasakan dirinya Pakcik . Sesekali lelaki itu mendengar rakaman suara di telefon bimbitnya .
"Siapa tu?," tanyaku ingin tahu.
"Isteri Pakcik," jawabnya ringkas. Bibirnya tersenyum seakan terlalu gembira. Perasaan ingin tahu membuak-buak di hatiku.
"Isteri Pakcik tak ikut sama ?," tanyaku lagi.
"Isteri Pakcik tinggal jauh," jawab Pakcik itu sambil melemparkan pandangan jauh. Wajah Pakcik sedikit muram. Aku tidak jadi bertanya lebih lanjut lagi.
Suasana hening seketika. Lelaki itu seolah-olah sedang mengenang sesuatu yang meruntun jiwanya. Aku pula berasa serba salah.
"Anak dari mana?," terpacul pertanyaan Pakcik itu.
"Oh, saya dari Klang. Saya ada urusan kerja di sini ," jawabku sambil melihat mata lelaki itu berkaca.
"Kenapa lelaki itu menangis?" .Pertanyaan itu singgah di hatiku.
"Pakcik tak nak jumpa makcik ke?," aku terus bertanya kerana aku berasa muyskil. Entahlah, perasaan itu terbit tiba-tiba. Lelaki itu diam dan tidak menjawab pertanyaanku.
Kalau tadi lelaki itu asyik berbual-bual dengan telefon bimbitnya tapi kini lelaki itu terus diam seribu bahasa.
"Anak sudah berkeluarga?," tanya lelaki itu.
"Sudah Pakcik. Saya ada 2 anak," jawabku spontan.
"Tentu anak sangat gembira kerana ada isteri di sisi anak ," balas lelaki itu.
"Alhamdulillah, Pakcik. Allah jodohkan saya dengan isteri yang baik ," ujarku.
"Isteri Pakcik tak tinggal sama dengan Pakcik?," aku bertanya soalan yang agak sensitif. Lelaki itu diam kembali.
"Sayangilah isteri anak sepenuh hati. Selagi dia masih ada," kata lelaki itu dengan nada sebak . Aku terdiam. Otakku ligat berfikir tentang isteri lelaki itu.
"Kita akan terlalu rindu kepadanya apabila dia sudah tiada," sambung lelaki itu. Kemusykilan di hatiku berganda-ganda.
Suasana sepi seketika. Hatiku ingin bertanya lebih lanjut tetapi lelaki itu memotong niatku.
"Isteri Pakcik sudah dua tahun meninggalkan Pakcik. Hanya yang tinggal suara isteri Pakcik di dalam telefon bimbit ini. Apabila Pakcik rindu kepadanya Pakcik akan mendengar suaranya semula . Lepaslah rindu Pakcik," kata lelaki itu dan air mata laju menuruni celah-celah kedutan pada wajahnya.
Aku segera bangun dan memeluk lelaki itu erat-erat. Kedengaran esakan kecil dan lelaki itu tidak melepaskan pelukannya .
"Maafkan saya Pakcik," bisikku di telinga lelaki itu . Sejak pertemuan itu , aku sering menelefon lelaki itu yang kuanggap seperti bapaku sendiri. Semoga 'bapa' tabah menghadapi ujian berat ini.
Comments
Post a Comment