Episod 7 : BILIK 217

Pagi terakhir di hospital . Sarapan pagi sudah dihantar ke bilikku tetapi selera aku seakan-akan sudah mati . Dalam kepalaku hanya hendak pulang ke rumah . Beberapa orang kawanku sudah menghubungi aku dan berjanji akan datang melawat aku di rumah . Kemudian Dr.Ip yang peramah dan mesra memeriksa keadaan aku . Dr.Ip sendiri melakukan ‘dressing’ lukaku sejak hari pertama aku dimasukkan ke hospital . Kata jururawat , Dr.Ip tidak akan menyuruh jururawat melakukan ‘dressing’ terhadap pesakitnya kerana dia sendiri akan melakukannya. Tekanan darah dan bacaan gula dalam keadaan normal. Aku mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr.Ip tetapi Dr.Ip dengan senyuman mesranya memberitahu aku bahawa aku akan tetap datang ke hospital itu setiap minggu selama satu tahun setengah lagi.
Kecederaan kaki kiriku pada tahap remuk dan beberapa cebisan tulang yang berserakan di jalan raya ( ada pihak yang memviralkan kejadian kemalangan itu di dalam facebook tetapi keluargaku telah meminta video itu dipadamkan kerana terlalu ngeri dengan kaki remuk dan terkulai ). Setiap kali mengenangkan peristiwa itu aku tersenyum kerana kejadian itu telah mengubah aku seratus peratus menjadi menusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Isteriku dengan ditemani anakku ke farmasi di tingkat bawah untuk mengambil ubat.

Seorang kakitangan bahagian kewangan hospital telah datang ke bilikku dan menyerahkan dokumen perubatan dan penyata caj hospital sebanyak RM46,000.00. Semuanya sudah dibayar oleh syarikat insurans. Aku diberikan surat MC oleh Dr.Ip selama tiga bulan ( aku mendapat MC selama satu tahun setengah ). Aku akan berulang alik ke hospital sehingga kakiku telah pulih sepenuhnya. Aku meninggalkan bilik 217 dengan perasaan bercampur baur . Beberapa orang jururawat yang bertugas di kaunter mengucapkan ‘Selamat Jalan’ kepada aku . Seorang kakitangan hospital membantu menolak kerusi rodaku hingga ke ‘ground floor’ dan membantu aku ke kereta yang sudah menunggu di lobi hospital . Beg pakaian dan beberapa barang lain turut dibawa turun oleh kakitangan hospital . Sekitar jam 6.00 petang aku bertolak pulang ke rumahku dan bermulalah episod baharu dalam kehidupanku .

Comments