Episod 6 : BILIK 217
Hari
keenam aku mendapat perkhabaran gembira.
Rutin biasa , Dr. Ip akan memeriksa aku jam 10.00 pagi sejak aku dimasukkan ke
hospital dan sebelah petang sekitar jam 4.00 petang . Dr.Ip amat berpuashati dengan
keadaan kakiku yang bertambah baik dan dia memberitahu aku bahawa esok aku akan
dibenarkan pulang . Namun begitu, aku perlu menjalani ujian X-ray terlebih
dahulu. Tekanan darahku semakin baik berbanding mula-mula aku sampai di
hospital tekanan darahku 230 . Bacaan gula di dalam darahku melonjak 19 selepas
kemalangan . Kini, semuanya kembali normal apabila bacaan gula di dalam darahku
5.0 .
Selepas
ujian X-Ray di bilik radiologi di tingkat bawah , aku dibawa ke bilik semula .
Aku mengajak isteriku ke kafe di tingkat bawah dengan menggunakan kerusi roda.
Semasa di kafe , aku terserempak dengan Dr. Ip sedang makan bersama-sama
beberapa orang doktor pakar lain. Salah seorang doktor pakar mendekati aku
untuk bertanya khabar. Kami saling mengenali kerana anak doktor itu ialah murid
tuisyenku . Walaupun , setiap minggu aku ke rumah doktor tetapi aku jarang
bertembung dengannya kerana doktor sangat sibuk. Dr. Ip juga baru mengetahui
aku ialah guru tuisyen rakan doktornya.
Usai
menikmati mi kari di kafe , aku naik semula ke bilik. Jururawat memberitahu aku
bahawa pada sebelah petang nanti seorang fisio akan mengajar aku cara-cara
menggunakan tongkat ketiak. Aku bersikap positif andainya aku terpaksa
bergantung kepada tongkat itu dalam tempoh yang lama, iaitu setahun ( aku
menggunakan tongkat itu selama 8 bulan sahaja dan kemudian menggunakan tongkat
biasa ). Aku juga perlu menerima hakikat bahawa aku akan bersolat di atas
kerusi untuk tempoh masa yang panjang .( 8 bulan aku bersolat di atas kerusi
dan rindunya untuk bersujud di atas sejadah hanya Allah sahaja yang tahu ). Aku
bersyukur diberikan kehidupan baharu dan keinsafan yang mendalam .
Seperti
yang dijanjikan , petang itu seorang ahli fisio telah datang ke bilikku sambil
membawa sepasang tongkat baharu. Aku diajar cara menggunakan tongkat itu jika
menaiki dan menuruni tangga. Setelah berpuas hati bahawa aku sudah boleh
menggunakan tongkat ketiak , ahli fisio meninggalkan bilik. Aku belajar
berjalan satu kaki dengan bantuan tongkat. Situasi yang paling menyeramkan
ialah memasuki tandas menggunakan tongkat . Aku paling takut lantai basah
kerana kesilapan kecil aku boleh terjatuh ditambah lagi kakiku masih dipasang ‘arial
TV’ (semasa di rumah beberapa kali aku terpaksa ‘mencampakkan ‘ tubuhku ke
lantai akibat lantai licin ), bak kata orang’ alah bias tegal biasa .’
Malam
ini merupakan malam terakhir aku tidur di bilik 217. Alhamdulillah , azamku
untuk khatam Al- dengan ‘Marathon’ Al-Quran selama aku di hospital
tercapai dengan rahmat Allah . Banyak ikhtibar dan hikmah yang aku peroleh
selepas kemalangan yang menimpa aku. Tiada apa yang perlu dibimbangkan jika
kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah kerana Dia Maha Perancang.
Rutinku
bangun malam cuma mala mini aku terjaga sendiri. Tiada lagi ‘kejutan’ seperti
biasa . Tiada lagi rasa bahuku ‘dicuit’ tetapi hatiku yang telah ‘diketuk’
Allah . Aku sudah tidak sabar-sabar menunggu hari esok untuk pulang ke rumah .
Sebahagian barang sudah dibawa pulang ke rumah oleh anak-anakku pada petang
tadi . Makanan di dalam tin dan buah-buahan aku berikan kepada jururawat di
kaunter. Jasa mereka akan kukenang sepanjang hayat kerana telah menjaga aku
dengan baik dan mesra serta bertanggungjawab .
Comments
Post a Comment