Episod 2 : Bilik 217

Hari kedua di bilik 217. Pagi itu , petugas menghantar sarapan pagi . Bijirin OAT dan teh O serta roti . Terkulat-kulat aku memandang sarapan yang sudah terhidang di atas meja katil. Aku sebenarnya jarang bersarapan dan bijirin OAT bukanlah makanan kegemaran aku . Aku terpaksa menelan sarapan itu sambil menonton televisyen . Anak-anakku sudah sampai di hospital dan membawa sarapan nasi lemak. Aku bedal nasi lemak . Dr.Ip memberitahu aku supaya tidak berpantang makan kerana aku memerlukan banyak protein bagi membantu pemulihan kakiku. Telur , udang , ikan bilis dan apa-apa makanan yang dianggap pantang semua aku telan.
‘Marathon’ Al-Quran diteruskan seawal Subuh tadi dan disambung secara berperingkat-peringkat . Hikmahnya aku di sini , solat pada awal waktu . Tiada lagi istilah mengejar masa seperti sebelum kemalangan. Kalau kesibukan masa menjadi alasan betapa banyak kerugian yang aku tanggung selama ini. Perasaan sebak sering melintas di hati ini pada bila-bila masa. Pelawat-pelawat yang datang bertali arus dari pagi hingga malam. Jam 12.00 malam masih ada pelawat yang datang ke bilikku. Mereka membawa pelbagai buah tangan dari buah-buahan , biskut , minuman sehinggalah jambangan bunga dan ada juga yang menghulurkan sumbangan . Pihak surau taman perumahan aku juga ada menghantar wakil bagi menyerahkan derma kilat .

Pada sebelah petang , bilangan pelawat semakin ramai hingga Maghrib . Masing-masing mahu mendengar cerita dari mulutku tentang kemalangan yang menimpa aku. Entah berapa ratus kali aku sudah bercerita setiap kali pelawat datang . Dr.Ip berasa ‘kurang selesa’ kerana jumlah pelawat yang datang masih tidak menunjukkan pengurangan sebaliknya bertambah hari ke hari. Bekas murid-muridku juga silih berganti datang menjengukku sambil menghulurkan sumbangan yang mereka kumpulkan dari rakan-rakan mereka di seluruh negara. Aku juga menerima ucapan daripada murid-muridku di luar negara kerana mereka mengetahui kejadian kemalangan itu melalui Facebook dan rakan-rakan di Malaysia.
Pada malam kedua agak tenang hanya seorang dua pelawat yang datang tidak berkumpulan seperti sebelah siang .
“Encik , artis ke atau Tan Sri ?,” tanya seorang jururawat yang datang mengambil tekanan darahku. Aku hampir tergelak besar mendengar pertanyaan itu.
“Tak la. Cikgu biasa saja , “ jawabku ringkas sambil tersenyum .
“Itulah orang kat lobi pun tanya kami , ada artis atau Tan Sri ke di wad . Ramai sangat pelawat beratus-ratus orang setiap hari , “ sambung jururawat sambil ketawa kecil dengan rakan jururawatnya .
“Kalau Encik nak keluar bersiar-siar di bawah , beritahu kami akan bawa Encik turun, “ kata jururawat lagi sebelum meninggalkan bilik . Aku menyuruh anak-anakku memberikan makanan dan buah-buahan yang begitu banyak kepada kaunter jururawat di luar bilik dan makcik ‘cleaner’ yang membersihkan bilik.
“Terima kasih ya, Pak , “ kata makcik ‘cleaner’ apabila aku memberinya beberapa tin biskut dan minuman kotak. Bilik itu sudah seperti tempat perkhelahan tepi pantai dengan berpuluh-puluh tin dan plastik makanan dan buah-buahan.

Usai solat Isyak , ada beberpa orang rakan datang melawat aku dan berbual-bual sehingga jam 12.00 malam. Memang penat melayan pelawat-pelawat yang datang tetapi aku juga gembira dengan kedatangan mereka memberikan kekuatan semangat untuk pulih . Selepas makan ubat yang diberikan jururawat . Suhu bilik sejuk kerana pendingin hawa ditambah lagi hujan mencurah-curah di luar . Akhirnya , aku tertidur keletihan .

Bahuku digoncang perlahan . Aku membuka mata . Isteriku tidur nyenyak berselimut dan anakku tidur di kerusi . Bilik hanya diterangi cahaya samar-samar dari lampu jalan di luar tingkap. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan tetapi tiada sesiapa . Aku bingkas bangun dan melompat-lompat ke tandas untuk mencuci muka . Aku kembali ke katil dan bersolat tahajud kemudian membaca beberapa muka surat Al-Quran yang masih berbaki . Aku terus berjaga hingga ke subuh . Aku mengejutkan isteri dan anakku untuk bersolat subuh berjemaah dan diimami anakuku.

"Kenapa bangun awal tadi ?," tanya isteriku . Aku mendiamkan diri .
"Tak boleh nak tidur , " jawabku ringkas. Isteriku terdiam .
Selepas itu baru aku terasa amat mengantuk lalu tertidur .

 

Comments

Popular posts from this blog