EPISOD 106 : KAU PERGI JUA

 

Sejak aku sampai tadi sudah hampir Maghrib. Beberapa orang tetamu ada yang sedang duduk di beranda dan ada yang duduk di sisi katilmu. Kau terbaring di atas katil khas dari hospital setelah dibawa pulang petang tadi . Doktor mengatakan bahawa harapan untuk sembuh sangat tipis. Kata-kata doktor amat memilukan hatiku yang mendengarnya.

Kulihat suamimu mundar mandir di ruang tamu tidak berbicara sepatah kata pun. Suamimu yang kukenali sangat peramah. Aku memeluknya tubuhnya erat-erat tanda simpati yang amat mendalam dari hatiku yang dalam. Suamimu amat tabah dan sabar dengan dugaan yang menimpamu. Sudah berbulan-bulan kau terlantar di hospital dijaga dengan penuh kasih sayang seorang suami. Sebelum itu, doktor telah memberikan keyakinan bahawa penyakitmu sudah pulih sepenuhnya selepas kau menjalani pembedahan setahun yang lalu. Namun, Allah Maha Esa. Allah mahu mengampuni dosa-dosamu.

Azan Maghrib dari corong surau bersebelahan rumah kedengaran dan disahut azan dari beberapa buah surau dan masjid berhampiran. Aku tinggalkan seketika untuk bersolat dan aku menoleh melihatmu terbaring kaku. Hanya matamu sedikit terbuka dan air mata mengalir di hujung kelopak . Tanpa suara . Ya, Allah betapa hebatnya dugaanmu kepada hamba-Mu.

Usai solat Maghrib, aku kembali ke rumah melihat keadaanmu. Semua yang hadir membacakan surah Yasin semoga kau diberikan kesembuhan. Andainya ajalmu sudah hampir tiba , semoga Allah mengambil nyawamu dengan cara yang terbaik. Ya, Allah luluh hatiku melihat suamimu duduk di sisi katilmu sambil membacakan surah Yasin. Tangannya memegang tanganmu dengan lembut sambil membisikkan sesuatu. Kau hanya terbaring kaku tanpa daya tanpa kata-kata.

Tetamu yang datang melawat semakin ramai. Sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan silih berganti melawatmu dan mereka hanya mampu mendoakanmu. Aku berbual-bual dengan ayahmu yang kelihatan sugul dan sedih. Ibumu hanya terduduk di atas kerusi melayan perasaan pilu. Rasa ngilu menyentap jantungku apabila melihat keadaanmu yang semakin nazak. Rasa pedih seakan-akan menorah-noreh hulu hatiku. Anak-anakmu dua orang yang masih kecil belum mengerti apa-apa saat mereka melihatmu terbaring di situ.

Azan Isyak berkumadang. Aku dan beberapa tetamu lelaki ke surau untuk solat berjemaah dan menunaikan solat hajat untukmu.

“Andainya dunia ini baik untuknya, Kau panjangkanlah umurnya dan andainya dunia ini tidak baik untuknya, Kau ambillah nyawanya dengan baik di sisi-Mu” . Suara imam membacakan doa menyentuh perasaan Jemaah yang sama-sama menadah tangan berdoa. Gugur air mataku satu persatu. Betapa sayunya suara imam dan heningnya saat imam membacakan doa. Semoga keampunan untukmu daripada Allah Yang Maha Berkuasa.

Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Aku memohon diri untuk pulang ke rumah dan berpesan kepada suamimu agar tabah dan sabar. Sekali lagi, aku memeluknya dengan erat dan suamimu mengucapkan terima kasih atas kehadiranku dan isteri. Dalam perjalanan pulang , hatiku berkata-kata bahawa kami reda dengan ketentuan-Nya.

Jam 12.06 minit malam , aku menerima Whatsapp bahawa kau telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Innalilahiwainailahirojiun”.

Semoga tenanglah kau di sana di sisi orang-orang beriman dan beramal soleh . Amin Ya Rabbal Alamin.

 

#Salam Takziah kepada keluarga dan suami Allahyarhamah Fauziah Bt Ahmad

@Zie yang telah kembali ke rahmatullah pada 23 OKTOBER 2021, Sabtu . Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali . Amin Ya Rabbal Alamin.

Comments

Popular posts from this blog