Episod 105 : SESAK

Pagi ini sudah ada janji temu di Pejabat Agama Daerah Sepang (PAD).Sewal jam 7.30 pagi aku dan isteri sudah bergerak ke sana . Aku memandu melalui Lebuh Raya KESAS . Walaupun kenderaan banyak namun pergerakan kenderaan sangat lancar .
Selepas Plaza Tol Serenia , Waze mengarahkan aku membelok ke kanan selepas persimpangan lampu isyarat Salak Tinggi. Separuh perjalanan jalan sesak macam siput. Tiada sebarang papan tanda pemberitahuan . Aku pula tidak pernah sampai ke sana .
Pergerakan kenderaan masih semput. Mataku meninjau-ninjau kalau ada restoran atau warung makan untuk sarapan tetapi hampa. Aku terus memandu berpandukan Waze. Jalan raya masih sesak dan aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku di hadapan . Adakah kemalangan jalan raya ? Adakah lorong ditutup? Adakah pembinaan di hadapan ? Pertanyaan demi pertanyaan timbul di benakku.
Suara lemak juruhebah Stesen Radio Klasik Adi Suwardi melayan halwa telinga kami menghilangkan sedikit kebosanan sepanjang perjalanan ke destinasi.
"In 600 meters, turn left ". Arahan Waze memberikan isyarat destinasi yang hendak dituju semakin hampir. Hampir sejam perjalanan semput yang terpaksa kutempuhi.
Setiba di Pejabat Agama Daerah Sepang, suasana sangat sunyi dan mendamaikan hati kerana hutan kecil di sekeliling kawasan pejabat. Setelah memparkir kereta di tempat parkir, aku ke bangunan pengurusan. Di situ beberapa orang kakitangan pejabat yang muda-muda sedang berdiri untuk melayan pelanggan yang datang.
Aku diiringi ke pejabat pendidikan Islam untuk urusan pendaftaran pusat tahfiz. Di pejabat, ada tiga orang kerani bertugas yang sangat membantu aku memandangkan aku tiada pengalaman dalam urusan penubuhan maahad tahfiz . Pengalaman ini amat berharga kerana boleh menjadi suatu ilmu pada masa akan datang andainya aku sendiri ingin membuka maahad tahfiz sendiri. Insyallah.
Aku diberikan dua helai borang untuk dilengkapkan. Selepas beberapa pertanyaan berkaitan, aku kembali ke kereta. Isteriku hanya menunggu di dalam kereta. Aku dimaklumkan oleh ketua kerani pejabat bahawa kesesakan jalan raya disebabkan beberapa kawasan telah ditutup sejak malam semalam. Banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan menggelamkan beberapa batang jalan raya dan kenderaan dilencongkan ke arah jslan yang selamat. Kami bergerak meninggalkan PAD Sepang menuju ke jalan besar untuk pulang ke Klang. Jarum jam menunjukkan 9.30 pagi.
Kesesakan jalan raya masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Aku terus memandu mengikut arus pergerakan lalu lintas . Hatiku merungut juga kerana tiada seorang pun anggota polis trafik yang bertugas bagi membantu melancarkan kesesakan ketika itu. Aku perlu segera sampai di rumah kerana pukul 11.00 pagi kelas tuisyen ONLINE akan bermula.
Aku mengikut papan tanda Banting Klang. Aku memecut kereta tetapi aku sendiri tidak pernah melalui jalan tersebut. Hatiku berdebar-debar juga kalau aku tersesat jalan . Aku melepasi Olak Lempit, Kampung Labohan Dagang dan Bukit Changgang . Kiri kanan hanya ladang kelapa sawit. Sampai ke tidak Klang ?
Tiba-tiba, 'ohh hooii hoyyy kalau dah mata bertentang mata , hati di dalam bagai nak gilaaaaa...hooiii". Jerit Dato M Daud Kilau di corong radio mengejutkan aku . Aku terus memecut kereta dan akhirnya ternampak bangunan Sekolah Menengah Agama Sungai Manggis . Hatiku berasa lega .
Aku pernah datang ke sekolah ini seawal tahun 90-an dulu untuk menjual mesin fotokopi. Tapi, dulu kawasan ini terpencil dan kini sudah semakin sibuk dengan pembangunan pesat di kiri kanan . Kami sampai di rumah jam 11.30 pagi dan kelas ONLINE dilewatkan jam 12.00 tengah hari. Sekarang urusan penyediaan kertas kerja yang akan aku hadap setiap hari .Semoga segalanya dipermudahkan. Amin ya rabbal alamin.

Comments

Popular posts from this blog