Episod 103: PORT DICKSON
Hajat di hati hendak makan nasi kuah asam pedas Melaka tetapi tidak kesampaian . Jalan sesak kenderaan bergerak macam siput. Jadi, aku membuat keputusan terus memandu ke Port Dickson. Hujan membasahi bumi Melaka bertuah. Sang Laksamana Hang Tuah lima bersahabat yang setia kepada Sultan dikhianati pembesar hingga nyawanya jadi taruhan .
Sepanjang perjalanan ke Port Dickson , hujan tidak henti-henti. Selepas Kem Tentera Sungai Udang , kami singgah di warung #Man Itik Salai. Ramai juga pelanggan yang singgah dengan beraneka jenis gulai dan harga pula berpatutan. Memang berapi masakannya dan menitik peluh jantan .
Usai makan tengah hari , kami meneruskan perjalanan dan waze menunjukkan jalan yang sesak . Di beberapa tempat kenderaan bergerak perlahan. Hati berasa lega apabila ternampak papan tanda besar 'Selamat Datang ke Negeri Sembilan'. Hujan sudah mula berhenti.
Sampai di simpang Tanjung Biru , waze mengarahkan ke kiri. Kereta penuh di kiri dan di kanan jalan. Hanya sebuah kereta sahaja yang boleh melaluinya . Muncul sebuah HONDA di pertengahan jalan dan 'memaksa' aku berundur lebih kurang 100 meter. Ah, sudah. Pun tidak lepas untuk 'u-turn' kerana sebuah kereta di parkir di tengah-tengah simpang . Sistem parkir hancur dan lebih malang hotel yang kami tempah 12km lagi jaraknya. Kata anakku waze sudah 'scam' kami. Aduhai.
Setelah berjaya keluar dari kawasan 'malapetaka' itu, aku terus memandu ke hotel yang dituju. Pergerakan kenderaan seperti semut.akhirnya, kami sampai ke hotel . Sekali lagi 'kesesakan' di kaunter pendaftaran . Bilik 234 bertentang kolam renang sebesar 2 kaki saiz kolam rumahku. Aku juga tidak berselera untuk mandi-manda.
Selesai solat ,kami bergerak ke pantai yang terletak di seberang jalan dari hotel . Kebenaran rentas negeri dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Malaysia.
Comments
Post a Comment