Episod 102: PANTAI KLEBANG

Pagi yang mendung. Seawal jam 8.00 pagi , kami turun dari bilik hotel ke parkir kereta di hadapan hotel. Angin sejuk berhembus dan guruh berdentam-dentum silih berganti. Misi kami pagi ini mencari sarapan .
Kami singgah di sebuah warung di tepi jalan tidak jauh dari simpang Muzium Kapal Selam, Pantai Klebang . Beberapa orang pelanggan sedang duduk bersarapan sambil berbual-bual. Sepinggan nasi lemak telur goreng, sepinggan mi hoon goreng telur goreng dan nasi himpit kuah gulai daging. Makcik warung menghampiri meja kami sambil memegang kalkulator saiz tapak tangan.Tup tap tup tap . Kami saling berpandangan dan tersenyum . Sah, kena ketuk.(harga macam makan tengah hari ).
Selepas bersarapan , kami bergerak ke Pantai Klebang jam 9.00 pagi. Aku melihat jarum jam berkali-kali kerana jam 10.00 pagi aku akan bersiaran kelas ONLINE (tiada istilah cuti kerja). Kami bersiar-siar di tepi pantai sambil menikmati keindahan ciptaan Allah. Lautan yang luas tidak bertebing dan pasir pantai yang putih bersih. Anak-anak ketam berlari-lari di tepi pantai dan menyorok di dalam lubang-lubang kecil. Beberapa orang pekerja Majlis Bandaraya Melaka sedang membersihkan sampah dan daun-daun kering.
Aku terkenang memori 32 tahun yang lalu. Aku dan isteri yang baru bernikah 2 hari , kami ke Port Dickson ( PD) untuk 'honeymoon' .Kami.menaiki bas lompat-lompat dari Klang ke PD . Terkenang sekeping foto di tepi pantai berdua .Indahnya saat itu. Hari ini , sekali lagi aku dan isteri berfoto di tepi Pantai Klebang .
"Jom balik hotel ," kataku kepada isteri dan anakku yang bongsu. Kami menuju ke kereta dan pulang ke hotel . Muridku sedang menunggu untuk memulakan kelas ONLINE ...
....bersambung..

Comments

Popular posts from this blog