Episod 101 : Melaka

Hari ini 16 OKTOBER 2021 , anakku akan meneruskan pengajiannya ijazahnya di UTEM, Melaka. Usai solat Subuh , kami berempat isteri dan anak bongsuku sudah bersiap-siap mengemas beg pakaian masing-masing. Rancangan awal kami untuk bergerak dari Bukit Tinggi , Klang pada jam 7.00 pagi tapi jam 8.00 pagi baru kami bergerak. Kami singgah makan di #Manggis Cafe , Kampung Jawa. Selesai sarapan sekitar jam 8.30 pagi kereta dipandu anakku mula meninggalkan bandar Klang menuju ke Melaka Bandaraya Bersejarah melalui Lebuhraya KESAS.
Sepanjang perjalanan , cuaca sangat panas di luar. Lebuhraya agak lenggang dan di sesetengah tempat sahaja pergerakan perlahan kerana terdapat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan. Kami tiba di Plaza Tol Air Keruh pada jam 11.00 pagi dan memasuki pintu utama UTEM dengan pematuhan SOP yang ketat.
Semua mahasiswa Tahun 2 mendaftarkan diri di Kompleks Sukan UTEM . Mahasiswa diminta melakukan ujian Covid sebelum dibenarkan ke Kolej Kediaman masing-masing dengan menaiki bas kampus. Kami singgah di rumah anak buah isteriku yang juga seorang pensyarah di UTEM . Sementara anakku menguruskan urusan bilik penginapan , kami bersantai di rumah anak buahku yang juga seorang Felo.
Sekitar jam 3.00 petang , kami bergerak ke hotel berdekatan Pantai Klebang. Petugas kaunter pendaftaran meminta kami menunggu 30 minit lagi . Jam di tangan menunjukkan 3.40 petang bermakna kami hanya akan mendapat bilik yang telah ditempah pada jam 4.10 petang. Aku meminta diberikan tambahan masa 'check -out ' pada jam 1.00 petang atas kelewatan kami diberikan bilik.
"Kalau macam ini servis lain kali saya tidak akan datang lagi atau rekomen kawan-kawan ," kataku acah-acah tidak berpuas hati.
"Pelanggan kami ramai pada hari ini untuk 'check-in' ," kata salah seorang petugas kaunter.
"U sepatutnya sudah bersedia , " balasku dengan wajah serius.
Belum sempat aku melabuhkan punggung , petugas kaunter memanggil namaku dan menyerahkan kad kunci bilik 203. Selepas mengucapkan terima kasih, kami naik ke tingkat 2. Kami mengambil kesempatan untuk mandi dan bersolat sambil berehat .
Kami kembali ke UTEM untuk menjamu selera jamuan yang disediakan anak buah . Gulai daging salai dan siput sedut serta buah-buahan anggur menjadi hidangan di atas meja. Selepas maghrib , kami bersalaman-salaman untuk beredar ke Bandar Hilir. Jalan raya agak sibuk dan sukar mendapat tempat parkir kereta. Akhirnya , kereta di parkir di seberang jalan Replika Sebuah Kapal Klasik . Dari situ kami berjalan kaki dan singgah di pasar malam .
Beca-beca dengan lampu berwarna-warni memeriahkan Dataran Pahlawan . Kami singgah makan minum di Mc Donald sambil melepaskan lelah berjalan jauh. Kenderaan bertali arus . Terdapat juga persembahan pemuzik jalanan bagi menyambut kehadiran pelancong selepas rentas negeri dibenarkan kerajaan .
Kami berjalan kaki ke tempat parkir untuk memandu kereta pulang ke hotel. Badan pun sudah letih . Usai mandi tibalah masa 'landing time' . Esok , kembara ke Port Dickson....
bersambung.....

Comments

Popular posts from this blog