Sambungan sebuah catatan pengalaman ..THE REAL BIZNES

 

5 Mei 2017 , aku ditimpa kemalangan jalan raya di Bulatan Berkeley , Klang . Kaki kiriku mengalami kecederaan sangat parah akibat dilanggar oleh sebuah lori seberat 1 tan dari arah kanan. Motosikal yang aku tunggang terperosok di bawah lori. Akhirnya , aku berjaya dikeluarkan dari bawah lori dengan bantuan abang-abang ‘rider’ yang beramai-ramai menolong aku. Aku dikejarkan ke Hospital Shah Alam ke Jabatan Kecemasan . Pihak hospital akan melakukan pembedahan untuk memotong kaki kiriku memandangkan kecederaan parah yang aku alami . Namun , takdir Allah menyelamatkan kakiku apabila aku dipindahkan ke hospital swasta di Shah Alam dan doktor yang melakukan pembedahan berjaya ‘repair’ kakiku dan sekarang aku boleh berjalan semula seperti biasa walaupun aku terpaksa mengehadkan aktiviti berat . Andainya , kakiku dipotong bagaimanakah keadaan aku sekarang ?.

 

Bermula detik itu , aku tidak dapat menjalankan tugasku mengajar tuisyen . Hampir 8 bulan aku duduk di rumah tanpa kerja dan tanpa pendapatan . KOSONG . Sewa bangunan tuisyen tetap kena bayar RM2000 sebulan . Aku dikira bernasib baik kerana tutor-tutor aku seramai 6 orang dibayar gaji mengikut ‘percentage ‘ . Pada tahun itu , belum ada kaedah tuisyen secara dalam talian “online’ . Masa yang ada aku lebih banyak menulis latihan , mengemas buku-buku , nota-nota dan membaca buku di rumah . Pusat tuisyen ditutup sementara waktu dan pelajar-pelajar mulai berhenti seorang demi seorang manakala personal tuisyen dari rumah ke rumah terpaksa diberhentikan. Keadaan kaki aku yang dipasang besi dan lebih-lebih lagi aku terpaksa bergantung kepada tongkat ketiak membataskan pergerakan aku .

Surat guaman satu demi satu singgah di peti pos rumahku. Tunggakan bayaran rumah dan kereta semakin bertimbun . Sepucuk surat bersampul saiz A4 dari sebuah bank menyatakan bahawa rumahku akan dilelong dan aku akan diisytiharkan bankrup. Semua wang simpanan aku sudah kering dan anak-anakku yang baru nak hidup membantu sekadar yang mampu. Doktor memberitahu aku bahawa rawatan akan berterusan selama satu tahun setengah lagi. Kos rawatan aku ditanggung oleh syarikat insurans. Hanya kepada Allah aku mengadu dan berserah !.

 

Aku berhubung dengan pihak bank dan memberitahu keadaan aku yang sedang dalam cuti rawatan akibat kemalangan dan aku mengirimkan gambar-gambar berkaitan kemalangan dan surat doktor. Pihak bank tetap dengan pendirian untuk melelong rumahku . Akhirnya , anak-anakku memberikan satu pilihan kepada aku , iaitu menjual rumah yang aku duduki sekarang . Berat hati untuk menjual rumah ini kerana aku membelinya dengan titik peluhku. Beberapa agen ‘property’ menghubungi aku dan harga rumah aku mengikut nilaian semasa sebanyak RM1.2 juta.

 

Beberapa orang bakal pembeli silih berganti tetapi harga yang diminta tidak munasabah antara RM600K hingga RM700K  . Betul , kalau aku menjual rumah ini aku mempunyai tunai di tangan  lebih RM500K dan cukup untuk membeli sebuah rumah lain dengan bayaran tunai dan menutup segala komitmen yang ada tetapi aku sayang akan rumah ini . Aku masih terkenang kesukaran menjalani kehidupan bagai bola ditendang sana selama  aku menyewa rumah dulu dan berpindah randah hampir tujuh kali . Rumah-rumah lain telah aku jual lama dulu 17 tahun dulu apabila aku membeli rumah sekarang . Simpanan tunai yang ada selama lapan bulan tidak mencukupi memandangkan komitmen bulanan sahaja RM12K . Bayaran bulanan rumah mencecah RM3K  dan pihak bank terus-menerus memberikan  tekanan  setiap hari. Aku tidak putus-putus berdoa bermunajat kepada Allak swt agar mempermudahkan kesulitan yang aku hadapi.

 

Berbekalkan secebis kekuatan , aku gagahkan diri mengajar selepas 8 bulan menganggur. Aku dihantar oleh isteriku dan dengan serba kepayahan aku mendaki tangga pusat tuisyen dan rumah ke rumah mengajar seperti sebelum kemalangan menimpa aku. Kesukaran demi kesukaran aku hadapi . Pelajar-pelajar semakin kurang . Ada ibu bapa pelajar yang berasa simpati dan memberikan sedikit bantuan kewangan . Daripada tangga  gaji JUSA B turun kepada gaji kakitangan am. Kalau nak kata terduduk sudah 8 bulan aku terduduk . Aku memohon pihak guaman mempercepatkan proses perbicaraan di Mahkamah. Wang pampasan yang aku terima setelah mahkamah memutuskan aku layak mendapat ganti rugi semuanya digunakan untuk melangsaikan hutang bertimbun dan tidak berbaki . Namun , sedikit demi sedikit pertolongan Allah datang .# PELAJARAN KEEMPAT BELAS : Yakinlah bahawa ALLAH sentiasa dekat !

 

Sekian .

Comments

Popular posts from this blog