Episod : Rendang Ayam dan Ketupat

 

Sham hanya menundukkan kepalanya menahan air matanya daripada gugur. Sham tidak mahu Mia melihatnya menangis . Sham mahu Mia kuat menghadapi ujian berat ini . Sham tahu Mia seorang yang kuat .

 

“Tapi , Mia terbaring di sini . Abang tidak akan tinggalkan Mia , “ ujar Sham setelah mengumpul kekuatan untuk berkata-kata.

“Tak pa, abang . Mia dijaga jururawat di sini, “ kata Mia bersungguh-sungguh . Akhirnya , Sham beralah dengan permintaan Mia . Mia bersalaman dengan Sham Sham mengucup dahi Mia dengan penuh kasih sayang.

“Abang berjanji akan datang melawat Mia esok . Esok Hari Raya , “  balas Sham dengan suara sebak. Ada getar di hujung suara Sham menahan perasaan hiba.

 

Mia memandang Sham hingga hilang dari pandangannya. Sham menuju ke tempat parkir motosikal lalu menunggang motosikalnya meninggalkan perkarangan hospital. Hati Sham berasa sangat sebak mengenangkan keadaan Mia sekarang.  Sham berdoa di dalam hati agar Mia segera sembuh . Sham tidak sanggup melihat Mia terbaring di katil hospital.

Sham sudah berjanji dengan Mia hendak menyambut hari raya bersama-sama pada tahun ini. Doktor Sundram juga sudah memberitahu kemungkinan Mia akan pulang esok setelah memeriksa Mia dan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Mia.

 

Sesampai di rumah , Sham mula berkemas untuk menyambut hari raya dan lebih penting menyambut kepulangan Mia. “ Tentu Mia gembira melihat rumahnya dihias cantik ,” bisik hati kecil Sham . Tahun lepas , Mia berhari raya di hospital . Meskipun begitu , mereka menyambut hari raya bersama-sama doktor dan jururawat yang bertugas. Pelbagai juadah disediakan sama seperti menyambut hari raya di rumah . Sedikit sebanyak,, Sham dan Mia juga berasa seronok menyambut hari raya di hospital.

 

Sham ke pasar raya berdekatan untuk membeli bahan-bahan memasak. Mia paling suka makan rendang ayam dan ketupat. Sham akan meminta Sofea , jiran sebelah rumah mereka untuk  memasakkan rendang dan ketupat. Sofea , jiran Sham dan Mia sejak mereka berpindah ke situ setahun yang lalu.  Sofea seorang  yang baik hati dan prihatin .

Sepulang dari pasar raya , Sham ke rumah Sofea sambil menjinjing sebungkus ayam , ketupat segera dan bahan-bahan lain .

“Asalamualaikum ! Asalamualaikum ! Asalamualaikum !”.

Tiada sahutan dari dalam rumah Sofea. Kedengaran selak pintu dibuka.

“Walaikumsalam , abang Sham , “ balas Sofea dengan senyuman .

“Ada apa abang ?,” tanya Sofea spontan yang berwajah putih mulus dan cantik. 

“Abang nak minta tolong Sofea masakkan rendang ayam dan ketupat ini, “ pinta Sham malu-malu.

“ Boleh , abang . Bagaimana keadaan kakak Mia?,” tanya Sofea semula.

“Alhamdulillah. Insyallah esok Mia akan dibenarkan pulang , “ jawab Sham ringkas dan wajah Sham berseri-seri.  Sofea menerima barang-barang di tangan Sham .

“Syukur, Alhamdulillah.”

“Abang minta maaf kalau menyusahkan Sofea pula, “ kata Sham sambil tersenyum kepada Sofea. Sofea membalas senyuman Sham.

“Tak pa , abang . Lagipun , Sofea bercuti , “ kata Sofea yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di Sepang. Sofea yang masih bujang dan tinggal bersendirian. Sesekali , ibu bapa Sofea dari Kota Bharu datang menjenguk Sofea dan bermalam sehari dua . Sham dan Mia juga mengenali ibu bapa Sofea dan mereka juga sering bertanya  keadaan Mia.

 

“Abang pulang dulu Sofea , ada kerja nak diselesaikan, “ kata Sham sambil mengucapkan terima kasih kepada Sofea kerana sudi memasakkan rendang ayam dan ketupat .

“Baiklah , bang, “ jawab Sofea sambil tersenyum kepada Sham.

 

Sham menggantikan langsir baharu. Sebelum Mia masuk ke wad hospital , mereka sempat membeli langsir di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam. Langsir warna ‘cream’  menjadi pilihan Mia kerana Mia memang suka akan warna-warna lembut . Sham membersihkan ruang dapur dan membersihkan bilik air kerana esok Mia akan pulang ke rumah dan sudah pasti Mia akan gembira dan ceria melihat rumah sudah berkemas dan bersih. Sham tidak sabar-sabar lagi menanti kepulangan Mia untuk menyambut hari raya bersama-sama esok. Mia juga membelikan sehelai selendang berwarna merah untuk Sofea. Mia dan Sofea berkawan rapat sejak mereka berjiran.

 

Sham menelefon hospital kerana ingin mengetahui keadaan Mia. Jururawat yang bertugas memberitahu Sham bahawa Mia sedang tidur selepas mendapatkan rawatan . Hati Sham berasa lega mendengar kata-kata jururawat dan mengucapkan terima kasih kepada jururawat yang menjaga Mia. Usai mengemas , Sham berbaring di atas sofa untuk berehat . Semalam , Sham menemani Mia di hospital dan tidur di ruang lobi hospital . Badannya berasa sangat letih .

“ Mia isteri abang yang satu , “ kata Sham . Mia hanya tersenyum di depan cermin ‘make-up’ di bilik tidur mereka.

“Kenapa abang cakap macam tu?,” tanya Mia sambil tersenyum .

“Abang ni bukan orang yang berharta bukan orang ada-ada tapi Mia tetap menerima abang sebagai suami Mia, “ kata Sham sambil memeluk bahu Mia. Hari itu dirasakan sangat bahagia . Mia ketawa kecil.

“Abang berjanji akan menjadi suami yang terbaik . Abang akan membahagiakan Mia dan tidak akan mensia-siakan Mia, “ kata Sham sungguh-sungguh. Mia hanya senyum meleret.

“Betul ke ni ? , “ balas Mia dengan suara meleret dan hampir ketawa.

“Betul, Mia. Mia tak percaya abang ye? .”

“Eh, mestilah Mia percaya . Kalau tak percaya masakan abang dapat memiliki hati Mia .”

“Abang berasa bertuah dapat isteri cantik macam Mia , “ ujar Sham lagi.

“ Betul ke Mia cantik ? “.

“Betullah, cantik.”

“Puji ada makna tu, “ kata Mia sambil ketawa terkekeh-kekeh. Sham memeluk Mia dari belakang dan berderai ketawa mereka.

 

 

 

 

 

 

Episod : TAKBIR RAYA

 

“Kringgg ! Kringgg ! Kringgg! “ .

Sham terjaga daripada tidur dan bingkas bangun mencapai telefon bimbitnya.

“Encik , sila datang ke hospital segera !,” kedengaran suara jururawat.

“Mengapa dengan isteri saya ?,” tanya Sham dalam keadaan masih mamai. Sham terlelap setelah kepenatan tadi . Jarum jam di dinding menunjukkan pukul 7.00 petang . Tiada jawapan .

“Ya, ya . Saya datang sekarang , “ balas Sham tergesa-gesa. Sham segera menukarkan pakaiannya dan mencapai kunci motosikal . Motosikal meninggalkan perkarangan rumah menuju ke PPUM . Sham menunggang motosikal Yamaha Y15 selaju mungkin . Jalan raya agak lengang kerana ramai yang sudah meninggalkan bandar pulang ke kampung untuk menyambut hari raya . Hati Sham berdebar-debar . Masih terngiang-ngiang di telinga Sham kata-kata Doktor Sundram  , “ Isteri encik OK ! “.

 

Sham memparkir motosikal di ruang yang disediakan di tepi bangunan hospital. Sham pantas menekan butang lif bagaikan siput lif bergerak perlahan ke tingkat atas. Sham terus meluru ke wad yang menempatkan Mia .

“ Maaf , encik . Doktor sedang melakukan pemeriksaan terhadap isteri encik , “ kata jururawat apabila melihat Sham muncul di wad. Ketika itu , langsir di katil Mia ditutup rapat dan hanya kelihatan kaki beberapa orang doktor dan jururawat di bawah langsir separas betis.

 

Kebimbangan Sham memuncak . Sekejap duduk sekejap berdiri . Tidak lama kemudian , kain langsir ditolak dan kelihatan sekumpulan doktor dan jururawat mengelilingi Mia. Mia kelihatan terbaring tidak bergerak. Sham segera mendekati katil Mia dan Doktor Sundram memberitahu Sham bahawa Mia mengalami kompilasi semasa rawatan namun keadaan Mia stabil.

“Mia. Mia. Abang datang , Mia, “ bisik Sham di telinga Mia. Seorang jururawat sedang berdiri di sisi katil. Air mata Sham mengalir laju.

“Mia. Mia. Mia, “ bisik Sham sekali lagi. Mata Mia bergerak-gerak tetapi masih terpejam rapat. Sham bersyukur kerana Mia memberikan reaksi.

“Encik,  biarkan isteri berehat , “ beritahu jururawat . Sham memandang jururawat dan mengangguk . Sham menarik kerusi plastik di sisi katil dan melabuhkan punggungnya. Sham menghela nafas dalam-dalam . Hati Sham begitu bimbang sekiranya berlaku perkara yang buruk terhadap Mia.

Kedengaran takbir raya dari corong radio di atas meja salah seorang pesakit . Air mata Sham mengalir laju melihat keadaan Mia seorang isteri yang sangat baik .

Malam itu , Sham menunggu Mia sedar semula di sisi Mia. Jarum jam tangan menunjukkan pukul 11.00 malam .

 

“Kalau encik nak balik dulu dan berehat . Kami boleh menjaga isteri encik , “ kata seorang jururawat yang baru menggantikan ‘shif ‘ malam itu. Sham hanya mengangguk lemah . Sebelum meninggal Mia di perbaringan Sham mengucup dahi Mia , “Esok, abang datang Mia kerana esok hari raya , “ bisik Sham di telinga Mia. Mata Mia bergerak-gerak dan air mata Mia mengalir di hujung kelopak mata. Sham melangkah meninggalkan Mia sementara waktu dengan hati yang berat. Sham pasrah kepada takdir Allah Maha Esa.

 

Seawal pagi  , suara takbir berkumandang di corong surau berdekatan rumah Sham. Sham sedang bersiap-siap dengan sebuah pakaian Mia . Sham hendak melihat Mia memakai pakaian baharu pagi hari raya itu . Sham tidak sabar melihat Mia menyarung baju baharu . 

“Tok! Tok! Tok!” . Pintu diketuk beberapa kali .

Sham segera ke pintu lalu membuka pintu.

“Asalamualaikum , Abang Sham. Selamat Hari Raya , abang , “ ucap Sofea di muka pintu dengan pakaian merah sedondon. Wajah Sofea sangat cantik selepas bersolek . Sofea mengenakan selendang pemberian Mia .

‘Wailaikumsalam, Sofea, “ jawab Sham tergagap-gagap melihat Sofea di muka pintu .

“Ini Sofea masakkan rendang dan ketupat yang abang suruh semalam , “ kata Sofea sambil menghulurkan dua bekas ‘ tupperware’. Rendang dan ketupat masih panas.

“Bagaimana keadaan Kak Mia, abang,? ,” tanya Sofea spontan .

“Alhamdulillah , Sofea. Cuma Kak Mia belum sedar semasa abang balik semalam , “ jawab Sham.

“ Nanti Sofea singgah di hospital . Pagi ni Sofea ada jamuan hari raya di ofis, “ ujar Sofea.

“Wah, patutlah pakai cantik-cantik pagi ni, “ usik Sham . Sofea hanya ketawa kecil . Sham hanya tersenyum .

“Selamat Hari Raya , abang Sham. Maaf Zahir Batin kalau Sofea ada buat kesalahan selama kita berjiran , “ ucap Sofea.

“Abang pun begitu , Sofea. Doa-doakan Kak Mia cepat sembuh dan dapat pulang ke rumah , “ kata Sham dengan suara sebak . Suasana diam seketika .

“Insyallah , bang . Kirimkan salam Sofea kepada Kak Mia ye, “ ujar Sofea lalu meninggalkan Sham di pintu . Sebuah kereta sudah menunggu Sofea di hadapan rumah . Kereta itu bergerak perlahan dan hilang dari pandangan Sham.

 

Sham memasukkan dua bekas rendang ayam dan ketupat ke dalam bakul motosikal  . Beg pakaian digalas dan motosikal Sham menghala ke hospital . Sham tidak sabar-sabar hendak menemui Mia. Sebelum meninggalkan rumah tadi , Sham tidak menelefon pihak hospital kerana Sham tidak mahu mendengar jawapan yang membimbangkan hatinya. Jalan raya lenggang pada pagi hari raya hanya sesekali kereta dan motosikal berselisih dengan Sham . Sham berpakaian baju Melayu lengkap dengan sampin. Sampin itulah yang dipakai Sham semasa diakad nikah dua tahun yang lalu .

 

Suasana di perkarangan hospital juga lengang. Hanya beberapa orang jururawat dan doktor yang kelihatan . Ada yang memakai pakaian baju raya . Meskipun hari raya mereka bertugas namun suasana hari raya diraikan juga . Sham menegur seorang dua jururawat yang berselisih dengannya . Butang lif ditekan dan hati Sham berdebar –debar . Sham berdoa semoga Mia sudah sedar dan dapatlah Mia melihatnya berpakaian baju Melayu lengkap dan sudah tentu akan menggembirakan hati Mia .

 

Sesampai di wad, Mia tiada di katilnya . Sham memandang sekeliling . Hanya dua orang jururawat sedang melayani seorang pesakit di katil di sebelah hujung wad. Hati Sham berdegup kencang dan badan Sham berpeluh tiba-tiba.

“Di mana , Mia ?, “ pertanyaan itu hanya bergema di dalam hati Sham .

Sham segera ke arah dua orang jururawat yang sedang bertugas.

“ Puan , di mana isteri saya ?,” tanya Sham gugup. Wajah Sham cemas . Jururawat menoleh melihat Sham sudah tercegat di tepi mereka . Kedua-dua jururawat berpandangan sesama mereka.

 

 

EPISOD : SOFEA

 

Hari berganti hari dan minggu berganti minggu. Kini , selepas hampir enam bulan Mia menjalani rawatan di hospital keadaan kesihatan Mia semakin baik . Sham berasa amat bersyukur kerana Mia tidak lagi berulang-alik ke hospital . Doktor Sundram juga berpuashati dengan perkembangan kesihatan Mia. Menurut Doktor Sundram , Mia perlu sentiasa menjaga kesihatannya agar penyakit Leukemia yang dialaminya dapat dikawal . Sham sedar penyakit Leukemia yang dihidapi Mia sukar untuk pulih sepenuhnya tetapi mereka tidak pernah putus berdoa.

“ Mia, kasihan dengan Sofea , “ cetus Mia ketika menonton televisyen di ruang tamu .

Sham hanya mendiamkan diri dan membetulkan duduk di sofa. Mia memandang Sham .

“Abang dengar tak ?,” tanya Mia kepada Sham . Sham menoleh melihat Mia dan tersenyum.

“Kasihan? Kenapa , Mia?,” tanya Sham sambil matanya tertancap pada kaca televisyen.

“Abang faham tak  apa yang Mia cakap ?,” tanya Mia semula melihat sikap Sham seperti acuh tak acuh.

“ Abang dengar, Mia. Kenapa dengan Sofea ?,” jawab Sham dengan suara yang lembut lalu menoleh ke arah Mia.

“Mia kasihankan abang, “ desis Mia perlahan. Ada nada sebak di hujung kata-kata Mia.

“Eh, tadi kata kasihankan Sofea. Sekarang kasihankan abang pula , “ jawab Sham dan menekan butang OFF pada ‘remote’ televisyen.   Sham dan Mia saling berpandangan .

“ Mia kasihan kepada abang . Mia tidak dapat memberikan zuriat kepada abang kerana masalah kesihatan Mia, “ kata Mia berterus terang . Sham hanya mendiamkan diri.

“ Abang tidak salahkan , Mia. Rezeki di tangan Allah . Kalau Allah nak beri kita zuriat insyallah , Mia. Cuma , lambat atau cepat saja, “ jawab Sham dan Mia mendekati Sham. Mia meletakkan kepalanya di dada Sham . Sham mengerlus-ngelus rambut Mia yang ikal dan separas bahu.

“ Abang , niat Mia hanya hendak membahagiakan abang . Rumah ini terlalu sunyi tanpa suara anak-anak . Mia, izinkan kalau abang berhasrat untuk berkahwin lagi , “ kata Mia dengan suara tersekat-sekat . Sham memeluk bahu Mia. Sham mengucup dahi Mia.

“Apa yang Mia cakap ni. Cukuplah Mia seorang isteri abang , “ jawab Sham dan memandang mata Mia dalam-dalam . Mia memeluk Sham erat-erat .

“ Abang sayang Mia. Di dalam hati abang hanya ada Mia, “ kata Sham berterus-terang.

“ Mia hendak menjodohkan abang dengan Sofea , “ kata-kata Mia umpama halilintar di langit.

“ Apa Mia cakap ni, “ kata Sham sedikit keras. Mia memeluk Sham dan terdengar esakan kecil.

“ Mia bersungguh-sungguh , abang . Mia tidak sampai hati melihat abang begini . Mia mahu menggembirakan hati abang . Saban hari , abang mengisi masa dengan menonton televisyen . Kawan-kawan kita sedang leka bermain dengan anak-anak , “ ujar Mia sambil mengesat air matanya bercucuran . Sham menepuk-nepuk bahu Mia. Sham tidak mahu hati Mia terluka. Sham tidak mahu Mia mengorbankan perasaannya semata-mata untuk melihatnya bahagia. “ Bahagia apakah kalau pasangan kita menderita zahir batin , “ desis hati Sham .

“Mia tahu tentu abang tidak bersetuju dengan kata-kata Mia. Abang, hidup Mia barangkali tidak lama, “ sambung Mia dan terdiam sejenak . Air mata Sham tumpah . “Mia faham perasaan abang . Abang kesunyian. Abang tidak boleh membiarkan hati abang memendam perasaan , “ ujar Mia perlahan-lahan melepaskan dakapan Sham . Mia merenung dalam-dalam mata Sham . Sham cuba mengalihkan pandangannya.

“Mia akan berterus terang dengan Sofea. Mia harap Sofea juga memahaminya , “ ujar Mia lagi. Sham hanya berdiam diri dan tiada sepatah kata terbit dari mulut Sham.

 

Hujung minggu itu , Mia mengajak Sofea bertandang ke rumah . Sham tiada di rumah kerana menemui rakannya yang datang dari Johor Bharu.

“Kenapalah Kak Mia susah-susah masak itu ini , “ kata Sofea sebaik melabuhkan punggungnya . Mia hanya tersenyum .

“Tak adalah susah apa, Sofea. Lagipun , semasa kakak di hospital , Sofea banyak membantu kakak dan abang Sham. Sofea masakkan makanan untuk kakak dana bang Sham, “ ujar Mia lagi sambil menghidangkan mi hoon goreng dan secangkir teh. Mia menghidangkan kuih kaswi kegemaran Sham .

“Eh, mana abang Sham?, “ tiba-tiba Sofea bertanya kepada Mia kerana Sofea tidak melihat kelibat Sham .

“Abang Sham sudah keluar tadi berjumpa kawannya di pekan, : jawab Mia dan memandang wajah Sofea dengan rasa sebak.

“Kenapa kak tiba-tiba sedih ? Kakak sakit ?, “ tanya Sofea dengan suara sedikit cemas. Mia menggeleng-geleng kepala dan tersenyum melihat Sofea.

“Tak ada apa-apa , Sofea . Kakak sihat walafiat sejak keluar dari hospital cuma kadang-kadang perasaan kakak sedikit terganggu , “ ujar Mia sambil menuang the ke dalam dua buah cawan di atas meja. Dahi Sofea berkerut .

“Kak  Mia susah hati ?,” tanya Sofea memandang teh yang dituang ke dalam cawan .“Bukan kakak susah hati , Sofea . Kakak kasihankan abang Sham tu, “ ujar Mia dan memandang wajah Sofea. Sofea tertunduk memandang lantai apabila Mia menyebut nama Sham .

“Minumlah dulu Sofea, “ pelawa Mia. Sofea menghirup sekali dua teh.

“Sofea tak fahamlah kak. Sofea tengok abang Sham sayang sangat kakak. Sofea pun rasa cemburu. Alangkah bahagianya Kak Mia mempunyai suami seperti abang Sham . Abang Sham sangat mengambil berat Kak Mia selama kakak di terlantar di hospital , “ puji Sofea terhadap Sham . Mia tersenyum dan memandang wajah Sofea dalam-dalam .

“Kalaulah Sofea mempunyai pasangan hidup seperti abang Sham ?, “ tanya Mia seperti cuba berseloroh. Wajah Sofea sedikit berubah dan tersenyum .

“Sofea ni tak tahulah ada jodoh ke tak . Asyik sibuk dengan kerja , “ jawab Sofea melenyapkan persoalan tadi . Mia dan Sofea ketawa serentak .

“Kalau Kak Mia carikan pasangan untuk Sofea, ok tak ?,” kata Mia sambil memegang tangkai cawan di atas meja lalu meneguk teh . Suasana sepi seketika .

“Maksud , Kak Mia ? “ tanya Sofea sedikit kehairanan seakan-akan mengandung teka-teki pada kata-kata Mia.  Mia tidak menjawab pertanyaan Sofea.

“Takkan Sofea tak ada kawan lelaki ?,” tanya Mia lagi. Sofea diam seketika.

“Tak  ada , Kak Mia, “ jawab Sofea berterus-terang .

“Kenapa Kak Mia tanya macam tu ?,” tanya Sofea semula. Sofea berasakan ada sesuatu yang Mia ingin sampaikan . Sofea mendiamkan diri dan menunggu luahan kata-kata Mia.

“Nantilah , kakak terangkan kepada Sofea, “ jawab Mia sambil memegang tangan Sofea lembut . Mia menatap wajah Sofea . Mia tersenyum tetapi Sofea terpinga-pinga.

Pertemuan hari itu meninggalkan pertanyaan demi pertanyaan di benak fikiran Sofea. Sofea cuba meneka-neka maksud tersirat kata-kata Mia.

“Mungkinkah betul ? , “ desis hati kecil Sofea . Wajah Sham tiba-tiba muncul di ruang mata Sofea.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

EPISOD : PASRAH

 

Sejak pertemuan Sofea dan Mia tempoh hari , Sofea seakan cuba mengelakkan daripada bertembung dengan Mia atau Sham meskipun mereka tinggal berjiran . Sofea sendiri agak keberatan untuk memenuhi permintaan Mia walaupun Mia tidak berterus terang secara jujur. Sofea tidak mahu nanti dikatakan perampas suami orang dan cukuplah apa yang berlaku kepada ibu Sofea apabila ayah Sofea kahwin baru. Sofea sudah merasai keperitan hidup ibunya tanpa suami . Bagi Sofea , ibunya sudah pasti akan menolak mentah-mentah apa yang diharapkan oleh Mia kerana ibu sendiri telah melalui episod hidup yang menyedihkannya.

 

Apabila ayah telah meninggal dunia , barulah terbuka hati ibu Sofea menerima seorang lelaki bernama suami . Ketika ayah Sofea berkahwin lain , umur Sofea baru 10 tahun dan merupakan anak tunggal dalam keluarga. Kini , Sofea mempunyai sepasang adik tiri apabila ibu Sofea berkahwin semula.

 

Pengalaman hidup yang lalu membuatkan Sofea agak sukar menerima kehadiran seorang bernama lelaki dalam hidupnya. Sofea sedar umurnya kini semakin meningkat dan ibunya juga sering mengingatkan Sofea tentang masa depannya . Ibu Sofea tidak mahu melihat Sofea membujang lebih-lebih lagi Sofea mempunyai kerjaya yang baik .

 

Sejak akhir-akhir ini , Sofea lebih banyak termenung apabila memikirkan kata-kata Mia . Sofea menghela nafas dalam-dalam. Hidup bersendirian tanpa teman memang terasa sunyi . Sofea mencapai album lama di atas meja dan membeleknya satu persat. Mata Sofea tertancap kepada sekeping fotonya bersama Rusdi . Pemuda yang pernah hadir dalam hidupnya namun segalanya sudah tinggal memori pedih . Sofea terkenang sewaktu Rusdi menjadi kekasihnya.

 

“ Sampai bila Sofi kita hendak begini ? I ajak U kahwin U kata tunggu dulu , “ ujar Rusdi yang memanggil Sofea dengan nama manjanya , Sofi. Sofea memandang Rusdi dan mengalih pandangannya ke tengah tasik .

“ I pun tahu U cintakan I tapi I masih lagi mengejar cita-cita I yang belum tercapai , “ balas Sofea dengan suara memujuk . Rusdi melemparkan pandangannya jauh ke Tasik Shah Alam . Suasana nyaman di tepi tasik menggamit kehadiran penduduk sekitar Shah Alam dan bandar Klang.Beberapa pasangan yang sedang bercinta menikmati pemandangan indah Tasik Shah Alam yang juga mercu tanda ibu negeri Selangor.

 

“Tapi , I mahu U buat keputusan segera , Sofi . I tak sanggup menanti bagai pungguk rindu akan bulan ,” ujar Rusdi dengan wajah berkerut .

“Lagipun , ‘mother’ I selalu mendesak I agar mempercepatkan pertunangan kita. Sudah dua tahun kita bercinta , Sofi , “ sambung Rusdi lagi . Sofea duduk di bangku tepi tasik sambil memeluk tubuhnya. Beberapa orang pengunjung sedang menaiki bot kecil mengelilingi tasik dan sekumpulan anak muda sedang berjoging.

“I harap U dapat bersabar , D. Bukan I tidak memahami hasrat ‘mother’ U tapi berilah I sedikit masa lagi , D , “ ulang Sofea dengan wajah muram.

“I tak faham dengan sikap U , Sofi . Selama-lamanya I takkan faham .Baiklah , Sofi . Kalau begitu kata-kata U . I akan tunggu masa yang U janjikan tapi I pasrah jika hubungan kita tidak kesampaian , “ kata  Rusdi seperti memberi kata dua kepada Sofea . Itulah pertemuan terakhir Sofea dan Rusdi.

 

Selang sebulan , Sofea mendapat tahu daripada seorang temannya Rusdi telah bertunang dengan seorang gadis pilihan keluarganya. Sejak itu juga , Rusdi tidak pernah menghubungi Sofea. Walaupun ada sekelumit kekecewaan yang bertitik di hati Sofea namun Sofea tidak menoleh lagi. Biarlah segala yang berlaku itu hanya menjadi nostalgia. Hati Sofea seolah-olah sudah tertutup untuk menerima kehadiran seorang lelaki. Sofea menutup album dan meletakkannya semula di atas meja . Sofea termenung di sofa . Hati Sofea dibelenggu konflik.

 

Sofea keluar rumah untuk menyiram pokok-pokok bunga  yang kelihatan layu kerana cuaca panas terik sejak beberapa hari lalu. Kedengaran bunyi motosikal Sham memasuki pagar rumah . Sofea tidak menoleh dan muncung paip getah dihalakan ke pasu bunga di tepi longkang.

“ Eh, Sofea. Tak kerja ke hari ini , “ sapa Sham melihat Sofea di hadapan rumah .

“ Tak abang Sham. Sofea cuti hari ini , “ jawab Sofea tanpa memandang Sham .

“Sofea sihat ke ?,” tanya Sham lagi .

“Sofea sihat , “ jawab Sofea ringkas.

“Baiklah , abang Sham masuk dulu ya, “ kata Sham . Sofea menoleh dan Sham sudah menutup pintu . “ Mungkin abang Sham tidak tahu hal Kak Mia dan aku, “ desis hati kecil Sofea. Sangkaan Sofea bahawa Sham tidak tahu – menahu bahawa Mia inginkan Sofea menjadi isteri kedua Sham . Sham tidak menunjukkan reaksi yang pelik seketika tadi . Sham seperti biasa peramah dan saling bertegur sapa dengan Sofea. Sofea tidak mahu umpama perigi mencari timba.

 

Sofea menutup paip di tepi pagar lalu masuk ke dalam rumah . Sofea melabuhkan punggungnya di sofa . Sofea mencapai telefon bimbitnya dan menekan butang telefon.

“Asalamualaikum , Ita !”

“Walaikumsalam , Sofea !”

“ Eh, Ita. Kau free tak malam ni? Aku nak ajak kau tengok wayang . Aku boring sangat di rumah, “ tanya  Sofea kepada rakan karibnya di ofis .

“ Ok. Nanti aku datang jemput kau pukul 8.00, “ jawab Nita dengan suara ceria.

“Ok , Ita. Aku tunggu kau , “ jawab Sofea lalu meletakkan telefon bimbitnya . Sofea segera ke bilik.

“Baju apa yang sesuai ?,” tanya Sofea sendiri.

Sofea menyelak baju-baju yang tergantung di dalam almari . Sehelai baju ‘blause’ berwarna biru cair dicapai dan Sofea tersenyum . Baju itu adalah pemberian istimewa daripada Rusdi.

“Sudah lama tiada khabar berita tentang Rusdi , “ detik hati kecil Sofea .

Sofea ke ruang tamu untuk menggosok ‘blause’ dan seluar panjang serta tudung . Sofea sudah sedia menanti kedatangan Nita dan sesekali Sofea berdiri di hadapan cermin menggayakan pakaiannya . Sofea tersenyum sendiri.

“Pin! Pin! Pin!” Bunyi hon kereta di luar rumah . Sofea menuju ke pintu dan melihat Nita sedang melambai-lambai dari dalam kereta. Sofea memakai sepatunya dan menuju ke kereta.

“Maaf, Sofea aku terlambat , “ kata Nita.

“Tak lah . Tayangan pukul 9.00 malam sempat lagi , “ jawab Sofea. Kereta meninggalkan perkarangan rumah dan Sofea terperasan Mia mengintai di sebalik langsir.

 

Setiba di AEON Bandar Bukit Tinggi , Sofea segera ke kaunter tiket dan membeli dua keping tiket . Nita membeli sebekas ‘popcorn’ dan minuman.

“ Asalamualaikum , Sofi , “ sapa suara lelaki dari belakang .

Sofea segera menoleh dan wajah Sofea berubah .

“Walaikumsalam,” jawab Sofea perlahan .

Rusdi berdiri di hadapan Sofea dan di sisinya seorang wanita cantik dan berkulit cerah.

“U apa khabar , Sofi ?,” tanya Rusdi . Sofea melihat Nita sudah bergerak ke pintu masuk panggung . Wanita di sebelah Rusdi hanya tersenyum melihat Sofea. Sofea serba salah .

“Khabar baik , Sofi .”

“Cantik baju U,” ujar Rusdi lagi .

 “Maaf D. I masuk dulu kawan I sudah menunggu , “ jawab Sofea ringkas dan segera meninggalkan Rusdi manakala wanita di sisinya merangkul lengan Rusdi.

“Itukah tunang D ?,” pertanyaan itu hanya tinggal pertanyaan di dalam hati Sofea.

 

 

 

 

 

 

 

Episod : PERSOALAN BELUM TERJAWAB 

 

Telefon bimbit Sofea berdering di atas meja. Sofea yang sedang asyik menonton televisyen segera mencapai telefon dan kedengaran suara seorang lelaki memberikan salam.

“Asalamualaikum !.” Suara itu biasa didengar Sofea. Terdetik di hati Sofea , “Rusdi”.

“Walaikumsalam ! , “ jawab Sofea seakan terpaksa.

“ D, di sini , “ Rusdi memperkenalkan diri. Sofea mendiamkan diri. Hanya dengusan kecil kedengaran.

“Sofi , masih marahkan D ?,” tanya Rusdi seperti disengajakan . Sofea diam.

“Maaf , D . I sudah melupakan semua itu . I sudah tidak mahu fikir tentang kita . Lagipun , D sudah mempunyai tunang , “ balas Sofea . Rusdi pula mendiamkan diri. Suasana sunyi seketika.

“ Sebenarnya , ‘mother’ D  yang mahukan D bertunang dengan Wati , “ jawab Rusdi . Barulah Sofea tahu bahawa tunangan Rusdi bernama Wati. Wanita yang memeluk lengan Rusdi di hadapan panggung TGV itulah Wati.

“ Baguslah kalau D sudah bertunang. I nak ucapkan tahniah walaupun mungkin agak terlambat , “ ujar Sofea  seperti menyindir Rusdi.

‘Bukan Sofi . Perasaan sayang D masih kepada Sofi , “ balas Rusdi. Sofea hanya mencebikkan bibir. Sofea sedar bahawa Rusdi hanya ingin mempermainkan perasaannya. Rusdi lelaki yang tidak setia. Itulah telahan hati Sofea.

“Kalaulah benar D sayangkan I , mengapa D sanggup menerima pilihan ‘mother ‘ D ? , balas Sofea memulangkan paku buah keras. Rusdi terdiam .

“Maaf D. I ada kerja sekarang ,” kata Sofea lalu meletakkan telefon bimbitnya.

 

Sofea enggan menaruh harapan apa-apa terhadap Rusdi . Sofea telah menutup pintu hatinya kepada Rusdi . Sofea teringat kata-kata Mia tempoh hari . Sofea berasa tidak sedap hati kerana Sofea sedar Mia amat sayang akan Sham . “Mengapa Kak Mia sanggup berkata begitu ?,” tanya Sofea di dalam hati. Sofea tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan .

 

Hari-hari berlalu seperti biasa sehinggalah suatu petang apabila Sofea sampai di rumah setelah pulang dari ofis. Sebuah ambulans berada di hadapan rumah Mia. Jantung Sofea berdegup kencang . “Apa yang sudah berlaku? Kak Mia ? ,” tanya Sofea di dalam hati . Sofea segera turun dari kereta Nita dan meluru ke rumah Mia.

“Kenapa , abang Sham ?,” tanya Sofea kepada Sham yang berdiri di ruang tamu. Sham tidak menjawab pertanyaan Sofea. Mia sedang terbaring di atas ‘stretcher ambulance ‘ dan tidak sedarkan diri. Dua orang anggota paramedik sedang membuat pemeriksaan .

“Kami akan bawa isteri encik ke hospital . Keadaannya tidak stabil, “ beritahu salah seorang anggota paramedik.

Sham mengangguk lemah . Wajahnya cemas melihat Mia terbaring kaku .

“Kak Mia, pengsan tadi, “ jawab Sham setelah melihat anggota paramedik menolak ‘stretcher’  ke ambulans. Sofea memandang Sham tanpa berkata apa-apa. Sham duduk di sisi Mia di dalam ambulans . Ambulans memecut meninggalkan perkarangan rumah dan Sofea masuk ke dalam rumah dengan perasaan bimbang .

 

Setiba di hospital , Mia masih belum sedarkan diri. Beberapa orang jururawat mengiringi Mia ke bilik kecemasan dan Sham menunggu di luar pintu bilik kecemasan. Sham tidak dibenarkan masuk. Perasaan Sham menjadi tidak keruan. .

“Mia rasa kurang sihat , abang,” kata Mia dengan wajah keletihan dan sedikit pucat .

“Abang bawa Mia ke hospital ya, “ jawab Sham cemas.

“Abangggg, “ jerit Mia lalu jatuh pengsan di ruang tamu .

Sham teringat kembali peristiwa sebentar tadi . Mia tiba-tiba pengsan setelah mengadu kurang sihat. Sham mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan . Perasaan cemasnya masih belum reda.

 

Tidak lama kemudian , muncul Sofea di hadapan bilik kecemasan .

“Bagaimana keadaan , Kak Mia?, “ tanya Sofea cemas.

“Abang Sham belum dapat berita lagi . Sejak Kak Mia dimasukkan tadi , abang Sham menunggu di luar , “ jawab Sham memandang Sofea . Sofea duduk di kerusi yang disediakan di bahagian luar bilik kecemasan . Sham mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan .

“Abang Sham sabar ya,” ujar Sofea .  Sofea mengeluarkan telefon bimbitnya dan memberitahu Nita supaya pulang dahulu kerana dia akan pulang sendiri kerana Mia masih di dalam bilik kecemasan . Nita yang telah menghantar Sofea ke hospital dengan menyusul ambulans yang membawa Mia. Sham dan Sofea menanti dengan penuh debaran . Sham khuatir jika perkara buruk yang akan berlaku terhadap Mia manakala Sofea bimbang Mia yang dianggap seperti kakaknya sendiri sedang berhadapan dengan musibah yang berat . Masing-masing melayan perasaan sendiri . Sekejap-sekejap Sham membaca whatsapp telefon bimbitnya yang masuk bertalu-talu . Barangkali , whatsapp daripada ahli keluarga Sham dan Mia .

 

Pintu bilik kecemasan dibuka tiba-tiba dan muncul seorang doktor perempuan .

“Siapa waris Puan Mia ?,” tanya doktor sambil memandang Sham dan Mia. Hanya mereka berdua yang menunggu di hadapan bilik kecemasan.

Sham mendekati doktor wanita itu dengan perasaan yang berdebar-debar.

“Saya suami , Mia .”

“Keadaan isteri encik sudah stabil tapi dia masih belum sedarkan diri . Kami masih terus memantau keadaannya dari semasa ke semasa, “ beritahu doktor.

“Keadaan isteri encik berpunca daripada tekanan darah rendah dan jika encik lambat membawanya ke hospital kemungkinan nyawa isteri encik dalam bahaya , “  jelas doktor dengan panjang lebar . Sham mengangguk faham . Sofea hanya mendengar keterangan daripada doktor dan kemudian doktor berlalu meninggalkan mereka masuk ke bilik kecemasan semula.

“Alhamdulillah , syukurlah Kak Mia selamat , “ doa Sofea sambil menadah tangannya dan meruap ke wajahnya .

 

Keadaan Mia pulih sedia kala setelah 4 hari dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan intensif tetapi situasi sekarang belum mengizinkannya pulang ke rumah. Sham sentiasa setia menemani Mia di sisi katil . Mia sudah boleh bercakap dan tidak lagi memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan . Sofea juga telah datang menziarahi Mia di hospital sambil ditemani oleh rakan karibnya, Nita.

“Mia tak sabar-sabar lagi nak balik ke rumah kita , “ desis Mia kepada Sham yang duduk di sisi katilnya .

“Mia masih lagi menerima rawatan . Doktor juga memberitahu abang keadaan Mia masih lemah dan perlukan pemerhatian rapi , “ balas Sham sambil menggenggam tangan Mia lalu mengucupnya.

“Kasihan abang , “ ujar Mia perlahan . Sham hanya tersenyum mendengar kata-kata Mia .

“Abang boleh menjaga diri sendiri, Mia. Tak usahlah Mia fikirkan sangat hal itu , “ ujar Sham sambil tersenyum .

“ Tadi , Sofea ada datang melawat Mia tapi Mia tidur . Dia pun tak nak ganggu Mia berehat . Sofea kirim salam kepada Mia, “ kata Sham tersenyum . Mia membalas senyuman Sham dan mengalihkan pandangan ke katil sebelah . Kosong .

“Abang sudah fikirkan apa yang Mia beritahu abang ?,” tanya Mia sambil menarik tangan Sham ke sisi.  Sham mendiamkan diri dan tidak menjawab pertanyaan Mia itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Episod : KEMBALI

 

Sangkaan Sham bahawa Mia akan dibenarkan keluar hospital tidak kesampaian. Doktor yang merawat Mia mendapati penyakit Leukemia Mia semakin serius . Kanser darah daripada sum-sum tulang yang dialami Mia semakin merebak . Kemungkinan nyawa Mia dalam bahaya. Sham telah mendapat penerangan lengkap daripada doktor dan meminta Sham bersedia menghadapi sebarang kemungkinan . Sham menyembunyikan hal yang disampaikan oleh doktor daripada pengetahuan Mia . Sham tidak mahu Mia beremosi jika hal itu diketahui Mia.

“Bila Mia boleh keluar hospital , abang ?, “ tanya Mia melihat Sham keluar dari bilik doktor .  Sham tersenyum kepada Mia .

“Tiada apa-apa Mia . Doktor cuma meminta abang menjaga Mia, “ ujar Sham menyembunyi hal sebenar. Mia hanya terdiam dan memandang Sham.

“Selama ini abang sudah menjaga Mia dengan baik . Tidak pernah abang mengabaikan Mia walaupun Mia sakit , “ kata Mia dengan suara perlahan dan air mata Mia merembes di hujung kelopak matanya.

“ Sudah menjadi tanggungjawab abang menjaga Mia kerana Mia isteri abang , “ balas Sham menatap wajah Mia yang sedang terbaring lemah di katil. Wajah Mia pucat . Sham hanya membalas senyuman melihat Mia.

“Kenapa abang senyum ?,” tanya Mia lagi.

“Tak ada apa Mia . Abang sayang Mia , “ jawab Sham .

“Mia tahu abang sayang Mia tetapi Mia bimbang kalau Mia sudah tidak ada siapa pula nak jaga abang ?,” tanya Mia. Sham tiada jawapan . Sham membisu. Suasana di wad juga sepi . Hanya Mia dan empat orang pesakit lain yang sedang dirawat di wad itu.

“ Mia kena kuat . Kekuatan Mia kekuatan abang juga , “ ujar Sham .

“Ada sesuatu yang abng tidak mahu beritahu Mia ,” kata Mia sambil memandang wajah Sham . Mia seakan merasakan sesuatu sedang disembunyikan Sham . Fisarat seorang isteri terhadap suami selalunya betul.

 

Selang dua hari kemudian , Mia dimasukkan  ke  ICU. Sham berasa cemas . Sebelum jururawat dan doktor mengiringi Mia ke ICU dalam keadaan sedar Mia memohon maaf kepada Sham dan begitu juga Sham . Mia seolah-olah tahu bahawa ajalnya semakin hampir.

“Insyallah Mia akan selamat ,” kata Sham sambil menggenggam tangan Mia.  Air mata Sham gugur saat mengucup dahi Mia. Barangkali itulah kucupan terakhirnya. Mia tersenyum melihat kelakuan Sham dan tidak berkata apa-apa.

“ Mia reda abang . Mia minta maaf abang , “ ucap Mia sebelum katil Mia ditolak ke ICU. Pintu bilik ICU dibuka dan Sham melihat Mia mengangkat sedikit kepalanya dan hilang dari pandangan apabila pintu ditutup kembali . Ait mata Sham mengalir laju dan Sham berdoa agar Mia selamat . Hati Sham berdebar-debar .

 

Sudah hampir dua jam menanti penuh debaran di luar bilik ICU . Hati Sham dicengkam rasa pilu  dan kepedihannya hingga hulu hati. Muncul Sofea untuk melawat Mia tetapi hasrat Sofea tidak kesampaian.

“ Allahuakbar , “ ucap Sofea apabila diberitahu Sham bahawa Mia kini di bilik ICU. Sofea terduduk di kerusi di tepi bilik ICU. Kali kedua Sofea datang hendak menemui Mia tidak tercapai . Sofea ingin memberitahu Mia bahawa dia tidak sampai hati untuk mengecewakan permintaan Mia. Sofea mahu meringankan keresahan hati Mia terhadap Sham jika Mia sudah meninggalkan mereka buat selama-lamanya .

 

Pintu bilik ICU dibuka dan seorang doktor meminta Sham masuk ke dalam bilik ICU . Wajah doktor serius. Sofea membiarkan Sham masuk dan Sofea akan menanti berita yang akan disampaikan Sham tentang keadaan Mia. Tidak lama kemudian , Sham keluar dengan wajah sedih yang amat sangat .

“Kak Mia sudah tidak ada, “ ucap Sham perlahan disambut dengan esakan tangis Sofea.

“Innalillahiwainailaihirojiun ! , “ bagaikan bisikan halus daripada bibir  Sofea. Sehingga akhirnya , Sofea tidak dapat menemui Mia. Sham terduduk di kerusi hanya air mata laju mampu menggambarkan perasaan Sham saat itu . Sofea  masih menangisi pemergian Mia dengan esakan kecil. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan Sofea melainkan menerima suratan takdir Allah sahaja sebagai penentu.

 

Sofea meninggalkan Sham sendirian di kerusi melayan tangis yang tidak bernokhtah . Tiada lagi kata-kata yang mahu diluahkan Sofea.

“Maafkan Sofea , Kak Mia . Maafkan Sofea abang Sham , “ bisik hati kecil Sofea dan memasuki ruang lif yang terbuka . Sham masih terpaku di kerusi dengan esak tangis yang semakin kendur.

 

-TAMAT-

Comments

Popular posts from this blog