Episod :
KANAK-KANAK BERGAUN PUTIH
Rancangan
untuk pergi berkelah sudah lama tertangguh disebabkan masing-masing mempunyai
komitmen kerja. Akhirnya , satu mesyuarat keluarga sebelah ipar - duai diadakan dan satu tarikh ditetapkan , iaitu
hari Ahad. Keluarga masing-masing telah
diberikan tugas dan makanan yang perlu dibawa . BBQ menu wajib .
Kami bertolak
dengan kenderaan masing – masing dan sudah berjanji akan berkumpul di Proton
City , Tanjung Malim. Dari situ kami bergerak ke Sungai Bil. Seingat aku , pertama
kali aku ke Sungai Bil pada tahun 1986 dulu selepas menduduki peperiksaan STPM
bersama-sama dengan teman-teman sekolahku . Kami melewati pintu gerbang Perkelahan
Sungai Bil tetapi kami telah menyewa sebuah banglo persendirian tidak jauh dari
situ. Deretan kereta pengunjung di kiri kanan pintu gerbang.
Perjalanan ke
banglo tersebut melalui kawasan hutan kecil dan pokok-pokok getah serta semak
samun. Hanya sebuah kereta yang boleh melalui jalan kecil itu pada satu-satu
masa . Tiada rumah lain selain rumah banglo itu sahaja. Dari pintu gerbang itu
lebih kurang 20 minit kami tiba di banglo tersebut. Hanya kedengaran bunyi
deruan air sungai yang deras. Banglo tersebut adalah kepunyaan kawan abang
iparku dan sekali-sekala banglo itu dikunjungi oleh tuan rumah .
Jarak banglo dengan
sungai lebih kurang 50 meter dan berpagar kerana kawasan di situ merupakan
tanah persendirian . Bunyi kicauan burung menyambut kehadiran kami . Rombongan
kami lebih kurang 30 orang dewasa dan kanak-kanak . Suasana sangat meriah
dengan senda gurau dan gelak ketawa . Jadi, banglo itu digunakan untuk tujuan mandi,
solat dan menyalin pakaian .
Persekitaran banglo
itu dikelilingi hutan tebal dan deruan air sungai yang deras . Batu-batu
bongkah besar di kiri kanan sungai . Air sungai separas pinggang di sesetengah
kawasan yang dalam dan separas lutut di kawasan yang agak cetek .Anak-anak
buahlah yang paling seronok bermandi-manda . Makanan yang banyak dengan
pelbagai jenis dan BBQ sangat menyelerakan. Kami silih berganti turun naik
sungai yang begitu dekat dengan banglo untuk mengisi perut.
Lebih kurang
50 meter dari sungai itu , terdapat sebuah jambatan kayu usang dan di kiri kanannya hanyalah hutan dengan
pokok-pokok buluh menjulang ke langit. Gelak tawa ketika bermandi-manda di
sungai menjadikan kawasan yang mula-mulanya sunyi riuh-rendah . Aku juga tidak
ketinggalan bermandi-manda di kawasan yang cetek kerana kesan trauma hampir
lemas di tali air di Kampung Palekbang semasa kanak-kanak masih lagi bersisa.
Sesekali aku menoleh ke arah banglo dan keluarga ipar-duai ada yang sedang makan
dan berehat .
Masing-masing
dengan aktiviti masing-masing . Aku duduk di atas bongkah batu besar di tepi
sungai dan menikmati pemandangan hutan di sekeliling kawasan itu. Seorang
kanak-kanak perempuan bergaun putih separas lutut sedang berdiri di atas
jambatan sambil memerhati kami bermandi-manda . Aku hanya melihat kanak-kanak
itu dan aku amat yakin kanak-kanak itu bukan anak buahku yang ikut serta dalam
aktiviti perkhelahan itu. Mungkin , budak kampung yang tinggal berdekatan situ
yang bermain-main di atas jambatan , detik hati kecilku.
Hari sudah
hampir tengah hari dan langit mulai mendung . Semua yang sedang mandi di sungai
dipanggil naik ke atas untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Aku menoleh ke
arah jambatan tadi dan kanak-kanak perempuan tadi sudah tiada di situ . Kami
menikmati kambing bakar dan makanan yang dimasak dari rumah yang beraneka jenis
. Aku hanya mencari mi hoon goreng yang menjadi makanan kegemaranku sejak kecil
.
Usai solat
Zohor berjemaah , kami menyambung aktiviti bermandi-manda di sungai . Suara
keseronokan memecah keheningan hutan malar hijau . Awan masih mendung dan tanda
– tanda hujan akan turun . Berkali-kali dipanggil naik ke atas kerana
dibimbangi kepala air yang boleh membahayakan nyawa . Secara beransur-ansur ,
semua yang bermandi-manda di sungai naik ke atas . Hanya seorang dua lagi masih
leka bermandi-manda.
Semua barang
dikemas dan sampah sarap dikumpulkan di dalam plastik sampah. Sesekali , mataku
melirik ke arah jambatan usang yang tidak jauh dari banglo. Kelibat kanak-kanak
perempuan yang bergaun putih itu masih di atas jambatan dan memandang tajam ke
arah kami yang sedang bersiap-siap untuk bergerak pulang . Rambut kanak-kanak
perempuan itu keriting dan agak kusut. Masing-masing sudah masuk ke dalam
kereta dan aku sempat menoleh ke arah jambatan usang itu . Kanak-kanak
perempuan bergaun putih itu masih berdiri di atas jambatan tidak berganjak . Kelibat
kanak-kanak itu hilang dari pandangan apabila kereta semakin jauh meninggalkan
kawasan banglo itu.
Sekitar jam 4
petang , kami meninggalkan kawasan itu dan perlahan-lahan melalui kawasan hutan
kecil untuk sampai ke jalan besar . Pengunjung di kawasan perkelahan Sungai Bil
juga sudah beransur-ansur pulang . Otakku masih ligat memikirkan kanak-kanak
perempuan yang bergaun putih itu. Kami berhenti untuk solat Asar dan makan di
R&R .
Aku mengambil
kesempatan bertanya kepada abang iparku tentang banglo di tepi sungai itu. Kata
abang iparku , banglo itu sudah lama tidak didiami dan dibiarkan kosong kerana
tuan rumah banglo itu pernah ternampak seorang kanak-kanak perempuan di atas
jambatan itu . Kawasan itu tidak mempunyai rumah lain hanya banglo itulah
satu-satunya rumah yang wujud di situ dan jambatan itu ialah jambatan tinggal
dan tidak digunakan oleh sesiapa.Tiada jalan keluar dari atas jambatan itu
melainkan hutan tebal. Penjelasan abang iparku membuatkan bulu romaku meremang
seketika.
Rupa-rupanya
, bukan aku seorang sahaja yang melihat kanak-kanak perempuan itu di atas
jambatan kerana kakak iparku juga ada ternampak kanak-kanak perempuan itu
tetapi dia mendiamkan diri sahaja bagi mengelakkan ketakutan kepada orang lain
. Namun , aku yakin bahawa kanak-kanak perempuan bergaun putih di atas jambatan
itu ialah makhluk Allah jua dari alam lain . Wallahualam.
Comments
Post a Comment