Episod : DIGANGGU TAIKO

 

Semasa mula-mula membuka pusat tuisyen pada tahun 2006 di Taman Eng Ann majoriti penduduk di sana ialah masyarakat Cina . Keberadaan aku dipandang ‘ pelik ‘ kerana satu-satunya orang Melayu yang merayau-rayau di Taman Eng Ann. Namun , aku lebih dikenali sebagai Cikgu Ajemi memandangkan sebelum membuka pusat tuisyen aku sudah pun bergiat aktif mengajar dari rumah ke rumah di Taman Eng Ann dan taman sebelahnya Taman Berkeley.

 

Sejarah Taman Eng Ann ini ada kaitan dengan pengalaman aku mengajar rumah ke rumah .  Taman Eng Ann diambil sempena nama Tan Sri Eng Ann , Cina Terengganu . Tan Sri yang merupakan ‘faunder’ dan pemaju Taman Eng Ann yang mempunyai penduduk berkapasiti 20 ribu orang . Kebetulan , aku mengajar cucu-cucu Tan Sri Eng Ann . Alhamdulillah , dua orang cucunya ini telah menjadi doktor .  Bapa mereka seorang doktor juga di bandar Klang dan aku pernah mendapatkan rawatan sakit batu karang di kliniknya dan  semua FOC .

 

Pada suatu hari , sedang aku mengemas pusat tuisyen seorang diri aku terdengar bunyi loceng ditekan berkali-kali. Apabila aku membuka pintu , seorang lelaki berdiri di hadapan pagar pintu . Lelaki yang berwajah bengis dan bertato dari leher ke tangan penuh dengan tato . Lelaki yang memakai singlet itu bertanya kepada aku sama ada aku tuan punya pusat tuisyen itu .

“ Mana boss? Lu boss ? ,” tanya lelaki itu dengan suara yang kasar.

“Bukan . Saya bukan boss. Saya kerja sini , “ kataku dengan tenang, Aku tidak membuka pagar pintu demi keselamatan aku. Lelaki itu menyeluk poket belakang seluarnya dan mengeluarkan sekeping sampul surat berwarna merah. Lelaki itu menyerahkan sampul surat itu sambil membongkokkan badan  seperti di dalam filem  Jepun “ Yakuza” . Aku juga menerima sampul surat itu dengan membongkokkan badanku sedikit .  Sebelum lelaki itu meninggalkan premis , dia berpesan kepada aku bahawa dia akan datang semula keesokan harinya untuk mengambil sampul surat itu. Aku hanya mengangguk kepala tanda faham.

 

Selepas itu, aku menelefon ‘owner’ bangunan itu Mr. L untuk memberitahu hal berkaitan sampul surat merah itu. Aku sudah mengesyaki sampul surat itu sebagai simbolik permintaan ‘wang perlindungan kawasan “ kerana pernah menonton filem yang memaparkan adegan seperti itu . ‘Owner’ memberitahu aku bahawa dia akan datang mengambil sampul surat itu dan meminta aku agar bertenang. ‘Owner’ juga menerangkan lelaki itu penjaga kawasan di situ dan meminta ‘wang’ untuk perlindungan . Inilah pertama kali aku berhadapan dengan ‘TAIKO’. Andainya , aku mengaku akulah ‘boss’ mungkin ‘TAIKO’  minta masuk dalam premis!

 

Bak kata peribahasa , ‘masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kerbau menguak’. Selepas kejadian ‘wang perlindungan ‘ itu aku tidak lagi didatangi oleh mana-mana ‘Taiko’ Cuma aku berhadapan dengan sentiment rasis pula daripada beberapa orang peniaga berdekatan . Seorang peniaga mencabar aku kalau aku boleh bertahan lama membuka pusat tuisyen di situ tetapi aku buktikan . Kini , sudah masuk 15 tahun aku membuka pusat tuisyen di pekan kecil itu dan aku mempunyai ramai kenalan apabila aku ke pasar pagi di seberang pusat tuisyen .

Jadi , adalah buah tangan daripada peniaga atau mereka yang mengenali aku seperti buah-buahan dan telur ayam . Mereka memanggil aku Cikgu Ajemi atau ‘ Lauser ‘ ( bunyi lebih kurang begitu ) bermakna ‘guru’ sambil tunduk hormat. Oleh sebab, murid-muridku kebanyakan dari sekolah menengah dan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina , maka aku lebih dikenali oleh ibu bapa murid-murid .

 

Indahnya , persahabatan dalam berbilang kaum . Walaupun  kejadian dilawati ‘TAIKO’ itu agak membimbangkan namun menjadi titik – tolak untuk aku menyelami  hati budi mereka . Tidak dinafikan dalam setandan pisang mesti ada yang busuk tetapi itu bukanlah isu besar sangat . Paling penting memahami budaya dan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi ‘.

 

 

Comments

Popular posts from this blog