Episod : TINGGAL ‘UNDERWEAR’

 

Semasa di sekolah tahun 1981,aku di Tingkatan 2 sesi petang . Ada seorang guru lelaki yang aku namakan sebagai ‘ Cikgu D ‘. Cikgu D mengajar kami Pendidikan Jasmani (PJ) . Apabila tiba mata pelajaran PJ , kami akan segera bersiap-siap memakai seluar sukan pendek . Tiada ‘track suit’ pada masa itu dan dibenarkan memakai singlet atau berlenggeng sahaja. Cikgu D berpakaian lengkap seperti pakaian rasmi semasa mengajar di dalam bilik darjah .

Ketua kelas dan penolongnya akan ke bilik Quarter Master bersebelahan kantin sekolah untuk meminjam bola dan peralatan sukan lain. Setiap peralatan yang diambil mesti dicatatkan oleh murid yang meminjam dan murid yang bertugas di Quarter Master di dalam sebuah buku khas . Begitu juga selepas digunakan , bola dan peralatan sukan dipulangkan ke bilik Quarter Master.Biasanya sebiji bola akan dibawa ke padang tetapi yang mengejar sebiji bola satu kelas. Macam lembu matador mengejar mangsa !

Semua murid akan diarahkan bersiap-siap di dalam bilik darjah. Baju dan seluar digantung pada kerusi . Kemudian , kami akan beratur di luar bilik darjah menunggu Cikgu D sampai. Masing-masing sudah tidak sabar hendak ke padang . Kebiasaannya waktu akhir ialah mata pelajaran PJ. Selepas pulang dari padang , kami akan masuk ke kelas dan menunggu loceng akhir berbunyi.

Dari jauh Cikgu D sudah kelihatan menaiki tangga dengan berjalan lambat-lambat. Memang begitu keadaannya setiap hari. Cikgu D berjalan terhuyung – hayang untuk sampai ke kelas. Sekejap-sekejap , dia akan berhenti di tembok di depan kelas sebelum melangkah ke kelas aku. Baunya tak boleh nak cakap . Bau arak pekat !

Cikgu D memeriksa setiap pelajar yang sedang beratur. Masing-masing berdebar-debar kerana kadang-kadang Cikgu D akan memarahi kami tanpa sebab dan sangat garang . Rata-rata guru lelaki di sekolah aku memang garang . Namun begitu , guru-guru yang garang sangat baik dengan pengawas sekolah. Kalau guru-guru berlemah-lembut , memang ‘kena pijak kepala ‘ . Pada hari itu , salah seorang kawanku tidak membawa seluar sukan . Habislah !.

Cikgu D menarik kawanku keluar dari barisan dan menyuruh dia menukar pakaian sukan. Kawanku itu memang tidak membawa seluar sukan kerana dia terlupa .

“ Buka seluar kamu , “ jerkah Cikgu D. Dia mengomel sesuatu yang kami tidak memahaminya. Kawanku lambat-lambat membuka seluarnya .

“Buka sekarang !, “ jerkah Cikgu D kali kedua . Rotan sudah dalam genggamannya .

Akhirnya , terlucutlah seluar kawanku yang tinggal hanyalah ‘underwear’. Kawan-kawan lain tersenyum-senyum tapi mata meliar takut memandang Cikgu D.

“ Jalan pergi padang , “ arah Cikgu D.

Permainan tetap berjalan rancak. Padang berdebu ketika merebut bola di kaki lawan. Semua murid dibahagikan kepada 2 pasukan. Setiap pasukan 20 orang . Sebiji bola dikejar dan dirembat oleh 40 orang murid. Penjaga gol dipilih dalam kalangan mereka yang berperwatakan ‘ sotong ‘ . Kawanku yang hanya memakai ‘underware’ turut mengejar bola tanpa mempedulikan murid-murid kelas lain yang turut menggunakan padang sekolah . Keseronokan yang melampau si penjaga gol pasukan kami apabila berjaya menangkap bola yang ditendang melambung tinggi membawa padah.Si penjaga gol berlari-lari masuk dan keluar ke dalam gawang gol. Menanglah , pasukan lawan kami dengan ‘gol percuma ‘ . Apalagi , si penjaga gol dikejar beramai-ramai keliling padang sambil menangis ketakutan . Akhirnya , sampai di hujung padang tiada tempat untuk mengelak , si penjaga gol ‘dibelasah ‘ berjemaah

Pada zaman itu, guru PJ tidak perlu ikut serta dalam permainan di padang . Jadi, guru PJ berpakaian kemas dengan baju kemeja dan bertali leher di tepi padang memerhatikan kami bermain sambil mengunyah sebiji epal. Apabila selesai bermain , guru PJ mengeluarkan sapu tangan untuk menutup hidung kerana bau peluh yang tengik. Selesai waktu PJ , tempat yang mula-mula dituju ialah tandas . Berpusu-pusu dan berebut-rebut. Suasana menjadi sangat bising dengan jerit pekik. Selesai membersihkan diri kami pulang ke bilik darjah untuk memakai pakaian seragam semula . Sementara menunggu loceng akhir , suasana bising di dalam bilik darjah bagaikan kapal karam ! Masing-masing bercerita tentang permainan bola di padang sambil menjenggilkan mata ke arah si penjaga gol yang berwajah mendung .

Apabila loceng akhir berbunyi ,semua  berebut-rebut keluar kelas berlari menuruni tangga ke tempat letak basikal berbumbung . Mereka yang tidak mempunyai basikal akan berjalan kaki berduyun-duyun dengan kawan-kawan berbilang bangsa sambil bermain-main di jalanan. Indahnya , persahabatan pada ketika itu . Aku mempunyai sebuah basikal ‘perempuan ‘ yang dibonceng kawan karibku bangsa Tionghua , Dato Pat .

Comments

Popular posts from this blog