Episod : Rendang Ayam dan Ketupat

Sham hanya menundukkan kepalanya menahan air matanya daripada gugur. Sham tidak mahu Mia melihatnya menangis . Sham mahu Mia kuat menghadapi ujian berat ini . Sham tahu Mia seorang yang kuat .
“Tapi , Mia terbaring di sini . Abang tidak akan tinggalkan Mia , “ ujar Sham setelah mengumpul kekuatan untuk berkata-kata.
“Tak pa, abang . Mia dijaga jururawat di sini, “ kata Mia bersungguh-sungguh . Akhirnya , Sham beralah dengan permintaan Mia . Mia bersalaman dengan Sham Sham mengucup dahi Mia dengan penuh kasih sayang.
“Abang berjanji akan datang melawat Mia esok . Esok Hari Raya , “ balas Sham dengan suara sebak. Ada getar di hujung suara Sham menahan perasaan hiba.
Mia memandang Sham hingga hilang dari pandangannya. Sham menuju ke tempat parkir motosikal lalu menunggang motosikalnya meninggalkan perkarangan hospital. Hati Sham berasa sangat sebak mengenangkan keadaan Mia sekarang. Sham berdoa di dalam hati agar Mia segera sembuh . Sham tidak sanggup melihat Mia terbaring di katil hospital.
Sham sudah berjanji dengan Mia hendak menyambut hari raya bersama-sama pada tahun ini. Doktor Sundram juga sudah memberitahu kemungkinan Mia akan pulang esok setelah memeriksa Mia dan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Mia.
Sesampai di rumah , Sham mula berkemas untuk menyambut hari raya dan lebih penting menyambut kepulangan Mia. “ Tentu Mia gembira melihat rumahnya dihias cantik ,” bisik hati kecil Sham . Tahun lepas , Mia berhari raya di hospital . Meskipun begitu , mereka menyambut hari raya bersama-sama doktor dan jururawat yang bertugas. Pelbagai juadah disediakan sama seperti menyambut hari raya di rumah . Sedikit sebanyak,, Sham dan Mia juga berasa seronok menyambut hari raya di hospital.
Sham ke pasar raya berdekatan untuk membeli bahan-bahan memasak. Mia paling suka makan rendang ayam dan ketupat. Sham akan meminta Sofea , jiran sebelah rumah mereka untuk memasakkan rendang dan ketupat. Sofea , jiran Sham dan Mia sejak mereka berpindah ke situ setahun yang lalu. Sofea seorang yang baik hati dan prihatin .
Sepulang dari pasar raya , Sham ke rumah Sofea sambil menjinjing sebungkus ayam , ketupat segera dan bahan-bahan lain .
“Asalamualaikum ! Asalamualaikum ! Asalamualaikum !”.
Tiada sahutan dari dalam rumah Sofea. Kedengaran selak pintu dibuka.
“Walaikumsalam , abang Sham , “ balas Sofea dengan senyuman .
“Ada apa abang ?,” tanya Sofea spontan yang berwajah putih mulus dan cantik.
“Abang nak minta tolong Sofea masakkan rendang ayam dan ketupat ini, “ pinta Sham malu-malu.
“ Boleh , abang . Bagaimana keadaan kakak Mia?,” tanya Sofea semula.
“Alhamdulillah. Insyallah esok Mia akan dibenarkan pulang , “ jawab Sham ringkas dan wajah Sham berseri-seri. Sofea menerima barang-barang di tangan Sham .
“Syukur, Alhamdulillah.”
“Abang minta maaf kalau menyusahkan Sofea pula, “ kata Sham sambil tersenyum kepada Sofea. Sofea membalas senyuman Sham.
“Tak pa , abang . Lagipun , Sofea bercuti , “ kata Sofea yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di Sepang. Sofea yang masih bujang dan tinggal bersendirian. Sesekali , ibu bapa Sofea dari Kota Bharu datang menjenguk Sofea dan bermalam sehari dua . Sham dan Mia juga mengenali ibu bapa Sofea dan mereka juga sering bertanya keadaan Mia.
“Abang pulang dulu Sofea , ada kerja nak diselesaikan, “ kata Sham sambil mengucapkan terima kasih kepada Sofea kerana sudi memasakkan rendang ayam dan ketupat .
“Baiklah , bang, “ jawab Sofea sambil tersenyum kepada Sham.
Sham menggantikan langsir baharu. Sebelum Mia masuk ke wad hospital , mereka sempat membeli langsir di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam. Langsir warna ‘cream’ menjadi pilihan Mia kerana Mia memang suka akan warna-warna lembut . Sham membersihkan ruang dapur dan membersihkan bilik air kerana esok Mia akan pulang ke rumah dan sudah pasti Mia akan gembira dan ceria melihat rumah sudah berkemas dan bersih. Sham tidak sabar-sabar lagi menanti kepulangan Mia untuk menyambut hari raya bersama-sama esok. Mia juga membelikan sehelai selendang berwarna merah untuk Sofea. Mia dan Sofea berkawan rapat sejak mereka berjiran.
Sham menelefon hospital kerana ingin mengetahui keadaan Mia. Jururawat yang bertugas memberitahu Sham bahawa Mia sedang tidur selepas mendapatkan rawatan . Hati Sham berasa lega mendengar kata-kata jururawat dan mengucapkan terima kasih kepada jururawat yang menjaga Mia. Usai mengemas , Sham berbaring di atas sofa untuk berehat . Semalam , Sham menemani Mia di hospital dan tidur di ruang lobi hospital . Badannya berasa sangat letih .
“ Mia isteri abang yang satu , “ kata Sham . Mia hanya tersenyum di depan cermin ‘make-up’ di bilik tidur mereka.
“Kenapa abang cakap macam tu?,” tanya Mia sambil tersenyum .
“Abang ni bukan orang yang berharta bukan orang ada-ada tapi Mia tetap menerima abang sebagai suami Mia, “ kata Sham sambil memeluk bahu Mia. Hari itu dirasakan sangat bahagia . Mia ketawa kecil.
“Abang berjanji akan menjadi suami yang terbaik . Abang akan membahagiakan Mia dan tidak akan mensia-siakan Mia, “ kata Sham sungguh-sungguh. Mia hanya senyum meleret.
“Betul ke ni ? , “ balas Mia dengan suara meleret dan hampir ketawa.
“Betul, Mia. Mia tak percaya abang ye? .”
“Eh, mestilah Mia percaya . Kalau tak percaya masakan abang dapat memiliki hati Mia .”
“Abang berasa bertuah dapat isteri cantik macam Mia , “ ujar Sham lagi.
“ Betul ke Mia cantik ? “.
“Betullah, cantik.”
“Puji ada makna tu, “ kata Mia sambil ketawa terkekeh-kekeh. Sham memeluk Mia dari belakang dan berderai ketawa mereka.
(bersambung ......)

Comments

Popular posts from this blog