Episod : Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD)
Kisah
ini berlaku sekitar tahun 2015 di Institut Tadbir Wilayah Utara Sungai Petani ,
Kedah (INTURA). Puteri sulongku telah mendapat surat panggilan untuk menjalani sesi
temuduga sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Aku tidak pernah menghalang
minat anak-anak dalam apa-apa bidang yang ingin diceburi oleh mereka malah aku
lebih banyak menggalakkan atau ‘ support ‘ termasuk dari segi kewangan agar
apa-apa yang dihajati akan tercapai .
Apabila
puteri sulongku memberitahu bahawa dia mendapat surat panggilan sesi temuduga
PTD , aku hanya berserah jika itu sudah menjadi rezekinya. Sebelum bertolak ke
Sungai Petani, aku sudah bersiap-siap menyusun jadual kerjaku agar tidak
menggangu persediaan pelajar-pelajarku untuk menduduki peperiksaan yang akan
datang. Segala persiapan sudah dibuat termasuk beg pakaian , barang peribadi
dan dokumen-dokumen penting .
Aku
meletakkan beg pakaian di tangga supaya keesokan harinya tidak terlupa . Pagi-pagi
lagi, aku sudah bersiap-siap untuk bertolak ke Kedah. Kami pergi berempat dan
anak bongsuku kubawa sama . Aku terpaksa ‘ pontengkan’ sekolahnya. Tiada
sesiapa yang akan menjaganya di rumah memandangkan anak-anak yang lain sudah
mempunyai pekerjaan masing-masing dan tidak mendapat cuti. Hajat di hati sambil
ke Kedah kami akan mengambil kesempatan untuk melancong ke Perlis dan Pulau
Pinang semasa perjalanan pulang ke Selangor nanti. Itulah rancangannya.
Sebelum
itu , aku sudah meminta anakku menempah bilik hotel di Sungai Petani . Kami
akan menginap di Hotel T . Hanya sebuah bilik cukup untuk empat orang.
Sepanjang perjalanan pagi itu, cuaca sangat baik dan lebuh raya agak lenggang
kerana bukan musim cuti. Kami singgah di R&R Tapah untuk mengisi perut dan
solat jamak. Perjalanan diteruskan tetapi tidaklah terlalu tergesa-gesa kerana sesi
temuduga akan dijalankan keesokan hari. Jadi , dapatlah berehat dan bermalam
semalaman di Sungai Petani. Sebenarnya, inilah kali pertama aku ke Sungai
Petani !
Seperti
biasa , sekiranya perjalanan jauh hanya aku akan memandu kereta dan isteriku
menjadi ‘ co-pilot ‘. Setibanya di Sungai Petani , aku terus ‘ check-in ‘ dan
naik ke tingkat dua Hotel T yang sederhana tetapi kemas. Manakala , isteri dan
anakku menguruskan beg pakaian dan sebagainya di dalam kereta. Selepas mandi
aku , aku merebahkan badan di atas katil bersaiz ‘Queen’ . Belum sempat aku
melelapkan mata , anakku yang bongsu memberitahu aku beg pakaian tiada di dalam
kereta. “Eh, takkan ada orang pecah masuk kereta semasa kami berhenti rehat di
R&R?,” detik hatiku sedikit cemas.
Aku
menyarungkan pakaianku kembali dan turun ke tempat parkir kereta di hadapan
Hotel T. Memang betul, beg pakaian tiada di dalam kereta. Aku menanya isteriku
dan anak-anakku sama ada mereka membawa masuk beg ke dalam bonet kereta.
Masing-masing tidak tahu . Aku segera menelefon anakku di rumah kalau-kalau beg
pakaian tertinggal di rumah. Sah, beg pakaian tertinggal di tepi tangga !
Kami
datang ke Sungai Petani sehelai sepinggang . Aku bertanya kepada kakitangan
hotel pusat beli-belah yang terdapat di situ . Katanya , Aman Jaya Mall berdekatan
dengan hotel. Jadi , keputusannya selepas maghrib kami akan ke Aman Jaya Mall
untuk membeli pakaian dan segala keperluan yang perlu . Jadi , rancangan malam
itu hendak bersiar-siar di Sungai Petani terpaksa dibatalkan kerana persediaan
untuk esok mesti ‘sattle’ malam itu juga.
Kebetulan
, dokumen-dokumen surat dan sijil disimpan di dalam poket tempat duduk kereta.
Andai kata, semua dokumen juga tertinggal lagilah kalut. Isteriku dan puteriku
memilih pakaian masing-masing dan aku serta anak bongsuku memilih pakaian di
bahagian pakaian lelaki. Selesai membayar harga pakaian, kami singgah makan di
sebuah restoran tepi jalan . Aku mencadangkan selepas makan , kami akan mencari
lokasi INTURA supaya keesokan harinya kami tidak sesat barat . Jalan agak gelap
di beberapa kawasan tetapi tidak banyak kenderaan lalu lalang di jalan raya.
Keesokan
pagi , kami bersarapan dahulu di Hotel T dan kemudian bergerak ke INTURA.
Sesampai di sana , sudah banyak kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka
untuk sesi temuduga. Aku diberitahu puteriku bahawa sesi temuduga itu bukan
sahaja ujian IQ tetapi juga ujian
fizikal . Aku hanya menitipkan kata-kata semangat kepada puteriku agar berusaha
sehabis baik , Insyallah kalau ada rezeki tidak akan ke mana !. Aku sempat
berkenalan dengan sepasang suami isteri yang juga menghantar anak mereka ke
situ. Kami sebaya rupanya . Sehingga sekarang kami masih berhubung dan kawan
baruku bernama Zaidi dan isterinya seorang guru di Seberang Prai.
Kami
keluar makan tengah hari bersama=sama sementara menunggu anak-anak kami selesai
sesi temuduga yang dijangka tamat pada sebelah petang . Sekiranya berjaya ,
mereka akan tinggal di INTURA untuk menjalani latihan seterusnya. Jika gagal
mereka akan diarahkan pulang seperti rancangan Akademi Fantasia! Aku memang
tidak mahir dengan jalan-jalan di Sungai Petani tetapi Zaidi lebih tahu kerana
kedudukan Seberang Prai dengan Sungai Petani tidak jauh.
Selepas
makan , kami merayau-rayau di sekitar Sungai Petani ada kawasan laut ( tak
ingat nama tempat itu ) dan melihat nelayan balik dari menangkap ikan. Kami
bergegas ke INTURA kerana jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang . Ada ibu
bapa yang sudah membawa masuk beg anak mereka ke dalam bonet . Dari jauh ,
kulihat anakku menyorong beg pakaiannya dengan wajah muram.
“Tak
mengapalah , kakak. Nanti cuba lagi , “ kataku selepas aku dimaklumkan bahawa
dia gagal ujian fizikal. Anak Zaidi juga gagal. Sebelum berpisah kami
bersalam-salaman dan berjanji akan terus berhubung . Setahun kemudian , aku
menghadiri majlis walimatulurus anak Zaidi di Dewan Masyarakat , Seberang Prai
Jaya . Beberapa bulan kemudian , Zaidi datang mengunjungi aku selepas aku terlibat
dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2017 di Klang .
Puteriku
telah mencuba kali kedua memohon untuk jawatan PTD dan berjaya dipanggil
temuduga di Bangi . Ketika ini , puteriku sudah mendirikan rumahtangga dan dia
pergi bersama-sama suaminya . Namun , rezeki tidak menyebelahinya . Percubaan
kali kedua dan terakhir. Lagipun, pada ketika itu puteriku sudah bekerja dalam
bidang perakaunan di Sunway dan selepas beberapa tahun puteriku berhenti kerja
kerana mendapat jawatan lebih baik di sebuah Universiti Antarabangsa yang
berpusat di Malaysia. Rezeki milik Allah kalau kita berusaha pasti berjaya.!
Comments
Post a Comment