Episod : MUNTAH HIJAU

 

Perjalanan dari Klang ke Mersing sangat jauh. Tujuannya hendak bercuti ke Pulau Tioman . Kami bergerak pada awal pagi dan solat Subuh di R&R . Pada ketika itu belum ad awaze atau google map jadi redah saja . Sudah separuh perjalanan baru tersedar kami mengikut jalan jauh kerana tiada pengalaman.

Sesampai di Jeti Mersing , kami menjamu selera di gerai yang terdapat di situ.
“Berapa makcik ?,” tanyaku kepada tuan kedai makan.
“ 76 ringgit !.”

“Kenalah . Kena ketuk . Makan nasi lauk ikan ayam dewasa 2 orang budak-budak 4 orang . Ayam belanda kot,” aku merungut di dalam hati .

Kami menaiki bot untuk ke pulau. Sebelum itu , kami melalui pemeriksaan di pondok Kastam . Salah seorang pegawai memberitahu laut sedang bergelora ombak besar kerana musim monsoon. Aku memandang ke laut lepas dan tersenyum . “Tak bergelora pun,” detik hati kecilku sambil tersenyum .

Kami menaiki bot besar dan membayar tambang siap-siap. Setelah bertahun-tahun , kali ini aku menaiki bot selepas kali pertama menaiki bot penambang ke Kampung Palekbang , Kelantan tahun 70-an dulu sebelum Jambatan Sultan Yahya Petra dibina menghubungkan Kota Bharu ke Tumpat dan kawasan sekitarnya.

Aku ‘fobia’ dengan air dalam kerana pernah hampir lemas semasa mandi di tali air Palekbang . Semasa itu, kanak-kanak lagi sekolah rendah . Budak bandar tak pernah jumpa tali air sampai di tebing terus terjun. Makcikku yang mengajak aku dan adik-adik berenang di tali air sempat menarik rambutku dan melempar aku ke tebing tali air. Balik rumah semua kena marah dengan arwah Chek. Jadi , serik mandi di air dalam .

Selepas 30 minit di dalam bot dan penumpang sudah pun duduk di tempat masing-masing , bot mula bergerak meninggalkan jeti menuju ke Pulau Tioman. Laut tenang tetapi cuaca agak panas. Penumpang agak ramai dan seorang dua berdiri di buritan bot untuk melihat pemandangan laut yang luas. Terdapat beberapa orang pelancong ‘Mar Saleh “ dan ‘Minah Saleh” di dalam bot. Jaket keselamatan tersangkut di bahagian bumbung bot dan boleh dicapai dengan tangan.

Aku agak kehairanan kerana di dalam bot ada banyak plastik merah jambu yang selalu diisi dengan barang-barang ketika membeli di kedai. Mungkin untuk mengisi barang yang dibawa penumpang , fikirku. Aku melihat laut luas saujana mata memandang. Laut tenang dan bot meluncur laju di tengah lautan .

Kira-kira sejam perjalanan, bot yang kami naiki dipukul ombak kecil dan ombak besar silih berganti . Bot terayun-ayun bagai dibuai. Kepalanya mulai rasa berdenyut-denyut. Serba tak kena dan serba tak selesa. Perut berasa mual dan teringat tadi aku makan di gerai. Penumpang-penumpang bot mencapai plastic merah jambu yang diletakkan pada kerusi masing-masing .

“Uuuwweeekkk ! Uuuweeekkk! Uuuwwweeekkk !”. Ada penumpang yang mula muntah dan bot mulai dilambung ombak tinggi rendah bagaikan Yoyo. Kepala aku bertambah berat dan bila-bila masa semua isi perutku akan dimuntahkan .

“Uuuwwwekkk! Uuuwwweekkk ! Uuuwweekkkk! “ Giliran aku pula muntah. Aku muntah tidak henti-henti sehingga angin saja yang keluar . Perut berasa kembung angin. Rambut kusut – masai tidak terurus.

“Bilalah nak sampai ke jeti ?,” aku mula berasa serik menaiki bot. Pada mulanya , adikku yang sama-sama mengikuti rombongan ke Pulau Tioman mencadangkan kami menaiki kapal terbang ke Pulau Tioman tetapi kosnya yang agak tinggi . Aku memilih menggunakan perkhidmatan bot ke Pulau Tioman. Bot singgah di beberapa buah jeti sebelum sampai di jeti destinasi kami.

Semua penumpang kibiarkan turun dahulu . Aku tidak terdaya untuk berdiri . Kepalaku sakit berdenyut-denyut. Perutku sakit masuk angin. Giliran aku turun dari bot dibantu isteriku. Anak-anakku masih kecil . Aku merangkak di atas jeti kerana kepalaku terlalu pening. Aku berasa seolah-olah sering dilambung ombak lagi. Sebuah buggy menjemput kami ke Hotel Berjaya.

Selesai mendaftar aku berbaring di bilik hotel manakala anak-anakku sudah terjum ke dalam kolam renang . Tiada penghuni lain yang menyewa di hotel itu hanyalah kami, dua buah keluarga . Mesin memproses ais di tepi kolam kami gunakan untuk menyediakan minuman sejuk . Kami mandi sepuas-puas hati . Setiap kali kami hendak ke lobby, buggy akan datang menjemput kami .

Ombak besar dan ganas di pantai .  Kami hanya bersiar-siar di kawasan berdekatan hotel. Terdapat beberapa buah kampung . Selepas penat berjalan , kami kembali ke hotel dan melakukan aktiviti berenang di dalam kolam. Anak-anak paling ‘ enjoy’ kerana tiada sesiapa yang menggunakan kolam renang itu .

Setelah dua hari di Pulau Tioman , kami bergerak pulang dengan menaiki bot. Kali ini laut sangat tenang dari pulau ke Jeti Mersing . Tiada lagi “ Uuuuwweekkk” kedengaran di dalam bot. Sesampai di jeti kami menuju ke kereta masing-masing untuk bergerak pulang ke Klang . Kedudukan kereta aku dengan kereta adik aku lebih kurang 10 meter. Aku melihat seorang lelaki mendekati adikku dalam keadaan mencurigakan . Rupa-rupanya penjaga kereta tidak berlesen telah ‘pow’ adik aku dan tempat letak kereta itu sememangnya kenderaan mereka yang pergi ke Pulau Tioman . Lelaki itu berjalan hendak mendekati aku pula tetapi dia berpatah balik separuh jalan dan menoleh-noleh ke arah aku. Barangkali dia ‘tidak nampak’ aku !

Comments

Popular posts from this blog