Episod : Lubang ‘Aircond”
Setelah
dua tahun tidak pulang ke kampung di Kelantan , tahun 2005 aku tergerak hati
hendak pulang ke kampung . Tambahan pula, adik-beradikku juga sama-sama hendak
mengikut sama . Jadi, kami memandu kereta masing-masing menuju ke destinasi
mengikut Lebuh Raya Karak . Apabila berasa lapar . kami akan berhenti di
R&R untuk makan dan minum atau melepaskan hajat . Kebiasaannya , kami sudah
menyediakan makanan dari rumah seperti nasi lemak atau nasi putih dengan beberapa
jenis lauk . Makan beramai-ramai lebih seronok dan banyak cerita dapat dikongsi
sambil makan .
Sampai
di Merapoh , jalan mulai sempit dan berliku-liku. Pemanduan lebih berhati-hati
supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Sampai di Kuala Krai , jalan
sedikit sesak . Keadaan itu sudah menjadi perkara biasa lebih-lebih lagi
apabila musim cuti sekolah atau Hari Raya . Tiada apa-apa yang hendak dikejar
jadi kami bertolak awal pagi dan dijangka sampai di Kota Bharu sekitar tengah
hari .
Akhirnya
, kami sampai ke Hotel R di bandar Kota Bharu. Sebuah hotel empat bintang dan
kami menyewa tiga buah bilik di tingkat yang sama . Bilik penginapan aku dan
adik lelakiku sekeluarga sebelah menyebelah. Dipisahkan oleh sebuah pintu di
tengah-tengah dinding yang boleh dibuka tutup tanpa perlu keluar melalui pintu
utama . Selepas melepaskan lelah seketika , kami keluar dari hotel untuk
mencari tempat makan. Masing-masing mencari ‘pot’ masing-masing .
Aku
sekeluarga sempat juga ke Pantai Cahaya Bulan (PCB) untuk bersantai dan minum
air kelapa yang dijual di gerai-gerai di tepi pantai. Kami kurang berminat
makan ‘colek’ di situ kerana sebelum ini pernah mencuba tetapi kurang sedap dan
tidak berbaloi dengan harga. Sebetulnya , kena ‘ketuk’ . Biasalah di
tempat-tempat tumpuan ‘orang luar ‘ , harga makanan lebih cekik darah melebihi
Drakula. Apabila hari sudah lewat senja , aku mengajak isteri dan anak-anakku
kembali ke hotel. Isteriku memangku anak bongsuku yang berusia kurang setahun.
Kami
tiba di hotel lalu membersihkan diri dan bersolat maghrib . Rancangan kami
untuk keluar semula tetapi isteri dan anak-anakku sudah berasa letih . Separuh
hari di jalanan kemudian ke pantai . Jadi , kami melepak di hotel saja.
Kedengaran pintu sebelah ditutup , adikku juga baru sampai di bilik mereka .
Tiada siaran televisyen yang menarik dan aku berbaring-baring lalu terlelap .
Anakku
yang bongsu mula menangis tidak henti-henti. Susu sudah diberi dan selepas
pulang dari pantai tadi , anakku sudah pun tertidur di atas ribaan isteriku.
Aku menyuruh isteriku memeriksa anakku kalau-kalau ‘pampersnya’ sudah penuh .
Semua OK . Tangisannya semakin menjadi-jadi dan adikku di bilik sebelah
mengetuk pintu untuk bertanya . Aku mendukung anakku dan aku perasan kepalanya
akan menoleh ke arah lubang ‘aircond’ di bilik kami . Tangisannya semakin
nyaring dan menjerit-jerit . Adikku memberikan sebotol minyak angina untuk
disapu pada perut anakku.
Aku
mengetuk pintu bilik adikku semula. Keadaan tangisan anakku masih belum reda .
Matanya melilau melihat lubang ‘ aircond’ bilik . Aku tidak tahu apa-apa tetapi
aku yakin bahawa anakku ada terlihat ‘sesuatu’ . Kalau aku mengalih dukungan ke
kiri kepalanya menoleh ke kanan dan begitu juga kalau aku mendukung di sebelah
kanan kepala menoleh ke kiri melihat ke arah lubang ‘aircond’ . Akihirnya , aku
mengajak adikku, isteri dan anak-anakku
serta anak buah yang lain duduk di dalam bilik membaca surah Yasin.
Sebaik
bacaan dimulakan anakku menangis lagi kuat sambil matanya menacap tajam ke
lubang ‘aircond’ itu. Entah apalah ‘benda’ yang anakku ternampak . Kami
meneruskan pembacaan surah Yasin dan di
pertengahan bacaan anakku sudah berhenti menangis lalu tertidur di atas
pangkuan isteriku . Aku memberikan isyarat agar bacaan Yasin diteruskan hingga
akhir . Alhamdulillah , keadaan sudah kembali tenang seperti sedia kala. Anakku
tidak lagi menangis hingga pagi dan kami dapat merehatkan diri pada jam 1.00 pagi. Aku masih memikirkan ‘benda’
yang dilihat oleh anakku . Sejak kejadian itu , setiap kali aku ke mana-mana
bercuti aku akan membaca surah Yasin selesai solat di dalam bilik penginapan semoga
tiada perkara-perkara gangguan mistik yang kita tidak tahu asal-usulnya dan
tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita . Wallahualam.
Comments
Post a Comment