Episod : LIF

 

Kejadian ini berlaku sekitar akhir 90-an di Kedah , Darul Aman . Aku dan keluarga menyertai rombongan menghantar anak buah yang akan melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hatinya . Kami bergerak secara berkonvoi dari bandar Klang ke Alor Setar. Sebelum ini pun , aku pernah bercuti di Alor Setar sambil itu singgah di Kuala Perlis untuk menikmati laksa belut yang lazat di Jeti Kuala Perlis.

Kami menginap di sebuah hotel yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar ( nama hotel tidak dapat dinyatakan ). Masing-masing mendapat sebuah bilik untuk setiap keluarga dan ‘disponsor’ oleh pasangan pengantin . Malam itu , semua ahli rombongan dibawa makan di sebuah restoran yang ramai pelanggan. Makanan yang dijual kebanyakan menu citarasa orang utara. Masakannya yang sedap lagi menyelerakan.

Keesokan pagi , kami akan bertandang ke rumah pengantin lelaki pula . Selesai makan , masing-masing memandu pulang ke hotel yang menjadi tempat penginapan kami . Kedudukan restoran dan hotel tidaklah begitu jauh dan jalan raya pula agak lengang . Semua pakaian yang hendak dipakai esok telah siap bergosok dan anak-anakku sudah lena dibuai mimpi . Pada ketika itu,  kami mempunyai  tiga orang puteri  dan seorang putera yang masih kecil. Jadi, mudah untuk menguruskan tempat tidur mereka .

Seperti yang telah dijanjikan , semua telah bersiap-siap dan berkumpul di lobi hotel . Ada yang masih belum turun dan kami bersantai di hadapan lobi . Anak-anak buah yang sebaya dengan puteri-puteriku berkejar-kejaran di ruang lobi. Tanpa disedari puteriku yang bongsu telah tiada di kawasan lobi . Puas kami mencari di sekitar itu tetapi tidak berjumpa . Salah seorang anak kakakku memberitahu bahawa puteriku telah memasuki ruang lif apabila pintu lif terbuka . Perasaan cemas bergayutan .

Aku dan ipar duai berlari dari satu tingkat ke satu tingkat tetapi puteriku tiada di situ . Lif terus bergerak dan kami terus mendaki setingkat ke setingkat . Apa yang merisaukan kalau puteriku itu keluar dari lif dan merayau tanpa diketahui . Sebelum ini pernah berlaku kejadian mencemaskan apabila puteriku menyebabkan peti sejuk terbalik dengan cara membuka pintu peti sejuk lalu memanjat. “ Bedebummm “ peti sejuk menyembah lantai . Satu lagi peristiwa mencemaskan , kepalanya tersangkut di celah batang besi tangga sehingga batang besi itu terpaksa dibengkokkan .

Puteri bongsuku ini memang lasak . Semasa aku sekeluarga ke Pusat Sains Negara , puteriku mencuba sebuah alat seperti buaian berpusing 360 darjah dengan selamba dia ketawa terkekek-kekek dan meminta untuk menaiki buaian berpusing itu . Kakitangan di Pusat Sains Negara memberitahuku buaian itu juga digunakan untuk menguji keseimbangan seorang juruterbang jet  Semasa di Tingkatan 5, puteriku meminta aku membelikannya sebuah motosikal ‘scrambler‘ untuk ditunggangnya ke sekolah tetapi aku tidak melayan permintaannya . Hari ini , puteriku ini memandu sebuah kereta 4X4nya .   

Perasaan cemas masih belum reda kerana sudah sampai tingkat tiga , kelibat puteriku masih belum kelihatan . Jadi , kami berpecah dengan dua tiga orang terus menaiki tangga ke tingkat seterusnya kerana dibimbangi puteriku sudah keluar lif dan menuju ke arah tangga hotel. Selebihnya pula , menaiki lif dari setingkat ke setingkat. Kami masih belum menjumpai puteriku dan kakitangan hotel turun membantu kami . Keadaan benar-benar kecoh . Tiba-tiba ,kedengaran bunyi “ TINGGG “ . Pintu lif terbuka dan puteriku tersengih seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi.

Aku berasa lega dan bersyukur kerana puteriku telah ditemui selamat . Aku mendukungnya dan puteriku menoleh ke arah lif sambil melambai-lambaikan tangannya . Aku mendiamkan diri apabila melihat puteriku ketawa seperti ada ‘ kawannya ‘ di dalam lif.  Puteriku memandang ke arah lif dan pintu lif tertutup rapat .

Tanpa melengahkan masa, kami bergerak ke rumah pengantin lelaki . Banyak persoalan yang bermain di fikiranku sambil aku memandu kereta . Siapa yang menekan butang lif kerana puteriku masih kecil dan tangannya juga tidak sampai untuk menekan butang lif ? Kami menunggu di depan pintu lif setiap tingkat tapi apabila pintu lif terbuka di dalamnya kosong ? Siapa yang dilambainya sambil tersenyum selepas kami menemui puteriku keluar dari pintu lif ? Perkara itu aku diamkan saja agar tidak menimbulkan kebimbangan kepada keluargaku . Sehingga hari ini misteri ‘LIF ‘ masih belum terjawab !

Comments

Popular posts from this blog