Episod : KAHWIN BARU

 

“Betul ke Neng cakap tadi ?, “ tanya Hadi tersenyum-senyum .

“Betullah, bang . Neng bukan cakap main-main tau , “ balas Neng sambil menggenggam tangan Hadi .

“Sejuknya tangan Neng , “ kata Hadi sambil mengucup tangan Neng . Neng hanya tersenyum .

“ Neng bimbang tiada sesiapa nanti yang boleh menjaga abang , “ kata Neng lagi.

“Nengkan ada. Kenapa orang lain pulak nak jaga abang ? ,” jawab Hadi perlahan .

“Tak naklah macam tu. Neng kasihan lihat abang . Abangkan suami Neng yang paling baik hati , “ sambung Neng sambil ketawa kecil . Hadi tersenyum malu.

“Abang kahwin baru ye, “ kata Neng seperti meminta Hadi berjanji . Hadi hanya mendiamkan diri dan menatap wajah Neng .

“Wajah Neng berseri-seri sangat ,” kata Hadi .

“Ye ke , bang , “ ulang Neng dengan wajah gembira .

“Entah-entah abang puji wajah Neng berseri-seri kerana abang suka akan kahwin baru , “ kata Neng mengusik Hadi. Hadi tersenyum .

“Tapikan , bang . Neng terfikir juga kalau isteri baru abang nanti bolehkah menjaga abang seperti Neng menjaga abang selama ini, “ kata Neng berbaur kebimbangan . Wajah neng berkerut. Hadi memegang tangan Neng dan mengucup tangan Neng . Neng tersenyum melihat kelakuan Hadi .

“Neng nak abang berjanji dengan Neng , boleh ?,” tanya Neng spontan .

“Janji macamana Neng ?, “ tanya Hadi semula.

“Abang mesti berjanji akan menunaikan hajat Neng kali ini saja , “ kata Neng sambil menunjukkan jari telunjuknya. Neng seolah-olah meminta Hadi berikrar di depan Neng .

“Insyallah , Neng , “ jawab Hadi lemah . Satu persatu air mata Hadi gugur.

“Abang janganlah menangis . Abang sepatutnya gembira kerana Neng izinkan abang kahwin baru , “ kata Neng cuba menyukakan hati Hadi . Hadi tersenyum melihat Neng .

“Kalau abang kahwin baru , Neng tak marah ?,” tanya Hadi lagi mengusik Neng .”Kenapa nak marah ? Neng yang izinkan abang kahwin baru tau , “ jawab Neng sambil menarik tangan Hadi ke dadanya.

“Siapa yang nak pilihkan calon isteri baru abang nanti?.”

“Terpulanglah kepada abang . Neng tak kisah sesiapa pun jadi isteri abang. Tapi yang penting isteri baru abang sanggup menjaga abang dan menyayangi abang seperti Neng sayang akan abang , “ kata Neng tersenyum . Suhu dingin di dalam bilik yang sepi itu mencengkam hingga tulang hitam . Hadi membetulkan jaket yang dipakainya.

“Abang bimbanglah kalau-kalau isteri baru abang tidak seperti Neng . Neng seorang isteri yang taat dan sangat baik kepada abang ,” kata Hadi .

“Insyallah ,bang . Neng berdoa agar abang dipertemukan jodoh dengan isteri yang baik . Isteri yang dapat menyayangi abang lebih daripada apa yang Neng lakukan selama ini, “ jawab Neng.

“Jangan cakap macam tu, Neng . Abang sayang sangat kepada Neng . Abang tak nak berpisah dengan Neng , “ ujar Hadi .

“ Kalau sudah ditakdirkan kita berpisah kita tetap berpisah abang walaupun sesaat . Kenapa abang bercakap tentang perpisahan pula?,” tanya Neng .

Hadi terkenang saat pertemuannya dengan Neng . Tanpa sengaja , mereka menjalani kursus bersama-sama di sebuah negeri . Mata bertentang mata dan cinta telah berputik. Akhirnya , Hadi dan Neng membuat keputusan bernikah dengan restu keluarga masing-masing . Penantian selama lebih 10 tahun tidak bermakna kasih sayang semakin luntur. Apabila doktor mengesahkan bahawa Neng mempunyai masalah kesihatan yang menyukarkan mereka mendapatkan zuriat .

“Entahlah Neng . Abang asyik teringat kepada Neng , “ balas Hadi . Hadi tersenyum melihat Neng . Wajah Neng yang putih mulus. Mata Neng . Bibir Neng . Hidung Neng . Hadi menatap sungguh-sungguh wajah Neng . Kemudian, Hadi tersenyum dan Neng juga tersenyum . Neng menggenggam tangan Hadi . Air mata Hadi tumpah lagi.

Hadi mengucup dahi Neng yang sejuk . Neng tersenyum . Hadi memeluk Neng . Neng tersenyum . Hadi mengerlus rambut Neng . Neng tersenyum . Air mata Hadi meluncur laju.

“ Encik. Encik .” Hadi terjaga . Air matanya sudah kering. Hadi memandang sekujur tubuh yang kaku di atas pembaringan .

“Kami nak bawa jenazah isteri Encik turun ke bawah , “ kata seorang jururawat .Sebenarnya Hadi terlelap di sisi Neng . Hadi mengusap tangan Neng yang sejuk .Hadi mengangguk-angguk lemah . Dua orang jururawat menyorong katil membawa jenazah Neng . Air mata Hadi bercucuran .

“Selamat jalan Neng . Jumpamu di syurga nanti, “ bisik hati kecil Hadi . Jauh dan semakin jauh hingga hilang dari pandangan Hadi.   

 

Comments